Tag: dihukum gantung

  • Bunuh: Lelaki tidur dengan mayat rakan, dihukum gantung

    Bunuh: Lelaki tidur dengan mayat rakan, dihukum gantung

    SEORANG lelaki yang tidur bersama mayat rakannya dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini selepas didapati bersalah membunuh mangsa, lima tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed terhadap Mohd. Azhud Ibrahim, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata, keterangan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata, lapor Astro Awani.

    Katanya, tertuduh dalam keterangannya menyatakan dia tiada niat membunuh si mati, malah selepas pergaduhan, telah keluar membeli makanan dan minuman untuk lelaki itu.

    Bagaimanapun, ujarnya, menurut pakar patalogi, hasil bedah siasat mendapati perut si mati mengumpul makanan yang belum dihadam selain pemeriksaan luaran dan dalaman si mati terdapat kecederaan dan luka di pipi, mulut serta leher.

    Oleh itu, katanya, disimpulkan bahawa si mati makan terlebih dahulu sebelum pergaduhan berlaku selain keadaan kecederaan si mati yang tidak memungkinkan dia makan dalam keadaan mulut sedemikian.

    Tambah beliau, tertuduh mendakwa memukul si mati untuk mempertahankan diri, tetapi daripada laporan tangkapan, tiada keterangan menunjukkan tertuduh mengalami kecederaan.

    Selain itu, ujarnya, penemuan sebatang cangkul di atas tanah berdekatan dengan lubang yang digali di belakang rumah tertuduh adalah tidak konsisten dengan keterangan lelaki itu.

    Abdul Wahab mempersoalkan mengapa tertuduh menggali lubang itu jika benar dia tiada untuk membunuh si mati dan tertuduh sepatutnya melaporkan kepada polis, bukannya menyembunyikan mayat si mati.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Azhud yang ketika itu berusia 28 tahun telah melakukan bunuh terhadap Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan cara memukul menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak sehingga mengakibatkan kematian.

    Perbuatan itu dilakukan di alamat No 2A Lorong Mohd. Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan pada pukul 10 malam hingga 8 pagi pada 10 Ogos 2018.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fitri Sadarudin manakala Mohd. Azhud diwakili peguam, Gurbachan Singh.
    Sepanjang tempoh prosiding, pihak pendakwaan telah memanggil seramai 20 saksi manakala dua saksi lagi di pihak pembelaan.

  • Bunuh rakan, tukang cuci dihukum gantung sampai mati

    Bunuh rakan, tukang cuci dihukum gantung sampai mati

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung terhadap seorang tukang cuci atas kesalahan menyebabkan kematian rakannya, tiga tahun lalu.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu terhadap tertuduh, C. Puvaneswaran, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan berkenaan.

    “Mahkamah telah meneliti nota keterangan yang direkod dan membaca hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak.

    “Mengambil keterangan yang ada, mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, maka atas alasan ini pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes dan hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang ialah hukuman mati,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Puvaneswaran yang hadir dengan memakai baju dan seluar hitam menundukkan kepala ketika mendengar keputusan itu dibaca.

    Mengikut pertuduhan, pemuda itu didapati menyebabkan kematian G. Ganesh yang berusia 29 tahun ketika kejadian.

    Kesalahan dilakukan di Jalan Kuala Klawang, Hulu Langat antara pukul 12.30 tengah malam hingga 6.05 pagi, 24 Julai 2018 lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.