Tag: dicekup

  • Pembantu rumah curi barang kemas majikan dicekup

    Pembantu rumah curi barang kemas majikan dicekup

    SEORANG pembantu rumah warga asing ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian barang kemas milik majikannya di sebuah rumah di Ampang Jaya Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 63 tahun menyedari barang kemas yang diletakkan di dalam almari pakaiannya hilang pada pukul 5 petang.

    “Wanita berkenaan telah bertanyakan kepada pembantu rumahnya dan dia mengaku telah mengambil dan memajakkan barang kemas tersebut di sekitar Ampang.

    “Pembantu rumahnya kemudian menyerahkan tiga resit pajakkan barang kemas disyaki milik majikannya dan berjanji akan membayar semula,” katanya sebagaimana lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, wanita tersebut telah melepaskan pembantu rumahnya dan berbincang semula pada pukul 9 pagi, Ahad.

    “Pada keesokan harinya, wanita tersebut telah pergi ke rumah pembantu rumah itu dan mendapati dia telah tiada serta gagal dihubungi. Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000,” katanya.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya telah menahan secara berasingan dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 33 tahun di dua premis pajak gadai pada pukul 10.30 pagi, Ahad.

    “Dua lelaki yang ditahan itu merupakan pengurus premis pajak gadai, kita turut merampas sepasang subang dan dua utas rantai dipercayai milik mangsa.

    “Kita kemudian berjaya memberkas pembantu rumah berusia 41 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Dagang di sini pada pukul 3.45 petang,” katanya.

    Beliau berkata, permohonan reman terhadap dua lelaki itu telah ditolak oleh mahkamah, namun suspek wanita telah direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    HELAH seorang lelaki berusia 46 tahun menumpang sementara di rumah seorang ibu tunggal yang dakwanya akan dinikahinya gagal apabila dia ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), semalam.

    Lelaki berstatus duda itu ditahan bersama pasangannya, wanita 38 tahun yang mempunyai tiga anak di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, Kedah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup sepasukan anggota JAIK selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti maksiat.

    Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.

    “Pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

    “Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

    Wanita berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai tersebut manakala lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.

    Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

    Beliau menambah, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.