Tag: Dewan Ulama PAS

  • Dewan Ulama Pas seru kerajaan pusat contohi Kedah tamatkan operasi judi

    Dewan Ulama Pas seru kerajaan pusat contohi Kedah tamatkan operasi judi

    DEWAN Ulama Pas menyeru kerajaan Persekutuan mengikuti langkah kerajaan Kedah yang tidak memperbaharui lesen judi, menjadikan tiada lagi premis perjudian dan loteri beroperasi di negeri itu bermula tahun ini.

    Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tidak cukup bagi kerajaan Persekutuan sekadar menurunkan cabutan khas nombor ramalan daripada 22 kali kepada lapan kali setahun.

    “Dewan Ulama Pas ingin menyeru kerajaan Persekutuan supaya turut mempunyai tekad politik yang sama. Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.

    “Dewan Ulama Pas yakin dan percaya bahawa tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bermula semalam, tiada lagi premis perjudiaan dan loteri beroperasi di Kedah selepas kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen aktiviti itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan pemantauan bagi memastikan semua premis perjudian mematuhi arahan yang dimuktamadkan sejak November lalu.

    Mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah, Ahmad berkata, dasar yang tegas perlu dilaksanakan kerana kegiatan judi membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat.

    “Satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka,” katanya, lapor MalaysiaKini.

  • Penubuhan sayap kawasan perkukuh Dewan Ulama PAS

    Penubuhan sayap kawasan perkukuh Dewan Ulama PAS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGUKUHAN Dewan Ulama PAS menerusi penubuhan sayap Dewan Ulama PAS di kawasan-kawasan bakal menjadi agenda utama Ketua Dewan Ulama PAS yang baharu, Datuk Ahmad Yahaya selepas ini.

    Menurut Ahmad Yahaya, perkara tersebut pernah diusulkan dalam Muktamar PAS sebelum ini yang diyakini mampu mendatangkan banyak manfaat kepada parti masyarakat setempat.

    Katanya, setiap sayap Dewan Ulama PAS di kawasan-kawasan itu juga diharapkan akan dapat bergerak aktif selepas ini.

    “Keduanya sudah tentulah kita akan turut serta dalam membuat persiapan bagi membantu rakyat terjejas banjir ketika ini.

    “Selain itu dalam keadaan semua pihak dapat ‘menghidu’ kehadiran pilihan raya yang kian dekat, jadi kita akan berusaha untuk terus memantapkan parti dari segala sudut,” katanya kepada Warta Rakyat hari ini.

    Pesuruhjaya PAS Kedah itu kelmarin diumumkan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat bagi menggantikan Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

    Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, pelantikannya itu dianggap tidak ubah seperti penyerahan ‘baton’ daripada kepimpinan Dewan Ulama PAS terdahulu bagi meneruskan kesinambungan sebelum ini.

    “Menjadi pemimpin ini tidak bermakna kita mulia sebaliknya kemuliaan itu terletak pada tanggungjawab yang dipikul dan dilaksanakan itu.

    “Sekarang ada 12 ahli jawatankuasa pusat yang dipilih dari pelbagai latar belakang, pengalaman dan pendidikan. Keberadaan mereka itu sememangnya munasabah bagi membantu memperkukuhkan organisasi ini,” katanya.