Tag: desak letak jawatan

  • ‘Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib letak jawatan segera’ – Annuar

    ‘Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib letak jawatan segera’ – Annuar

    GESAAN menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO terus kedengaran daripada ahli-ahli parti itu selepas kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Terbaharu, beberapa Ketua Bahagian UMNO, berkumpul hari ini di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara, sejurus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman kerjasama yang bakal dijalinkan dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pusat.

    Antara Ketua Bahagian yang membuat desakan itu ialah Ketua Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa; Ketua Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Ketua Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani dan beberapa pemimpin lain.

    Menurut Annuar, kesabaran yang telah diberikan untuk patuh segala kehendak Zahid telah dituruti sehingga di saat-saat terakhir.

    Sehubungan itu tegas Annuar, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut perlu mengikut tradisi serta mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk BN dalam PRU15 dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

    Beliau menegaskan, tindakan itu penting untuk dilakukan Ahmad Zahid dalam memastikan proses pemulihan dalam UMNO dan BN mampu dilakukan seberapa segera.

    Malah katanya, pendirian yang dibuat oleh parti itu serta akar umbi sebelum sebelum ini telah bercanggah dengan naratif yang cuba dirintis oleh Zahid ketika ini.

    “Kenapa UMNO mesti merangkak untuk mengangkat DAP menjadi kerajaan?

    “Kami terpaksa membuat pendirian kerana pemimpin telah terbuka nak mengangkat DAP menjadi kerajaan, PH jadi kerajaan dengan Anwar menjadi Perdana Menteri… kami tak boleh diam diri lagi,” kata Annuar dalam sidang media, hari ini.

    Dalam pada itu, majoriti Ketua Bahagian UMNO setakat ini menentang hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    Kebanyakan mereka, jelas Annuar, redha dengan kekalahan UMNO/BN dalam PRU-15 dan rela menjadi pembangkang.

    Tegas Annuar, jika kengganan Zahid berterusan hanya akan memaksa ahli UMNO melakukan tindakan luar dugaan untuk memaksanya berundur.

    “Dalam UMNO kita ada pilihan-pilihan tertentu untuk itu, namun pada tahap ini tidaklah perlu dan lebih baik dia undur diri sekarang,” kata Annuar lagi, lapor Astro Awani.

    Annuar turut memberitahu, ketua-ketua bahagian akan mengadakan siri perbincangan selepas ini bagi menentukan hala tuju terbaik parti itu.

    Kata beliau lagi, kesabaran ahli-ahli UMNO ketika ini sudah sampai ke tahap maksimum dan Zahid perlu mendengar suara majoriti ahli parti.

  • Halimah gesa Zahid berjiwa besar letak jawatan macam Najib

    Halimah gesa Zahid berjiwa besar letak jawatan macam Najib

    BEKAS Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semalam.

    Menurut beliau, UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.

    “Dengan rasa penuh hormat, saya memohon supaya Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya segera meletakkan jawatan.

    “Berjiwa besarlah Presiden. Bertanggungjawablah atas apa yang telah berlaku.

    “Letakkan kepentingan Parti sebagai keutamaan seperti yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018 bila kita kalah. Beliau buat begitu kerana sayangkan Parti UMNO,” katanya menerusi catatan Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Halimah turut berpesan kepada Ketua UMNO Bahagian agar berani mempertahankan parti dengan iltizam untuk membersihkan dan menguatkan parti itu dengan meletakkan pemimpin yang lebih bertanggungjawab untuk terus memimpin UMNO.

    “Kepada semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian, jadilah seorang ketua yang ikhlas, bertanggungjawab dan kita sama-sama minta Presiden undur diri dan meletak jawatan demi perjuangan dan masa depan parti.

    “Pulangkan perjuangan UMNO kepada niat asal. Perjuangan dan keutamaan parti adalah tertumpu kepada suara akar umbi yang mendambakan sebuah institusi yang berupaya membawa suara dan nasib rakyat terbanyak. Kepada Allah kita berserah,” katanya.

    Sementara itu, Halimah menyokong sepenuhnya kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang terlebih dahulu menggesa Zahid meletak jawatan.

    Jelas beliau, untuk itu, perlukan kepada perubahan besar untuk membersihkan nama UMNO yang suci.

    “Jangan cemarkan lagi kesucian Parti UMNO dengan pemikiran yang dangkal tidak berasas dan tidak berprinsip hanya untuk kepentingan peribadi,” katanya.

  • PRU-15: Laungan ‘undur Zahid’ bergema di ibu pejabat UMNO

    PRU-15: Laungan ‘undur Zahid’ bergema di ibu pejabat UMNO

    LAUNGAN ‘undur Zahid, No DAP, No Anwar’ bergema di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur petang ini.

    Desakan itu disuarakan sendiri akar umbinya dari UMNO Bahagian Bukit Bintang yang kecewa susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Jurucakap akar umbi UMNO itu, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mengambil tanggungjawab atas keputusan buruk BN pada PRU-15 kali ini.

    “Mana-mana organisasi sekiranya gagal capai kemenangan, maka ia mesti digalas ke atas kepala partinya. Dalam hal ini ia adalah Presiden UMNO sendiri.

    “Bukan kita tak sayangkan Ahmad Zahid dan parti, tetapi beliau perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. BN sudah kalah dalam dua PRU berturut-turut,” katanya kepada media.

    Beliau berkata, keputusan untuk berundur jika diambil Ahmad Zahid adalah lebih wajar dan lebih terhormat sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan serta mengambil tindakan sewajarnya.

    “Saya rasa ramai lagi ketua UMNO bahagian dan ahli UMNO akar umbi akan mengikut langkah kita. Kita tidak kisah dibuang parti. Kita mahu suarakan naluri dan isi hati kami,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, mereka juga tidak bersetuju dengan cadangan mahu BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, susulan tiada gabungan meraih cukup 112 kerusi Parlimen.

    BH turut difahamkan, beberapa lagi kumpulan didakwa mewakili akar umbi UMNO akan hadir ke ibu pejabat parti itu bagi menzahirkan hasrat sama, hari ini.

    BN mengalami kekalahan paling buruk sejak menyertai PRU selepas hanya menang di 30 kerusi Parlimen pada PRU15, yang menutup tirai semalam.

  • Kecewa peranan MKT diketepikan, Dira gesa Ahmad Zahid berundur

    Kecewa peranan MKT diketepikan, Dira gesa Ahmad Zahid berundur

    TEKANAN ke atas Pengerusi Barisan Nasional, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin meningkat, apabila lebih ramai pemimpin kanan parti mendesaknya untuk mengundurkan diri.

    Kali ini, desakan itu dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang menyarankan agar Ahmad Zahid mengundur diri, supaya parti boleh melakukan perubahan yang mutlak.

    Menurut beliau, biarpun rakyat menolak pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak menjadikan barisan kepimpinan UMNO sebagai pilihan mereka kali ini.

    “Walaupun telah ramai memperkata dan memperingatkan agar parti perlu lebih berhati-hati dan berubah, tetapi tidak diendahkan.

    “Akhirnya rakyat sendiri terpaksa menyingkirkan UMNO. Bukan sahaja pemimpin besar UMNO yang lain, bahkan turut mengorbankan sahabat-sahabat saya, pelapis muda, yang berpotensi dalam UMNO dan Barisan Nasional,” katanya lagi.

    Perubahan baharu Malaysia pasca PRU-15, kata Khaidhira, memberi signal jelas daripada rakyat untuk UMNO agar lebih serius melakukan perubahan tampuk kepimpinan selari dengan denyut nadi rakyat.

    Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, era parti terbesar dan memiliki ahli teramai yang mampu menjanjikan kemenangan telah berlalu, dan hakikatnya, peratusan ahli UMNO sebagai pengundi jauh lebih kecil daripada pengundi bukan parti.

    Khaidhira berkata, sebagai pemimpin muda dalam parti, beliau juga menyahut seruan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa agar Zahid mengundurkan diri dengan segera.

    “Bahkan dalam situasi genting hari ini, sebarang bentuk rundingan perlu dibawa ke meja perbincangan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Namun, saya menzahirkan rasa kecewa kerana seolah-olah MKT sebagai pembuat keputusan tertinggi diketepikan dan mesyuarat MKT dibatalkan.

    “Parti memerlukan perubahan mutlak mendengar suara hati rakyat. Bukan sahaja kehendak akar umbi UMNO semata, tetapi kehendak hati nurani rakyat sebagai pengundi majoriti,” katanya, lapor Astro Awan.

  • Noh Omar pula desak Zahid letak jawatan, cadang orang baru urus UMNO

    Noh Omar pula desak Zahid letak jawatan, cadang orang baru urus UMNO

    LAGI desakan meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

    Kali ini ia dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Tan Sri Noh Omar yang hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.

    Menurut Noh, beliau meminta Zahid agar berjiwa besar meletakkan jawatannya sebagaimana dilakukan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil tanggungjawab kekalahan PRU-14 lalu.

    Katanya, adalah lebih elok UMNO diuruskan oleh kepimpinan baharu.

    “Saya pun tadi minta jika Presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Datuk Seri Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan UMNO,” katanya.

    Mengulas lanjut, Noh memaklumkan beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor secara rasmi berkuat kuasa hari ini.

    Noh bagaimanapun menegaskan, beliau masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

    “Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya,” katanya lapor Berita Harian.