Tag: Denmark

  • Pas kecam insiden bakar Al-Quran di Denmark

    Pas kecam insiden bakar Al-Quran di Denmark

    Oleh DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

    PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab kumpulan ekstremis anti Islam berhaluan kanan Denmark Patrioterne Gar Live yang membakar naskah suci Al-Quran termasuk mempamerkan sepanduk anti Islam di hadapan bangunan Kedutaan Turkiye di Copanhagen, Denmark Jumaat lalu sebagai amat keterlaluan, ekstrem dan menghina kesucian agama Islam.

    Ia adalah satu tindakan yang amat rasis dan Islamofobia yang melampau apatah lagi ia dilakukan di bulan Ramadan yang mulia ini di mana ia sememangnya akan mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia sesudah tindakan ahli politik ekstremis berhaluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan yang melakukan tindakan serupa di Stockholm, Sweden hujung Januari lalu.

    Di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh tawaduk dan kesyukuran dan dunia berada di ambang ketidaktentuan berikutan pelbagai konflik yang berlaku, insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara agama yang mampu membawa kepada kesan dan akibat yang amat buruk kepada keamanan sejagat dan dunia.

    Kebebasan bersuara yang diamalkan Barat sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama yang lain. Adalah amat tidak wajar kepada mana-mana individu dan kumpulan dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutamanya dalam bentuk provokasi seperti membakar Al Quran mahupun melukis karikatur berupa Nabi Muhammad SAW.

    Dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab ini yang telah mencemarkan kesucian agama Islam tambahan lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya.

    “Malaysia Sejahtera”

    Penulis ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat/ADUN Batu Buruk

  • Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    Armada Bersatu desak Wisma Putra panggil Duta Besar Sweden, Denmark

    ARMADA Bersatu mendesak Wisma Putra memanggil kedua-dua Duta Besar Denmark dan Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras negara ini terhadap jenayah keji ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan di Stockholm baru-baru ini.

    Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan memanggil duta berkenaan adalah penting untuk menunjukkan bahawa Malaysia memandang serius perkara itu.

    Menurutnya, ia juga bagi menunjukkan negara ini tidak akan bertolak ansur dengan jenayah yang telah berulang kali dilakukan oleh ahli politik itu.

    “Armada mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji membakar Al-Quran oleh Paludan di Stockholm.

    “Ia dengan malangnya dibenarkan oleh kerajaan Sweden di atas nama kebebasan bersuara; yang mana Armada membantah sekeras-kerasnya pendirian yang diambil oleh kerajaan Sweden kerana kami percaya bahawa kebebasan bersuara bukanlah termasuk kebebasan untuk menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli politik berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan kawalan polis yang ketat lapor Berita Bersatu.