Tag: demokrasi

  • Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

    Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

    SYOR jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan kepada mana-mana ahli dan pemimpin dilihat sebagai menutup pintu demokrasi.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti itu wajar memberi hak kepada ahli untuk mengundi dan membuat keputusan dalam memilih barisan pemimpinnya.

    “Kita kena praktis dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk membuat keputusannya. Kerana ini adalah ‘training ground’.

    “Tengok parti lain PKR, DAP, PAS dia jalan (pemilihan) dulu, bergasak…dia bergasak juga, tapi akhirnya apa jadi? dia (Pakatan Harapan) menang 82 kerusi, PN ada partinya yang dapat 49 dari 74 kerusi Parlimen.

    “(Dalam UMNO) Lawanlah…sebab ini parti punya hal, rakyat pun faham. Kalau kita pergi pemilihan parti di bahagian, mana ada gaduhnya, mereka pergi pangkah saja, yang bergaduh ini kalau kita tipu undi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Semalam, seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

    Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan merebut jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini, Johari memberi bayangan akan bertanding salah satu dari tiga jawatan tertinggi parti.

    “Soal jawatan apa saya nak bertanding, kena tunggu bila pertandingan ini. Bila diumumkan pemilihan, nanti kita buatlah keputusan sama ada bertanding presiden ke, timbalan presiden ke, naib presiden ke, yang penting perkataan presiden itu ada.

    “Kita kena semarakkan konsep berdemokrasi dalam parti. Kita kena buat benda ini sebelum kita berdepan dengan PRU 2027,” katanya.

  • 20.8 juta rakyat Malaysia mengundi esok, mandat kepada siapa?

    20.8 juta rakyat Malaysia mengundi esok, mandat kepada siapa?

    RAKYAT Malaysia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka esok dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menentukan parti atau gabungan yang diberikan mandat membentuk kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan tiga negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Sebanyak 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing mulai 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Bagi memudahkan proses itu, sejumlah 38,348 saluran disediakan di 8,958 pusat mengundi seluruh negara pada pilihan raya kali ini yang melibatkan kos RM1.01 bilion iaitu peningkatan kira-kira RM500 juta berbanding PRU14.

    Proses demokrasi Malaysia, yang berasaskan sistem ‘first past the post’ itu, dimulakan menerusi pengundian awal yang dilaksanakan pada Selasa di 970 saluran di 578 pusat pengundian dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi yang melibatkan kalangan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

    Menyedari kepentingan hak mengundi dan bagi memudahkan urusan orang ramai menunaikan kewajipan sebagai pengundi, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan hari ini dan esok sebagai hari kelepasan am, manakala Kerajaan Negeri Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah mengumumkan cuti gantian pada Ahad.

    Tanpa mengetepikan aspek keselamatan dan kesihatan ramai, individu positif COVID-19 wajib memakai pelitup muka, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, mematuhi penjarakan fizikal selamat serta pulang segera selepas selesai mengundi.

     Sebagaimana ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan selain menggunakan pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.

    Dalam keadaan negara kini berhadapan dengan musim tengkujuh (Monsun Timur Laut), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir di tujuh negeri membabitkan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor manakala hujan di Kelantan, Perak, Sabah, Terengganu dan Labuan pada sebelah pagi hari pengundian.

    Cuaca baik dilaporkan di Pahang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada sebelah pagi.

    Bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan banjir yang berlaku di beberapa negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis berkata kerajaan sudah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi membantu mangsa dan menyelaraskan gerak kerja operasi di kawasan dan negeri terlibat banjir. 

    Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas bagi memberi laluan PRU15, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen. 

    PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15). Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

    Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan pertandingan bagi Parlimen Padang Serai diadakan pada 7 Dis ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan M. Karupaiya pada Rabu. 

    Menyaksikan seramai 1,380 calon bertanding iaitu 939 (kerusi Parlimen), 434 (kerusi DUN Perlis, Perak dan Pahang) dan tujuh calon Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, PRU15 diamati paling sengit dalam sejarah demokrasi negara serta menjadi medan tempur parti politik dan rakan sekutu yang membentuk gabungan.

     Pilihan raya kali ini menyaksikan gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain mengharapkan sokongan kira-kira 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun buat pertama kalinya layak menentukan kepimpinan negara.  

    Tidak kurang pentingnya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dikuatkuasakan bermula 5 Okt lepas.

    Kempen PRU15 berlangsung selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 Nov lepas dan diwarnai dengan pelbagai akviti ceramah, perang poster parti-parti politik, pendekatan konvensional bertemu pengundi selain penggunaan platform media sosial bagi meraih sokongan dibuat sehingga 11.59 malam, hari ini.

    Memberi jaminan keselamatan pada hari pengundian, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

    Acryl Sani menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang berita palsu yang bertujuan membangkitkan kegelisahan dan rasa takut sehingga mencetuskan spekulasi negatif.

    Apa yang pasti, PRU15 yang diadakan bukan sekadar pelengkap proses demokrasi sebaliknya turut menjadi platform penting dalam memilih kerajaan yang stabil serta mampu mengemudi negara, termasuk mengharungi pelbagai cabaran seiring dengan unjuran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

    Tidak harus dilihat sebagai peluang menunaikan hak mengundi semata-mata, setiap pengundi pada PRU15 menggalas tanggungjawab besar dalam membuat pilihan tepat demi memastikan kelangsungan hala tuju, kejayaan serta kemakmuran negara. – BERNAMA

  • PRU-15: Hormati proses demokrasi, elak cetus provokasi

    PRU-15: Hormati proses demokrasi, elak cetus provokasi

    TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menasihati semua penyokong parti politik agar menghormati proses demokrasi dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata para penyokong parti politik perlu menanam sifat toleransi dan kerjasama yang jitu antara satu sama lain bagi menjamin keharmonian sepanjang tempoh PRU15.

    “PRU15 adalah proses untuk kita memilih pemimpin dan kita sebagai penyokong tidak perlu bermusuh atau dengan sengaja mewujudkan kekecohan atau provokasi.

    “Malah pemimpin-pemimpin juga akan menjaga ukhwah dan keharmonian kerana selepas habis PRU15 ini, kita akan berkawan seperti biasa,” katanya.

    Ahmad Marzuk berkata demikian selepas beramah mesra dengan pemenang pingat emas Para Sukma 2022 Kuala Lumpur bagi acara catur berpasukan kategori (PI) Norazlin Juarih dan Faris Iqbal Ahmad dekat Pengkalan Chepa di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas video tular di media sosial yang memaparkan insiden provokasi dan perang mulut antara dua penyokong parti politik dalam program ceramah di Sungai Dulang, Bagan Datuk pada Ahad lepas.- BERNAMA

  • Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    Pelaksanaan undi 18 perlu seiring dengan pendidikan amalan demokrasi

    PELAKSANAAN Undi 18 perlu seiring dengan pendidikan mengenai sistem politik dan amalan demokrasi di negara ini khususnya kepada generasi muda, kata pemimpin pertubuhan bukan kerajaan berkaitan belia.

    Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Johar berkata walaupun MBM gembira dengan komitmen kerajaan hari ini untuk melaksanakan Undi 18, namun pada masa sama generasi muda perlu dididik bagaimana untuk menggunakan hak mengundi itu sebaik-baiknya.

    “Dalam menyambut baik perlaksanaan ini, kita harus ingat ia bukan sahaja hak, tetapi merupakan satu tanggungjawab.

    “Generasi muda harus dididik untuk memilih pemimpin yang betul dan beretika dan bukan sekadar mengikut rakan dan emosi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Bagi MBM Jufitri berkata pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Sekolah Politik 2.0 secara maya, dalam membantu memberi pendedahan kepada belia mengenai sistem politik negara dan usaha berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada belia pelbagai kaum.

    “Dengan penyertaan yang memberansangkan ini, ia membuktikan generasi muda amat berminat untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi,” katanya.

    Beliau berkata tanggungjawab memberikan maklumat secukupnya kepada generasi muda sebelum mereka menterjemahkan aspirasi mereka pada kertas undi secara bijaksana, adalah tanggungjawab semua pihak.

    Sementara itu, Jufitri yakin Undi 18 berkenaan mampu dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berasaskan kesungguhan usaha transformasi Parlimen yang diwar-warkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor pula berkata pendidikan sistem politik dan kenegaraan sepatutnya dimasukan dalam sukatan mata pelajaran peringkat sekolah, dan diberikan seawal usia 16 tahun.

    Beliau berkata ia bertujuan untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai peranan mereka, tentang pentingnya amalan sistem demokrasi di negara ini dipelihara dan dilaksanakan sebaik-baiknya.

    “Guru-guru harus bersikap natural dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memberi pendidikan ini secara menyeluruh. Ia juga perlu dijadikan sebagai sukatan mata pelajaran bagi mengelakkan guru dan pelajar daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.

    Selain itu Mohd Alif Anas juga mencadangkan kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya pada umur 18 tahun, diselarikan dengan pelaksanaan Undi 18.

    Beliau berkata sekiranya semua pihak seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan perundangan berkerjasama dan berganding bahu mencari titik persefahaman, GPMS yakin Undi 18 ini mampu dijalankan pada PRU 15 nanti.

    Dalam pada itu,  Mohd Alif Anas berkata SPR perlu mencari mekanisme terbaik untuk menjalankan pilihan raya dalam fasa pandemik.

    “Kita faham kestabilan politik adalah kunci kepada sebuah kerajaan yang cekap. Oleh itu, kita perlu sedar pilihan raya perlu diadakan jika sampai pada waktunya,” katanya.- BERNAMA