Tag: demi kuasa

  • UMNO tak boleh ‘menumpang’ demi kuasa, kata Ku Li

    UMNO tak boleh ‘menumpang’ demi kuasa, kata Ku Li

    UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan hanya menumpang pengaruh atau kuasa pihak lain, kata seorang pemimpin veteran parti itu.

    Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, parti itu juga perlu menjalani transformasi agar imejnya dapat dipulihkan selepas kalah teruk pada PRU15.

    “Kita kena bangkit sebagai sebuah parti yang kuat. Tidak menumpang orang untuk mendapat sedikit sebanyak pengaruh ataupun kuasa. Kita parti yang mewakili majoriti rakyat Malaysia sebagai parti orang Melayu.

    “Jadi takkanlah kita berharap supaya kita duduk sebagai penumpang dan hanya mengharap kepada sedikit jawatan yang tidak memberi makna pun kepada kita,” katanya menurut Berita Harian.

    Selain kalah teruk dengan hanya menang di 25 kerusi Parlimen pada PRU15, kemelut dalaman UMNO semakin kemuncak di pentas Perhimpunan Agung UMNO 2022 apabila berlaku konflik dalam isu dua jawatan tertinggi parti yang tidak dipertandingkan.

    Ia disusuli dengan tindakan UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya yang dikatakan melanggar disiplin parti pada PRU15.

    Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada Jumaat memutuskan memecat bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar.

    Beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.

  • Kerjasama BN-PH dianggap jual maruah parti demi kekal berkuasa

    Kerjasama BN-PH dianggap jual maruah parti demi kekal berkuasa

    TINDAKAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap menjual maruah parti itu untuk kekal berkuasa.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, demi mengekalkan kuasa politik, BN khususnya UMNO yang melaungkan ‘No PKR, No DAP, No Bersatu’, mengetepikan prinsip tersebut.

    Menurut bekas ahli majlis tertinggi UMNO itu, walaupun menyedari bahawa apa yang dilakukan Zahid adalah strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau tetap beranggapan tindakan BN itu seolah-olah langsung tidak berpegang kepada prinsip dan nilai dalam sebuah perjuangan.

    “Pilihan raya umum kali ini benar-benar pelik, banyak perkara tidak disangka berlaku. Ini pun tak pernah berlaku, ada orang berkempen dalam pilihan raya maki orang bagai nak rak, lepas pilihan raya pergi peluk orang itu bagai nak rak. Tak ada dalam pilihan raya.

    “Tak ada dalam pilihan raya seorang pemimpin seperti Zahid yang laungkan ‘No Anwar, No DAP itu untuk pilihan raya saja, lepas pilihan raya lain.

    “Jadi kalaulah sebelum pilihan raya macam itu, selepas pilihan raya macam lain. Jadi esok dia cakap macam itu, lusa dia cakap lain lah agaknya. Sebelum dilantik dalam Kabinet lain, lepas dilantik lain.

    “Ada orang cakap dengan saya, dia kata ini soal strategi, betul saya faham soal strategi tapi kalau pun strategi, kita dalam Perikatan Nasional (PN) takkan sanggup sampai menjual maruah semurah itu, kita tak sanggup buat sebab itu bila kita kata tiada PH, memang tiada PH. Bila kita kata tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH, kita tak kerjasama dengan PH,” katanya semasa ceramah PN di Rompin malam tadi.

    Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu menegaskan, PN kekal berpegang kepada pendirian parti dan sanggup jadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa bersama dengan PH.

    “Itu baru perjuangan, kalau hari ini maki PH, biarlah kita ni berpegang kepada sesuatu prinsip dan nilai.

    “Jangan kita terlalu mudah demi untuk jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, demi untuk jadi exco, maka kita boleh jual maruah kita dengan semurah dan semudah itu. Kita ada ada prinsip dan kita ada nilai,” katanya lagi.

    Menurut Zahid semalam, prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hanya untuk berdepan PRU-15, dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.

    “Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya menerusi hantaran di laman facebook miliknya.

    Tambah Zahid lagi, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.