Tag: Deepak Jaikishan

  • Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

    Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

    TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menafikan beliau sebahagian rombongan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ke India baru-baru ini untuk bertemu pembekal telur ayam.

    Bagaimanapun Saravanan mengesahkan beliau berada dalam penerbangan yang sama ke India dengan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dan ia adalah hanya satu kebetulan sahaja.

    “Ini (perjalanan) berlaku pada bulan Januari. Saya pergi ke India untuk upacara sembahyang dan kebetulan saya terserempak dengan menteri dan lelaki yang berkenaan,” kata Saravanan kepada Malaysiakini.

    Beliau merujuk kepada gambar tular yang diterbitkan oleh sebuah blog dan telah diedarkan semula oleh portal MalaysiaNow Jumaat, lalu yang turut menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan.

    Mengulas lanjut Saravanan berkata, mereka terpaksa berkongsi kenderaan sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

    “Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Jadi di lapangan terbang (Chennai) selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

    “Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja,” jelas bekas menteri itu ketika dihubungi hari ini.

    Perjalanan Mohamad ke India mendapat perhatian berikutan dakwaan mengenai kontrak rundingan terus kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk bekalan telur dari negara itu.

    Pada Sabtu, pemimpin Bersatu Azmin Ali mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim telah menganugerahkan projek mengimport telur dari India kepada Deepak, seorang ahli perniagaan yang menjadi pengkritik terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

    Ketika menyampaikan ucapan pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, bekas menteri kanan itu juga mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus, bertentangan dengan ikrar kerajaan baru untuk menamatkan amalan sedemikian bagi projek kerajaan.

    Azmin juga mendakwa telur yang diimport Deepak dari India diberi pengecualian oleh kerajaan daripada menjalani pemeriksaan keselamatan makanan.

    Sebagai tindak balas, J&E Advance Tech Sdn Bhd, pengimport tunggal telur dari India hari ini menafikan kedua-dua dakwaan berhubung rundingan langsung dan pengecualian keselamatan makanan.

    Sebaliknya, syarikat itu berkata ia telah meminta kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menangani kekurangan teruk dalam pasaran dan diberi kelulusan sementara berkuat kuasa sehingga Jun 2023.

    Syarikat itu dalam kenyataannya tidak menyebut tentang hubungan Deepak yang dikatakan dan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati nama saudagar permaidani itu tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu.

  • Deepak dianugerahkan kontrak import telur dari India, dakwa Azmin

    Deepak dianugerahkan kontrak import telur dari India, dakwa Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menganugerahkan kontrak mengimport telur dari India kepada Deepak Jaikishan, seorang peniaga permaidani yang pernah menjadi rakan dan pengkritik kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

    Semasa ceramah Ceramah Perdana Solidariti Menentang Kezaliman di Pusat Tabiyah Pas Pusat di Taman Melewar, Azmin juga mendakwa kontrak itu diberikan melalui rundingan terus, sekali gus bercanggah janji kerajaan untuk menamatkan amalan sedemikian apabila berkuasa.

    “Sebelum ni dia (kerajaan) kata nak buat tender terbuka, tidak ada direct nego.

    “Pimpinan, ahli parlimen dah cabar dalam parlimen nyatakan siapa dapat kontrak bawa telur India ke Malaysia?

    “Tuan-tuan tahu siapa?

    “Deepak.

    “Deepak siapa? Kawan Rosmah.

    “Dalam parlimen tak jawab, tapi kita sudah bongkarkan,” katanya malam tadi, lapor Malaysiakini.

    Beliau yang juga Ahli majlis tertinggi Bersatu mendakwa, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah membawa Deepak dalam lawatannya ke India sebelum ini.

    “Deepak duduk sebelah Mat Sabu pergi ke India.

    “Saya nak tanya apa peranan Deepak? Mana tender terbuka?

    “Kenapa Deepak je boleh bawa telur, orang lain tak boleh bawa telur?”soalnya.

    Azmin juga mendakwa telur kategori D yang lebih mahal itu diberi pengecualian oleh kerajaan daripada menjalani saringan keselamatan makanan.

    “Saya dapat maklumat daripada kementerian, Deepak diberikan, difahamkan mendapat bekalan kontrak telur ni pada harga 32 sen, tapi kategori D.

    “Kita tanya apakah ada saringan keselamatan di Jabatan veterinar?

    “Kita tahu setiap produk makanan nak masuk ke negara mesti ada lima saringan. Tapi saringan-saringan ni difahamkan dikecualikan

    “Siapa yang nak semak tentang keselamatan telur dari India? Siapa nak semak kualiti telur dari India?” soalnya.

    ‘Special case’

    Pada 28 Feb lepas, Mohamad Sabu dilapor berkata hanya sebuah syarikat diberi kebenaran mengimport telur dari India.

    Langkah itu diambil bagi menangani isu kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan.

    Pada 8 Mac lalu, Mohamad ketika menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengakui syarikat pengimport telur dari India itu tidak dilantik melalui tender terbuka.

    “Tidak.

    “Dia kena bagi khusus satu kerana kita buat ini dalam keadaan nak menampung (bekalan telur) sementara.

    “Maka dibuat kepada “special case”, dan lepas ini kalau keadaan pengurusan telur ini pulih, kita akan kurangkan atau stop import,” kata Mohamad.

    Malaysiakini sedang cuba menghubungi pejabat Deepak dan Mohamad Sabu untuk mendapatkan respons mereka terhadap dakwaan Azmin.

  • Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    SEBUAH blog memuat naik beberapa keping gambar yang didakwanya menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, gambar tersebut tersebar ketika persoalan berhubung pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk membekalkan telur ayam dari India.

    Beberapa gambar yang disiarkan di blog “Checkmatebro” turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan duduk bersama pemimpin Amanah itu.

    Gambar itu didakwa diambil semasa penerbangan mereka ke Chennai, India Januari lalu untuk bertemu pembekal bagi menangani masalah kekurangan telur ayam di Malaysia.

    “Betul ke Mat Sabu ke India tengok ladang ayam bawa Deepak dan Saravanan? Kalau betul, kenapa? Apa peranan dia orang?” soal blog tersebut.

    MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mat Sabu dan Deepak namun tidak berjaya.

    MalaysiaNow juga telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan maklum balas.

    Awal bulan ini, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun tahun ini.

    Langkah itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan kualiti telur import.

    Kenyataan Wee yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

    Kenyataan itu menyebabkan Wee menerima surat tuntutan saman daripada firma undang-undang yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.

    Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

    Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

    Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.

  • Deepak gagal kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah

    Deepak gagal kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah

    AHLI perniagaan J.R Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal dalam usaha mereka untuk mengembalikan semula saman yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan tiga yang lain berhubung dakwaan konspirasi yang menyebabkan mereka mengalami kerugian.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, sebulat suara menolak permohonan mereka untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengembalikan semula saman itu dan tiga lagi saman berkaitan terhadap pihak lain.

    Hakim Rohana, yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang, berkata mahkamah mendapati tiada kesilapan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, yang memerlukan campur tangan mahkamah.

    Deepak diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, manakala peguam Datuk David Matthews mewakili Najib dan Rosmah dan peguam Robert Lazar bertindak bagi pihak Bakti Wira Development Sdn Bhd dan Boustead Holdings Berhad.

    Pada 29 April lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Deepak, J. Rajesh dan Radiant Splendor Sdn Bhd untuk mengembalikan semula saman terhadap Najib, Rosmah, bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, adik lelaki Najib, Datuk Ahmad Johari Abdul Razak dan bekas setiausaha sulit utama Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

    Saman yang difail pada September 2018 itu diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Jan 2020.

    Dalam saman itu, Deepak, saudaranya, Rajesh dan Radiant Splendor mendakwa defendan telah melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang, dan menuntut ganti rugi am.

    Deepak turut memfailkan saman terhadap Bakti Wira Development Sdn Bhd, Najib, Rosmah serta Boustead Holdings Berhad berkaitan perjanjian urusan tanah yang didakwanya mengakibatkan kerugian besar kepada syarikatnya.

    Pada 8 Okt tahun lepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membatalkan saman itu. – BERNAMA