Tag: Dayangku Intan

  • Tiada arahan ‘gam’ artis condong pembangkang – Fahmi

    Tiada arahan ‘gam’ artis condong pembangkang – Fahmi

    SUSULAN dakwaan seorang penyanyi era 90-an dikeluarkan daripada program raya televisyen kerajaan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya terdapat arahan untuk menyekat artis cenderung menyokong pembangkang.

    “Tidak digam. Tiada arahan sedemikian,” katanya di Twitter.

    Mengulas isu sama, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Suhaimi Sulaiman turut menafikan dakwaan berkenaan.

    “Kita di RTM tidak ‘gam’ mana-mana penyanyi pun. Industri akan rugi kalau kita gam-menggam ini.

    “Yang elok kita semua cakap elok-elok dan tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Semalam media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Fahmi memberi penjelasan berhubung dakwaan pegawai RTM diarah menyekat persembahan artis tertentu daripada siaran televisyen atau radio RTM.

    Katanya, beliau menerima maklumat RTM diarah memeriksa latar belakang seseorang artis sebelum dijemput membuat persembahan.

    Terdahulu, tular ciapan Twitter seorang pemilik akaun @MacGorjes mendakwa seorang penyanyi 90-an “digam” atas kecenderungan politiknya yang sering menghentam kerajaan perpaduan.

    Namun, ciapan tersebut dipadam oleh pemilik berkenaan sejurus mendapat perhatian warganet.

    Menerusi ciapan itu, Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid mendakwa dirinya “digam” melalui satu ciapan.

    “Siapakah saya ini, itu pun mereka koyak,” katanya.

  • Dikeluarkan daripada rancangan Aidilfitri RTM, Dayangku Intan minta Fahmi beri penjelasan

    Dikeluarkan daripada rancangan Aidilfitri RTM, Dayangku Intan minta Fahmi beri penjelasan

    PENYANYI popular era 1980-an, Dayangku Intan mendakwa persembahannya dalam Konsert Glam Raya yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan Aidilfitri ini, dikeluarkan.

    Dayangku Intan atau nama sebetulnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid bagaimanapun berkata, dia tidak pasti mengapa keputusan itu dibuat dan hanya dimaklumkan bahawa setiap individu yang akan menyertai program RTM akan diperiksa latar belakang.

    Menurutnya, perkara itu hanya dapat disahkan selepas mendapati poster terbaru program yang akan disiarkan pada 22 April depan itu tidak disertakan gambarnya.

    “Saya dah diberitahu sebelum itu, tetapi untuk dapatkan kepastian, apabila poster itu dikeluarkan, gambar saya tiada, bermakna sudah sah saya dikeluarkan daripada program tersebut,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

    MalaysiaNow masih menunggu komen daripada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berhubung perkara itu.

    Dayangku Intan yang terkenal dengan lagu “Senandung Hari Raya Untukmu”, berkata segala-galanya telah selesai daripada rakaman sehinggalah raptai.

    “Kita dah siap rakam, sudah buat raptai, kita dah buat semuanya untuk persembahan, ramai peminat saya dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor turut hadir tapi dikeluarkan rakaman itu, maknanya ia disunting keluar kemudian.”

    Ditanya sama ada keputusan mengeluarkan persembahannya daripada program itu mempunyai kaitan dengan tindakannya menyertai PAS yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) Disember lalu, beliau bagaimanapun enggan membuat spekulasi.

    Bagaimanapun, Dayangku berharap Fahmi dapat memberi penjelasan mengenai perkara ini memandangkan penyanyi itu mendakwa masih belum menerima alasan yang kukuh berhubung keputusan tersebut.

    “Saya pun ingin tahu kenapa saya dikeluarkan daripada rancangan ini, kenapa saya diblok di RTM.

    “Perkara ini tiada hitam putih, cuma diberitahu saya dikeluarkan dan penjelasan yang saya dapat ialah perlu periksa latar belakang,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau turut dimaklumkan bahawa kemungkinan nyanyiannya tidak akan disiarkan di radio memandangkan penampilannya di TV dihalang.

    “Tetapi maklum balas yang saya terima, ada yang memberitahu lagu-lagu saya masih disiarkan di radio, mungkin hanya radio swasta.

    “Saya hanya dimaklumkan sesiapa yang masuk program TV RTM, mereka akan disiasat latar belakang, tetapi maksud sebenarnya saya pun tidak tahu,” tambahnya.