Tag: daun ketum

  • 3 lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

    3 lelaki ditahan bersama 105kg daun ketum

    TIGA lelaki warga tempatan ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang kelmarin dipercayai anggota sindiket memproses dan menjual air ketum.

    Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan di sini hari ini memakluman, dalam serbuan itu polis turut merampas sebanyak 105 kilogram (kg) daun ketum bersama suspek yang berusia antara 22 hingga 26 tahun berkenaan.

    Katanya, suspek menjadikan bahagian belakang rumah itu sebagai tempat memproses air ketum dan ketika serbuan, terdapat empat buah periuk besar sedang digunakan untuk memasak daun ketum untuk dijadikan air ketum.

    Selain daun ketum, tamnahnya, polis turut merampas ratusan bungkusan air ketum yang telah siap diproses iaitu 1,545 liter, peralatan memasak, tong gas dan pelbagai lagi yang kesemuanya bernilai RM16,500.

    “Sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak beberapa bulan lalu dan mereka mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

    “Sindiket itu dipercayai mempunyai rangkaian mereka yang berperanan menjual air ketum kepada pembeli terutama pelanggan tetap,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

    Tambahnya, polis kini giat mengesan rangkaian sindiket itu dan tiga lelaki yang ditahan kini direman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, kenyataan tersebut turut memaklumkan seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana disyaki along yang menyimbah cat di premis perniagaan.

    “Suspek ditahan di Sungai Petani, Kedah dan kes disiasat di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427(324) Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 7.9 tan daun ketum dirampas Batalion 2 PGA

    7.9 tan daun ketum dirampas Batalion 2 PGA

    RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 7.9 tan daun ketum berjaya dirampas Batalion 2, Pasukan Gerakam Am (PGA) Kulim, Kedah sejak sebulan lalu setelah mengambil alih penugasan Op Benteng Covid dari Batalion 3 PGA Bidor, Perak.

    Penugasan pasukan itu melibatkan kawalan keselamatan sempadan darat Malaysia dan Thailand serta pesisir pantai barat utara.

    Pegawai Pemerintahnya, Supt. Md. Dali Jamil berkata, pihaknya turut merampas beberapa kenderaan iaitu tiga pacuan empat roda, sebuah van dan 19 motosikal.

    Selain itu lima telefon bimbit, lima liter air ketum, satu tong ais, bot bersama enjin serta wang tunai berjumlah RM756 turut dirampas.

    “Seramai 35 individu terdiri daripada 17 warganegara Malaysia, seorang Thailand, dan 15 Myanmar turut ditahan kerana disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan.

    “Bagi tangkapan membabitkan warganegara tempatan, 11 daripadanya terlibat dengan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, tujuh individu terlibat dengan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan seorang lagi ditahan mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    Sementara itu Md. Dali berkata, penahanan 15 individu warganegara Myanmar itu dibuat pada 30 Ogos lalu di sebuah ladang getah di Ladang Rakyat Laka Temin.

    “Seorang daripada individu ditahan disyaki menjadi tekong kepada yang lain untuk memasuki negara ini. Lelaki itu difahamkan pernah tinggal di Malaysia sebelum ini sebelum pulang ke Myanmar, dan kembali semula dengan membawa individu yang ditahan itu.

    “Mereka dipercayai masuk ke negara ini pada waktu Maghrib. Mungkin mereka menyangka pihak kami tidak bertugas pada waktu itu namun hakikatnya, sempadan negara ini sentiasa dikawal untuk tempoh 24 jam,” katanya.

    Beliau menambah, semua rampasan dan tangkapan yang dilakukan kemudiannya diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

  • Cubaan seludup keluar 2 tan daun ketum tumpas

    Cubaan seludup keluar 2 tan daun ketum tumpas

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dua tan daun ketum ke negara jiran melalui jalan laut di Pulau Batu Layang, di sini, tengah malam tadi.

    Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata  kegiatan itu dikesan dilakukan pada 12.30 tengah malam di kedudukan 1.1 batu nautika barat daya pulau tersebut berdasarkan hasil risikan dan intipan.

    “Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi itu, dua suspek telah bertindak mencampakkan  kesemua bungkusan plastik hitam ke laut dan menukar haluan bagi melarikan diri ke daratan berhampiran.

    “Hasil pemeriksaan di lokasi bungkusan dibuang, APMM menemukan 200 bungkusan plastik hitam terapung di laut yang disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat kira-kira dua tan dan bernilai RM360,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

    Katanya modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek adalah sama seperti tangkapan sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

    Mohd Zawawi berkata tindakan suspek membuang muatan bungkusan daun ketum ke laut disyaki berikutan menerima maklumat daripada tonto di Kuala Perlis dan APMM percaya bahawa mereka mengunakan dron bagi memantau pergerakan bot-bot penguat kuasa yang sentiasa melakukan rondaan ketat di kawasan sempadan negara.- BERNAMA