Tag: Datuk Zuraida Kamaruddin

  • Zuraida, setiausaha agung antara 11 pemimpin dipecat PBM

    Zuraida, setiausaha agung antara 11 pemimpin dipecat PBM

    BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad antara 11 individu yang digugurkan jawatan dan dipecat dari parti itu.

    Lapor Free Malaysia Today, pemecatan mereka kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

    Mereka antara 13 individu yang diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin PBM pada 19 Dis lalu.

    Selain Zuraida dan Hizwan, PBM juga memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

    Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

    Bagaimanapun PBM hanya memecat Timbalan Presiden 1 Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dari jawatan, dan mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.

    Menerusi kenyataan, unit penerangan PBM memaklumkan bahawa tindakan ke atas 13 individu itu dibuat selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

    “Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

    “Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27hb Disember 2022,” menurut kenyataan itu.

    Zuraida sebelum ini turut menyifatkan Presiden PBM Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

    Susulan itu Sng memberi respons kepada Zuraida supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri kerana pengundi di Ampang turut menolak bekas menteri itu pada pilihan raya umum ke-15.

    Kemelut melanda PBM semakin parah apabila Sng menggantung keahlian dan jawatan 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kerana mendakwa penglibatan individu berkenaan didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.

  • Zuraida enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia

    Zuraida enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia

    MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin enggan dikaitkan dengan Parti Negara Malaysia (PNM) iaitu sebuah parti politik baharu yang dikatakan akan menjadi platform terbaharunya dalam politik.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang itu enggan mengulas perkara itu sebaliknya memberitahu perkara itu sekadar desas-desus.

    “Desas-desus… desas-desus… desas-desus lah…” katanya ringkas dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan dokumen Kenaf Grading Standard di Galeri Kenaf, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu sumber memaklumkan sebuah parti politik yang diterajui beliau akan ditubuhkan pada akhir bulan ini yang terbuka menerima menerima keahlian pelbagai kaum.

    Penubuhan PNM dikatakan bertitik tolak pada tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menerima sebahagian ahli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), penyokong Zuraida dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Zuraidah diberi penerangan berkenaan perkembangan industri kenaf termasuk penggunaan teknologi Integrated Building System (IBS) dan pengeluaran produk ‘non woven fiber’ berasaskan kenaf di Ibu Pejabat LTKN, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini

    Media difahamkan, penubuhan parti baharu itu bagi membolehkan penyokong beliau dan penyokong Azmin bergerak dalam sebuah platform selepas tersingkir sebagai ahli PKR.

    PNM bagaimanapun, difahamkan akan kekal berada dalam blok Perikatan Nasional (PN) dan menjadi penyokong kerajaan hari ini.

    Sumber turut mendakwa, beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak menyokong PKR juga akan akan menyertai parti baharu itu.

    Difahamkan, pengenalan dan pelancaran parti baharu itu akan dibuat di ibu negara hujung bulan ini.

    Untuk rekod, Zuraida dan Azmin kini merupakan ahli Bersatu selepas disingkirkan daripada PKR.

  • 32,000 pekerja ladang asing dibawa masuk pertengahan Oktober

    32,000 pekerja ladang asing dibawa masuk pertengahan Oktober

    KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) meluluskan 32,000 pekerja ladang dari luar negara yang lengkap vaksinasi Covid-19, akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat bermula pertengahan Oktober ini.

    Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kesemua pekerja itu dibawa masuk ke negara ini untuk menjadi tukang penuai ladang memandangkan kebanyakan rakyat tempatan masih belum bersedia untuk melaksanakan tugasan itu.

    Beliau menjelaskan usaha itu juga merupakan sebahagian inisiatifnya dalam prestasi 100 hari pertama perkhidmatannya iaitu untuk meningkatkan pengeksportan komoditi negara ini.

    “KPPK akan pastikan pekerja peladang dari luar negara boleh diambil sebagai tukang penuai sebab negara masih memerlukan tenaga asing kerana orang Malaysia masih belum bersedia untuk bekerja di ladang sebagai penuai tetapi bahagian lain okey.

    “Namun, apabila negara ini sampai ke satu tahap teknologi dan sebagainya mungkin kita akan menggalakkan orang Malaysia untuk kerja di ladang dengan gaji yang lebih lumayan,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Dokumen Kenaf Grading Standard di Ibu Pejabat Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN), Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Zuraida berkata bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan pekerja dari luar negara masih diperkemaskan pihak berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) antaranya melihat warga negara mana yang dibenarkan memasuki Malaysia atas tujuan ini.

    Beliau berkata pemain industri ladang terbesar juga bersedia untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan seperti memastikan pekerja asing yang diambil telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 serta menyediakan tempat kuarantin yang sesuai dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan.

    “Malah, pemain industri ini juga bersedia untuk menanggung kos kemasukan pekerja dari luar negara, sekali gus ia dapat mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing,” katanya sambil menambah kemasukan pekerja ini antaranya terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

    Dalam pada itu, Zuraida turut optimis bahawa sasarannya untuk mencapai RM180 bilion pengeksportan komoditi melalui prestasi 100 hari perkhidmatannya sebagai Menteri KPPK mampu direalisasikan memandangkan nilai eksport komoditi negara telah mencecah lebih RM160 bilion, ketika ini. – Bernama

  • 500,000 peniaga kecil selesai divaksin Oktober

    500,000 peniaga kecil selesai divaksin Oktober

    SERAMAI 500,000 peniaga kecil di seluruh negara akan selesai suntikan vaksin pada Oktober ini.

    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan langkah itu sebagai persediaan untuk membuka kembali ekonomi termasuk perniagaan selepas ini.

    Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, bagi memastikan sasaran berkenaan tercapai pihaknya melaksanakan pelbagai program vaksinasi termasuk Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

    “Kita adakan program vaksinasi untuk peniaga kecil ini selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober depan dengan sasaran pemberian vaksin kepada semua peniaga di seluruh negara yang berjumlah 500,000,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program MOVAK di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini.

    Zuraida berkata, setakat ini lebih 8,000 peniaga di seluruh negara yang sudah divaksin.

    “Bagi peniaga yang belum menerima temu janji vaksinasi di MySejahtera, mereka boleh berdaftar dengan PBT atau hadir ke MOVAK bagi membantu mencapai sasaran kadar vaksinasi,” katanya. – SB