Tag: Datuk Seri Wee Ka Siong

  • Ka Siong terkilan perjumpaan khas MP BN dihadiri pemimpin PH

    Ka Siong terkilan perjumpaan khas MP BN dihadiri pemimpin PH

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terkilan apabila pertemuan khas membabitkan Ahli Parlimen BN di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi, turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (PH).

    Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menjelaskan, beliau menerima notis jemputan menghadiri pertemuan bersama Ahli Parlimen BN itu yang disampaikan Setiausaha Kerja BN, kira-kira pukul 11.23 malam tadi, namun jemputan itu tidak memaklumkan ia turut dihadiri beberapa pemimpin PH.

    Menurutnya, beliau terkilan apabila sebaik saja tiba di lokasi pertemuan diadakan pada pukul 10 pagi, pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini.

    “Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya membabitkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan.

    “Saya tidak tahu sama ada ia telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan.

    “Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan khusus di antara Ahli Parlimen BN dan pemimpin PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya.

    Bagaimanapun Menteri Pengangkutan itu menegaskan,apa yang pasti, beliau hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja.

    “Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terbabit dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin PH.

    “Apa juga keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya.

    Hari ini media melaporkan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan parti mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara pagi tadi.

    Ahmad Zahid kemudian dilaporkan mengesahkan 26 Ahli Parlimen daripada 30 yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

    Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripadanya tidak dapat menghadiri perjumpaan yang diadakan di Hotel Seri Pacific di sini kerana tidak sihat.

  • Helikopter, juruterbang terputus hubungan dengan KLATCC

    Helikopter, juruterbang terputus hubungan dengan KLATCC

    SEBUAH helikopter yang membawa seorang juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), sebelum dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pesawat jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

    “Helikopter ini sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, pada pukul 11.37 pagi.

    “Pihak CAAM dan PDRM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan kedua-dua pihak telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat  di lokasi sebenar, berdasarkan prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Stesen KTMB Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo dengan kerjasama polis Tapah, sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk melalui laluan darat.

    “Kita doakan agar pasukan mencari dan menyelamat itu dapat maklumat yang diperlukan untuk tentukan kawasan sebenar pesawat berkenaan dan kita berharap menerima berita baik.

    “Kalau ikutkan kepada menara kawalan, radar menunjukkan pesawat itu sudah berada di atas tanah namun kita nakkan kepastian dan tidak boleh buat sebarang andaian jadi satu laporan lengkap akan dikeluarkan oleh CAAM,” katanya.

    Tambahnya, lokasi sebenar pesawat terbabit tidak dikenal pasti namun difahamkan ia berada dalam kawasan hutan dekat Bidor dan pihaknya dimaklumkan pihak PDRM sedang mengesan laluan masuk ke tempat berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi berkata berdasarkan longitud dan latitud lokasi diberikan CAAM, lokasi terakhir ia dikesan adalah berhampiran Hutan Simpan Chikus, Langkap di Teluk Intan dan pihaknya bersama polis daerah Hilir Perak dengan bantuan pihak bomba sedang giat melakukan pencarian.- BERNAMA

  • Tarikh siap ECRL masih kekal pada 31 Dis 2026 – Wee Ka Siong

    Tarikh siap ECRL masih kekal pada 31 Dis 2026 – Wee Ka Siong

    SASARAN penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal setakat ini iaitu pada 31 Dis 2026 bagi seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata penyiapan Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Dis 2027.

    Dari segi kemajuan projek, beliau berkata hingga 31 Ogos lepas, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus berbanding jadual sebanyak 25 peratus, lewat sedikit daripada jadual iaitu 1.04 peratus akibat pelaksanaan PKP.

    Hingga tempoh sama, katanya bagi seksyen A, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus, manakala bagi seksyen B, 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.9 peratus merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

    “Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu perkembangan terkini projek ECRL setakat ini dan jangkaan perubahan tarikh siap projek itu.

    Bagi Seksyen C, Wee berkata kerajaan kini masih mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan projek berkenaan memberi impak ekonomi yang maksimum.

    “Jajaran yang terbaik dan memberi impak maksimum kepada rakyat seperti yang diumumkan pada 5 April 2021. Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

    “Dalam hal ini, cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan 2 Sept 2020,” katanya. – Bernama