Tag: Datuk Seri Takiyuddin Hassan

  • Pas tak akan desak PRU-15 diadakan awal

    Pas tak akan desak PRU-15 diadakan awal

    Pas tidak akan mengambil sikap tergopoh-gapah untuk mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

    Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, soal PRU15 itu akan ditentukan oleh Jemaah Kabinet dan bukannya parti politik.

    “Yang menentukan pilihan raya awal itu Kabinet bukan parti politik… biarlah PM (Perdana Menteri) tentukan bila tarikh sewajarnya bukannya mana-mana parti,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan pagi tadi.

    Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Barisan Nasional (BN) supaya PRU15 diadakan awal.

    Antara yang meminta PRU15 diadakan segera ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hassan susulan kemenangan bergaya BH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka

  • Kerajaan cadang tambah renjer untuk kurangkan konflik hidupan liar dengan manusia

    Kerajaan cadang tambah renjer untuk kurangkan konflik hidupan liar dengan manusia

    KERAJAAN bercadang menambah bilangan renjer hutan bagi membantu mengawal aktiviti pencerobohan sekali gus mengekalkan habitat semula jadi haiwan liar di negara ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata setakat ini kerajaan telah melantik lebih 600 renjer yang mempunyai kepakaran, termasuk untuk menjaga Hutan Simpan.

    Katanya daripada jumlah itu lebih 400 renjer adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli, manakala selebihnya veteran tentera dan polis yang telah diberikan latihan secukupnya.

    “Pasukan renjer ini dilatih dan berkebolehan mengendalikan kes dalam hutan termasuk menjaga kawasan habitat hidupan liar, sekali gus dapat menghubungkan haiwan itu dengan manusia, contohnya gajah dan sebagainya.

    “Kawalan ini penting supaya dapat mengurangkan konflik antara hidupan liar dengan manusia. Konflik ini mungkin berpunca daripada pembangunan dan pembukaan kawasan, yang menyebabkan habitat semula jadi mereka diusik atau diteroka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, semalam.

    Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menambah pasukan renjer dalam kalangan Orang Asli, beliau berkata individu yang berkepakaran dalam bidang berkenaan hampir tiada lagi.

    “Kita memerlukan lebih ramai renjer, kalau mahu lantik dalam kalangan Orang Asli, mereka yang berpakaran hampir habis. Namun, jika ada yang berminat menyertai pasukan tersebut, kita akan latih mereka.

    “Mereka juga diberikan elaun khas sehingga mencecah lebih RM2,000 sebulan sekali gus memberi pendapatan kepada golongan itu,” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan daerah Kemaman di Terengganu mencatatkan bilangan kes gangguan gajah liar tertinggi di Semenanjung Malaysia, selain Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

    Menurut laporan berkenaan, Takiyuddin menyatakan dalam tempoh 2015 hingga Ogos 2021, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima sebanyak 251 aduan daripada penduduk kampung dan pengusaha ladang, dengan anggaran kerugian kira-kira RM3.5 juta. – Bernama

  • Kawasan 23.83 hektar di KL diisytihar Hutan Simpan Kekal

    Kawasan 23.83 hektar di KL diisytihar Hutan Simpan Kekal

    SEBUAH kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan yang diedarkan hari ini berkata, Hutan Simpan Kekal tersebut akan dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) melalui siaran Warta Kerajaan Persekutuan P.U.(B) 495/2021 bertarikh semalam.

    Beliau menjelaskan, pewartaan hutan itu adalah untuk menggantikan kawasan Hutan Simpan Bukit Sungei Puteh, mukim Cheras seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar bagi pembangunan lebuh raya.

    Menurut beliau, HSK itu diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah Seksyen 45 Akta 313.

    “HSK di Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan Seksyen 2 dan Seksyen 114 (Jadual Kelima) Akta 313.

    “Ia juga dibaca bersama Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017 dan Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Ubah Suaian Akta Perhutanan Negara 1984) 2017.

    “Pengurusan Hutan Simpan Kekal di Wilayah Persekutuan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan,” katanya.

    Sebelum pewartaan ini, Takiyuddin berkata, HSK di Kuala Lumpur adalah seluas 68.27 hektar iaitu 0.28 peratus daripada keluasan tanah ibu negara yang meliputi Hutan Simpan Bukit Nanas (9.37 hektar), Hutan Simpan Sungei Puteh (14.51 hektar), Hutan Simpan Sungai Besi (42.29 hektar) dan Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

    Kata beliau, penggantian HSK secara serentak itu telah meningkatkan kawasan hutan di Kuala Lumpur kepada 0.35 peratus keluasan tanah keseluruhan.

    “Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks Hutan Simpan Sungai Besi – Hutan Simpan Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar mewakili 78.13 peratus daripada keseluruhan kawasan HSK di Kuala Lumpur yang berperanan sebagai ‘jantung hijau’ bandar raya ini.

    “Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak yang berlaku ini adalah selaras dengan hasrat serta cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

    “Proses ini juga merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok,” jelas beliau.