Tag: Datuk Seri Nancy Shukri

  • Beri tuala wanita kepada golongan sasar, bukan pejabat kerajaan sahaja – Nancy

    Beri tuala wanita kepada golongan sasar, bukan pejabat kerajaan sahaja – Nancy

    BANTUAN tuala wanita oleh kerajaan sepatutnya diberikan kepada golongan sasar yang sangat memerlukan keperluan itu.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan tidak sepatutnya hanya menawarkan tuala wanita di kementerian atau pejabat kerajaan semata-mata.

    “Kita sokong untuk membantu rakyat. Sasaran adalah (golongan) B40, orang susah sampai ke tempat Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Isnin lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya akan mula menyediakan tuala wanita percuma bermula di ibu pejabat Kementerian Kesihatan dalam menangani kemiskinan haid.

    Katanya, inisiatif itu bagi melihat aspek pengoperasian serta maklum balas segera.

    Mengulas lanjut perkara itu, Nancy berkata, inisiatif diambil Kementerian Kesihatan perlu melangkaui kawasan pejabat semata-mata.

    “Kalau di pejabat itu mungkin mekanisme agak susah kita nak kata ini orang B40 kan? Kalau pejabat melainkan orang luar datang untuk guna,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, pihaknya bagaimanapun akan menumpukan kepada memberi mendidik remaja mengenai perkara itu.

    Inisiatif Zaliha itu mengundang kritikan daripada warganet termasuk Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, yang menyatakan bantuan tuala wanita percuma perlu disalurkan kepada golongan lebih memerlukan.

  • 38,748 pelancong tiba di Langkawi, jana pendapatan lebih RM15 juta

    38,748 pelancong tiba di Langkawi, jana pendapatan lebih RM15 juta

    PROJEK rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah, mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 38,748 pelancong dan menjana pendapatan lebih RM15 juta, setakat ini sejak dibuka pada 16 September lalu.

    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata jumlah itu lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak 30,000 orang, dan disifatkan sangat memberangsangkan.

    “Kami berharap dapat mengumumkan kebenaran rentas negeri sedikit masa lagi dan menjelang pengumuman itu, kami boleh membuka gelembung pelancongan di tempat lain,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampung Budaya Sarawak, Kuching, hari ini.

    Nancy berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk menjadikan Langkawi destinasi gelembung pelancongan antarabangsa yang pertama di negara ini.

    “Minggu depan, saya akan berbincang dengan rakan sejawat dari negara lain dan kami akan mengaturkannya (gelembung pelancongan antarabangsa).

    “Langkawi merupakan model terbaik untuk inisiatif ini kerana kita ada Qatar Airways dan beberapa penerbangan antarabangsa lain yang akan tiba di pulau itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata daripada 38,748 pelancong terbabit, seramai 26,377 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7,480 orang lagi menerusi Jeti Kuah.

    “Satu lagi pintu masuk utama, iaitu Dermaga Tanjung Lembung (Langkawi Port), merekodkan kemasukan 4,891 pelancong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Nasaruddin berkata, sekiranya jumlah kemasukan itu dapat dikekalkan, tidak mustahil sasaran kerajaan untuk menerima kira-kira 400,000 pelancong hingga Disember depan mampu dicapai.

    Dalam pada itu, beliau berkata, LADA berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuka semula sektor pelancongan pulau itu kepada pasaran antarabangsa seawal November atau Disember depan sekiranya bersesuaian.

    “Ketika ini, usaha pembentukan prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan antarabangsa sudah mula digerakkan dengan kerjasama MOTAC, tertakluk pada kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Nasaruddin berkata, rundingan bersama beberapa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa seperti Qatar Airways, AirAsia Bhd serta Scoot Tigerair Pte Ltd, juga sudah dimulakan bagi merancang aturan perjalanan penerbangan berjadual dan dari negara tertentu.

    Dalam perkembangan lain pula, Nancy berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5 juta kepada Kampung Budaya Sarawak bagi menaik taraf infrastruktur di situ.

    “Kerja penambahbaikan fizikal di Kampung Budaya Sarawak akan bermula pada pertengahan bulan ini dan mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk disiapkan, iaitu pada Jun 2022,” katanya. – Bernama