Tag: Datuk Seri Najib Tun Razak

  • Lembaga Pengarah 1MDB ‘harimau tidak bertaring’ – Sri Ram

    Lembaga Pengarah 1MDB ‘harimau tidak bertaring’ – Sri Ram

    DATUK Seri Gopal Sri Ram menyifatkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai ‘sekumpulan harimau tidak bertaring’ kerana gagal melindungi dan menasihati Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan urusan syarikat.

    Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan empat kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama, yang dihadapi Najib, mencadangkan demikian ketika menyoal bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 57.

    Sri Ram: BOD 1MDB sebenarnya adalah sekumpulan harimau yang tidak bertaring dan kamu gagal melindungi dan menasihati Perdana Menteri. Apakah pendirian kamu dalam hal itu?

    Ismee: Berdasarkan semua maklumat dan pendedahan baharu, bagaimana saya akan bertindak secara berbeza? Saya akan menolak jawatan itu. Maaf untuk mengatakannya.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata beliau merasakan seperti lembaga itu diguna untuk menjadikan semua inisiatif dan transaksi dalam 1MDB kelihatan sah sehinggakan maklumat mengelirukan diberikan atau lebih teruk lagi, tiada maklumat diberikan langsung dan dirahsiakan daripada lembaga itu.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, adalah sentiasa menjadi kepentingan beliau dan bekas rakan sekerjanya yang lain untuk memastikan kepentingan syarikat dilindungi, kata Ismee.

    “Setiap seorang daripada kami (BOD) mempunyai perspektif berbeza tentang apa yang berlaku dalam 1MDB, termasuk persepsi kami sendiri mengenai peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam 1MDB.

    “Kami juga bercakap tentang Jho Low secara tertutup dan dari perspektif saya, beliau menguruskan hubungan antara dua pihak. Saya melihat dengan jelas bahawa beliau menguruskan hubungan antara kami (1MDB) dan Abu Dhabi. Saya dapat melihat bahawa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan (negara) Arab,” katanya.

    Sebagai ahli lembaga pengarah, Ismee berkata beliau tidak mempersoalkan urus niaga yang dibuat oleh 1MDB, tetapi lembaga pengarah pastinya akan mempersoalkan pihak pengurusan mengenai ekonomi dan daya maju urus niaga yang sedang dilaksanakan.

    Bagaimanapun, Ismee berkata mereka hanya mengetahui mengenai hal ehwal 1MDB atas dasar yang perlu diketahui.

    “Pada 2015, semasa kami menjadi pengarah, kami hanya tahu sebanyak ini. Kami mengetahui lebih banyak maklumat semasa siasatan dan kami dapati lebih banyak lagi sepanjang kes itu. Selepas semua ini, saya tidak fikir kami sebagai ahli lembaga pengarah boleh bertindak secara berbeza untuk melindungi kepentingan 1MDB,” katanya.

    Saksi itu berkata beliau tidak menerima sebarang wang yang dikeluarkan daripada 1MDB dan juga daripada Low Taek Jho atau Jho Low.

    Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat, Ismee berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 2015, kerana merasa bimbang dan tidak lagi mahu terlibat dalam keputusan yang akan dibuat oleh syarikat itu pada masa depan.

    Katanya, surat itu diserahkan kepada bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin pada Jun 2015 dan surat itu tidak diterima, malah Amhari memintanya supaya menangguhkan keputusannya pada ketika itu kerana antara pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah untuk menukar keseluruhan lembaga pengarah.

    “Namun, pada 2016, kami semua Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan 1MDB telah meletak jawatan memandangkan lembaga pengarah dan pengurusan baharu dilantik,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 Dis ini.- Bernama

  • Permohonan Najib gantung prosiding kes saman SRC didengar 3 Dis ini

    Permohonan Najib gantung prosiding kes saman SRC didengar 3 Dis ini

    PERMOHONAN bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau atas dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC, akan didengar pada 3 Dis ini.

    Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib ketika dihubungi Bernama berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

    “Notis permohonan penggantungan prosiding kes saman itu telah difailkan semalam.

    “Permohonan itu dibuat kerana anak guam kami (Najib) mahu kes jenayah membabitkan SRC yang kini di peringkat rayuan dan kes membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang masih belum dibicarakan, diselesaikan terlebih dahulu,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Suriani Ujang, hari ini.

    Pada 28 Julai 2020, Najib didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan kes itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Pada 7 Mei lepas, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

    SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

    Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

    Beliau adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    SRC, yang kini milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama

  • Najib arah supaya tidak masuk isu sensitif babitkan Jho Low dalam laporan audit – Saksi

    Najib arah supaya tidak masuk isu sensitif babitkan Jho Low dalam laporan audit – Saksi

    BEKAS Ketua Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya supaya tidak memasukkan isu sensitif membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar ia tidak dijadikan ‘isu’ oleh pembangkang.

    Tan Sri Shukry Mohd. Salleh, 67, berkata, arahan itu dikeluarkan ketika beliau berjumpa Najib di pejabatnya, dua hari selepas mesyuarat membabitkan laporan audit diadakan di pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa, pada 24 Feb 2016.

    “Pada 26 Feb 2016, saya telah berjumpa dengan Najib di pejabatnya dan Najib mengarahkan saya lebih kurang begini, ‘Shukry, you cakap dekat audit supaya isu-isu sensitif dan tak relevan termasuklah Jho Low dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan. Nanti perkara ini dapat dekat pembangkang, boleh dijadikan isu’,” katanya.

    Shukry yang telah bersara, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Menurut saksi pendakwaan ke-11 itu, beliau kemudiannya menghubungi Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang ketika itu bekas Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara (JAN) dan menyampaikan arahan Najib.
     
    Shukry berkata, pada 23 Feb 2016, beliau bersama Tan Sri Ambrin Buang, yang ketika itu Ketua Audit Negara telah berjumpa dengan Ali di pejabatnya dan semasa perjumpaan itu, mereka dimaklumkan oleh Ali bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada 24 Feb 2016 dan telah menjemput wakil-wakil daripada JAN, 1MDB, Perbendaharaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Dalam perjumpaan itu, saya telah memaklumkan kepada Tan Sri Ali dan Tan Sri Ambrin bahawa isu 1MDB telah menjadi satu krisis yang perlu ditangani dengan segera. Apa yang saya maksudkan dengan ‘krisis yang perlu ditangani dengan segera’ ialah isu 1MDB telah menjadi tumpuan semua pihak di dalam dan di luar negara.

    “Sebelum berjumpa dengan Tan Sri Ambrin, saya dan Tan Sri Ali ada berjumpa dengan Arul Kanda secara berasingan yang Arul Kanda telah menerangkan kepada Tan Sri Ali berkaitan isu-isu kewangan 1MDB,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli.

    Shukry yang menamatkan kontrak sebagai Ketua Setiausaha Sulit Najib pada 30 Sept 2016 berkata beliau telah menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ali di pejabatnya pada 24 Feb 2016 dan kehadirannya ke mesyuarat itu telah mendapat persetujuan daripada Najib.

    “Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Arul Kanda, wakil JAN iaitu Ambrin dan Saadatul Nafisah, wakil Perbendaharaan iaitu Datuk Seri Mohmad Isa Hussain dan Asri Hamidin@ Hamidon, wakil AGC Datuk Dzulkifli Ahmad dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Ali, Datuk Norazman Ayob.

    “Dalam mesyuarat itu, KSN (Ali) telah memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat diadakan untuk menyelaras beberapa perkara yang Najib tidak berpuas hati yang terdapat dalam laporan audit 1MDB,” katanya dan menambah mesyuarat itu  turut membincangkan mengenai dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014.

    Shukry berkata beliau ada menyatakan bahawa perkara itu boleh mendatangkan impak kepada keyakinan pihak luar terhadap negara sekiranya sesebuah syarikat besar di bawah kerajaan seperti 1MDB boleh dimanipulasi, ia boleh memberi implikasi kepada sentimen pelaburan.

    “Dalam mesyuarat itu, KSN telah mengarahkan Mohmad Isa membuat laporan polis berkenaan dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2014 supaya siasatan dapat dilaksanakan dan hasil daripada mesyuarat itu, Tan Sri Ambrin bersetuju untuk mengeluarkan perkara tersebut daripada Laporan Pengauditan 1MDB,” katanya.

    Menurut Shukry, beliau turut membangkitkan isu berkenaan penangguhan terbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN)  dan Najib juga  tidak memaklumkan kepada Jemaah Menteri berkenaan penangguhan tersebut semasa Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM).

    IMTN adalah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA). TIA dinamakan sebagai 1MDB pada 2009.

    Saksi itu juga berkata ayat yang digunakan dalam laporan audit itu menunjukkan seolah-olah Najib sedang menyembunyikan sesuatu dan pada ketika itu, beliau hanya melontarkan persoalan sama ada Najib berkewajipan mengikut undang-undang dan peraturan untuk memaklumkan kepada MJM berkenaan hal tersebut.
     
    “Mesyuarat bersetuju untuk menggugurkan perkara itu setelah mendapat pandangan perundangan daripada wakil AGC, Dzulkifli,” katanya.

    Sementara itu, ketika disoal Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sama ada saksi berkenaan mengetahui kaitan antara Najib dan 1MDB, Shukry menjawab: Saya hanya tahu beliau (Najib) sebagai pengerusi.

    Selepas saksi itu selesai membacakan pernyataan saksi, rakaman audio mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB pada 24 Feb 2016, berdurasi dua jam 45 minit itu diperdengarkan semula di mahkamah dan Shukry mengesahkan hadir pada mesyuarat berkenaan berdasarkan rakaman audio itu dan  suara dalam rakaman audio itu adalah miliknya.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 20 Okt ini. – Bernama
     

  • Najib bakal diumum penasihat ekonomi petang ini

    Najib bakal diumum penasihat ekonomi petang ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN dijangka mengumumkan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang ini.

    Difahamkan satu kenyataan rasmi mengenai pelantikan itu akan dikeluarkan petang ini.

    Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan itu akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri atau pun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali seperti semasa pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi bertaraf Menteri Majlis Pemulihan Negara (MPN).

    Najib pernah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan antara tahun 2008 hingga 2018 sewaktu tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri Keenam.

    Pelantikan beliau sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf Menteri kepada Perdana Menteri dikuatkan lagi selepas kunjungan Duta Besar Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, semalam.

    UtusanTV sebelum ini melaporkan Najib disebut-sebut untuk dilantik memegang jawatan itu selepas Ismail Sabri menerima kunjungannya selama sejam di Putrajaya, Selasa lalu.

    Walaupun Ismail Sabri tidak menyebut apa-apa berhubung kedudukan Najib tetapi satu sumber mendakwa pengumuman mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri akan dibuat tidak lama lagi.

    Najib pula ketika mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri berkata, ia bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan langkah-langkah seterusnya yang wajar diambil.

    Najib merupakan antara pemimpin yang didakwa berada dalam ‘Kluster Mahkamah’ kerana berhadapan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International dan 1MDB.

    Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Kes itu di peringkat rayuan.

    Selain itu Najib juga sedang menjalani perbicaraan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

  • Permohonan Najib batal notis bankrap didengar 7 Disember

    Permohonan Najib batal notis bankrap didengar 7 Disember

    Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan notis kebankrapan terhadapnya kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi tahun lepas, akan didengar pada 7 Disember ini.

    Perkara itu dimaklumkan peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib, ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Ida Rahayu Sharif hari ini (Jumaat) yang turut disertai Peguam Hasil Siti Aisyah Yusoff dan Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

    “Tarikh sama ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi penggantungan prosiding kebankrapan sementara menunggu pelupusan kes rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan atau sementara menunggu rayuan penghutang penghakiman (Najib) di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) selesai sepenuhnya,” katanya.

    Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankarapan itu atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lepas adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah selain taktik konspirasi politik bertujuan untuk merosakkan kerjaya politiknya.

    Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Februari lepas terhadap Najib selaku penghutang.

    Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

    Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

    Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan. – Bernama