Tag: Datuk Seri Mustapa Mohamed

  • Bilangan penganggur Ogos turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus

    Bilangan penganggur Ogos turun, kadar pengangguran kekal 3.7 peratus

    JUMLAH penganggur pada Ogos tahun ini menunjukkan penurunan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 orang pada Julai tahun yang sama.

    Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagaimanapun memaklumkan, kadar pengangguran pada Ogos 2022 kekal pada 3.7 peratus.

    Lapor Astro Awani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

    “Aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.

    “Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang berbanding 16.60 juta orang pada Julai 2022.

    “Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2022 terus stabil dengan merekodkan peningkatan sebanyak 39,300 orang atau 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang (Julai 2022: 15.98 juta orang).

    Jelas Mustapa, kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif bagi memastikan kadar pengangguran kekal rendah termasuklah dengan meneruskan insentif penggajian kepada majikan dan memudah cara pencarian pekerjaan.

    Antara 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022, seramai 58,550 orang telah mendapat manfaat di bawah Program JaminKerja – Insentif Penggajian.

    Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya melakukan penempatan pekerjaan untuk 143,643 orang dalam tempoh yang sama.

  • Kerajaan fokus tangani isu miskin tegar: Mustapa

    Kerajaan fokus tangani isu miskin tegar: Mustapa

    Kerajaan akan memberi keutamaan serta penekanan bagi menangani isu miskin tegar di negara ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, pada Khamis lepas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan pusat akan mengatur strategi baharu untuk menghapuskan isu berkenaan memandangkan mungkin berlaku peningkatan dalam peratusan kadar miskin tegar susulan pandemik Covid-19.

    “Dulu (2019) kadar miskin tegar adalah 0.4 peratus dan pada tahun berikutnya ia naik pada 0.8 peratus selepas Covid-19… perkara ini perlu diberi fokus yang lebih. Caranya kerajaan pusat perlu ada pegawai khusus dan di peringkat daerah juga untuk menangani isu kemiskinan.

    Penting sekali adalah mengadakan pelbagai program atau projek ekonomi yang lebih berkesan yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Kelantan berhubung RMK12 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, sebanyak 46.8 peratus daripada RM39 bilion peruntukan bagi pembangunan asas dibelanjakan membabitkan seluruh negara, setakat 3 Oktober lepas.

    Menurutnya, jumlah peratusan yang dibelanjakan itu mengalami kelewatan daripada perancangan asal disebabkan pelbagai masalah seperti isu pemilikan tanah, kontrak dan sebagainya, selain pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, justeru, kerajaan pusat serta negeri akan memantau rapi setiap projek pembangunan asas bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang pada masa hadapan. – Bernama

  • RMK-12 libat urus pelbagai pihak-Mustapa

    RMK-12 libat urus pelbagai pihak-Mustapa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin ini
    akan melibatkan pelbagai pihak antaranya pihak industri, ahli akademik, ahli Parlimen dan juga blok pembangkang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya ada cadangan atau perkara yang perlu ditambah baik, kerajaan terbuka untuk pertimbangkannya.

    “Jadi, peluang terbuka. Maknanya bukan sahaja buat yang ditetapkan,” katanya pada program Agenda Awani: RMK12 Asas untuk Memulihkan Negara.

    Beliau berkata, RMK12 mempunyai tiga tonggak iaitu kemakmuran, inklusif dan kemampanan.

    Beliau berkata, selain daripada memberikan perhatian lebih kepada sektor kesihatan, golongan rentan yang tidak mempunyai perlindungan sosial juga antara fokus utama.

    “Mereka ini adalah golongan yang tiada simpanan kalau sesuatu perkara berlaku. Jadi, kita perlu tingkatkan liputan kepada mereka yang terkeluar daripada perlindungan sosial ini.

    “Kami kena pastikan ekonomi berdaya tahan, mampu tangani krisis. Bukan maksud kami bagi jaminan,” katanya lagi.

  • Jangan berpolitik, fokus lawan Covid-19: Mustapa

    Jangan berpolitik, fokus lawan Covid-19: Mustapa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyeru semua pihak diseru supaya tidak bermain politik dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan sebaliknya fokus membantu kerajaan melawan jangkitan pandemik Covid-19 ketika ini.

    Menurut beliau, sekiranya masih ada dalam kalangan ahli politik yang mempertikaikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka diminta bersabar dan menunggu sidang Parlimen pada 6 September depan.

    “Pada sidang itu usul undi percaya kepada kerajaan akan dibentangkan di Parlimen, jadi ketika itu buktikanlah sokongan kepada kerajaan atau sebaliknya.

    “Jadi, sementara itu kita berharap semua pihak redakanlah isu berkenaan dan hentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek perlaksanaan segera bagi menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas
    , hari ini.

    Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha.

    Menurut Mustapa, melihat kepada situasi ketika ini rata-rata rakyat mengharapkan kerajaan terus memberi tumpuan menguruskan dan mencari jalan terbaik dalam melawan jangkitan Covid-19.

    Beliau berkata, kestabilan politik amat penting kerana akan menjadi penentu kepada masa depan negara untuk tempoh akan datang.

    Ahli Parlimen Jeli itu berkata, Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara yang menikmati kestabilan politik sejak penubuhan negara.