Tag: Datuk Seri Hamzah Zainuddin

  • Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    SOKONGAN luar biasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju gabungan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.

    Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    Menurutya, Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

    “Bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan tertinggi parti merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada parti dalam PRU-15.

    Katanya, ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khususnya kepada para petugas serta jentera Parti Perikatan Nasional di seluruh negara yang telah bertungkus-lumus bekerja keras bagi menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti.

    “Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional mendoakan kesejahteraan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepada
    Perikatan Nasional. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan kita semua,” tambahnya.

  • Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat andaian sama berhubung dakwaan ramai ahli dan pemimpin parti itu akan menyertai UMNO jika kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurutnya, amalan melompat daripada satu parti ke parti lain membabitkan ahli mahupun pemimpin mana-mana parti politik adalah perkara biasa sejak lama dahulu.

    Beliau menjelaskan, perbuatan itu adalah perkara sama yang dilakukan oleh semua pihak, bukan satu parti sahaja.

    “Kalau BN tidak berjaya dalam PRU-15 ramai ahli UMNO akan lompat masuk ke kita (Bersatu).

    “Jadi sama sahaja… akan ada ahli dan pemimpin akan melompat untuk sertai UMNO atau Bersatu,” katanya menurut Sinar Harian.

    Demikian reaksi ringkas beliau ketika menjawab dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan Bersatu akan menyertai UMNO atau Pas selepas PRU-15.

    Hamzah sebelum itu hadir pada majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Rabu.

    Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Pada 16 Oktober lalu, Isham dilaporkan berkata, kegagalan Bersatu untuk menang besar pada PRU-15 akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada UMNO atau menyertai PAS.

    15 Oktober lalu media melaporkan 338 ahli UMNO Bachok menyertai Bersatu dan akan membantu kemenangan parti itu pada PRU-15.

    Mereka menghantar borang permohonan keahlian diketuai Ketua Cawangan UMNO Senok Tok Pakeh, Che Ramli Haron ketika Program Selamat Tinggal UMNO di Pantai Senok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Zulkifli Zakaria berkata, Bersatu menganggarkan lebih 5,000 lagi ahli UMNO menyertai parti berkenaan.

    Bagaimanapun, bagi ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menang kerusi masing-masing mungkin menghadapi masalah untuk melompat parti kerana undang-undang antilompat bakal dikuatkuasakan.

    Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen lompat parti diwartakan pada 6 September lalu setelah Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan, namun tarikh penguatkuasaannya belum ditetapkan lagi.

  • Bersatu gesa kerajaan beri keutamaan, tumpu persediaan musim tengkujuh

    Bersatu gesa kerajaan beri keutamaan, tumpu persediaan musim tengkujuh

    KERAJAAN digesa memberi tumpuan dan keutamaan sepenuhnya terhadap persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia antara perkara yang dirumuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

    “Bersatu memutuskan untuk mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

    “Usaha itu akan digerakkan menerusi Skuad Prihatin Bersatu yang diketuai Ahli MPT, Mohd Rafiq Mohd Abdullah,” katanya.

    Hamzah memberitahu, kekuatan Skuad Prihatin Bersatu akan dipertingkatan dari semasa ke semasa.

    Katanya, ini bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir.

    Hamzah menambah mesyuarat MPT BERSATU turut membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 18-19 Disember

    Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 18-19 Disember

    MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU menetapkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2021 pada 18 dan 19 Disember ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Beliau berkata persidangan itu akan dilakukan secara fizikal dan maya atau ‘hybrid’ bergantung kepada kelulusan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

    “Selain itu, persidangan cawangan akan diadakan pada 9 hingga 30 Oktober ini, manakala persidangan bahagian pula pada 12 hingga 14 November,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, beliau memaklumkan menerusi mesyuarat MPT dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, MPT parti itu sebulat suara bersetuju melantik Ahli Parlimen Segamat (Johor), Datuk Seri Dr Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang pertama.

    Dalam mesyuarat itu juga, MPT mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

    Mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Hamzah berkata BERSATU yakin ia dapat membantu kerajaan merancang dan melaksanakan segala dasar serta inisiatif untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19. – Bernama