Tag: Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

  • Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    Gagasan Rakyat tidak lemahkan penstrukturan Bersatu Sabah

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, langkah Datuk Seri Hajiji Noor mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak akan melemahkan usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah.

    Menurutnya, beliau tidak melihat parti yang akan diketuai oleh bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu bakal menyebabkan pemimpin akar umbi Bersatu keluar meninggalkan parti bagi menyertai Gagasan Rakyat.

    “Pemimpin akar umbi di peringkat cawangan masih kukuh. Saya tidak melihat akan ada lagi pemimpin keluar parti, kebanyakan mereka kekal setia bersama kita,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ronald berkata, pada masa ini Bersatu Sabah dalam proses melakukan penstrukturan semula peringkat bahagian bagi menggantikan pemimpin yang telah meninggalkan parti.

    “Kami dalam proses melantik beberapa ketua penaja peringkat bahagian sebagai usaha penstrukturan semula Bersatu di Sabah,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

    Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat cawangan antara 1 Julai hingga 31 Ogos dan diikuti dengan mesyuarat bahagian pada 7 Oktober dan selepas itu barulah perhimpunan agung akan diadakan pada November.

    Semasa pertemuan bersama Bersatu Bahagian Tawau pada Ahad, Ronald berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak akan tutup kedai di Sabah dan sekiranya diberi sedikit masa, beliau yakin Bersatu Sabah mampu menyumbang kerusi kepada PN pada pilihan raya akan datang.

    Beliau berkata, penstrukturan semula Bersatu Sabah akan membolehkan kepemimpinan parti di negeri ini bertambah kukuh.

    Katanya, biarpun pelbagai naratif politik diperkatakan tentang PN namun, beliau yakin rakyat Sabah bijak menilai dan meletakkan asas politik yang lebih rasional dengan memilih PN demi pembangunan Sabah.

    Menurut beliau, Hajiji mahu menggunakan platform parti tempatan namun, keputusan itu terletak di tangan rakyat untuk menentukan pemimpin yang mereka mahukan pada pilihan raya umum yang akan datang.

    “Ini bukan pertama kali rakyat Sabah disogok dengan naratif Sabah perlu dipimpin oleh parti tempatan. Kita pernah dipimpin oleh parti tempatan suatu ketika dahulu namun pada akhirnya kita kembali kepada kerajaan Persekutuan.

    “Jadi, terpulang kepada mereka membawa naratif sedemikian, kita serahkan kepada rakyat untuk memilih kerana trend yang boleh dilihat rakyat Sabah dan pengundi di negara ini ingin melihat sebuah gabungan politik yang bersih dan stabil serta mampu mengangkat martabat rakyat Malaysia ke tahap lebih baik,” katanya.

  • Ronald terima watikah pelantikan Ketua BPN Bersatu Sabah

    Ronald terima watikah pelantikan Ketua BPN Bersatu Sabah

    NAIB Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, yang berkuat kuasa 10 Disember tahun lalu.

    Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas selesai Mesyuarat Biro Politik Bersatu, semalam.

    Hadir sama, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden BERSATU Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

    Ronald juga turut dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

    Pada perjumpaan khas Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah di Kota Kinabalu pada 8 Januari lalu, Ronald berkata BERSATU Sabah kekal utuh malah bertambah kukuh walau beberapa pemimpin meninggalkan parti.

    Ronald berkata hakikatnya penghijrahan mereka ini tidak memberi kesan terhadap kekuatan parti di peringkat akar umbi.

    “Bersatu Sabah akan terus diperkasakan dan penyertaan beberapa pemimpin baru di semua peringkat akan merealisasikan hasrat parti untuk bangkit semula.

    “Kepimpinan Badan Pimpinan Negeri akan dikemaskini dalam masa terdekat ini bagi menggerakkan jentera parti menghadapi cabaran politik negeri,” katanya, lapor Berita Bersatu.

  • Bersatu Sabah kekal wujud, Ronald Kiandee ketua Bersatu negeri – Muhyiddin

    Bersatu Sabah kekal wujud, Ronald Kiandee ketua Bersatu negeri – Muhyiddin

    NAIB Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu) Sabah dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri yang baharu.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun bekas Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

    Muhyiddin menjelaskan, badan pimpinan negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan Bersatu di negeri Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

    “Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Ronald bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan MT PN.

    Semalam, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan beliau dan barisan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

    Namun Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran kekal bersama Bersatu di Sabah walaupun kepimpinan negeri itu bertindak keluar parti hari ini.

    Kemelut Bersatu Sabah dengan Ronald tercetus apabila beliau tidak dicalonkan sebagai calon GRS pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Beluran susulan kerjasama antara gabungan itu dengan Barisan Nasional.

    Ekoran itu, kerusi Parlimen Beluran diberikan kepada calon BN, Benedict Asmat hingga memaksa Ronald bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

    Namun, Ronald berjaya menenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 1,594 undi.

  • MAFI, KPDNHEP bekerjasama atasi isu kenaikan harga barangan makanan

    MAFI, KPDNHEP bekerjasama atasi isu kenaikan harga barangan makanan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ISU kenaikan harga barangan makanan yang dilaporkan sejak kebelakangan ini bukan berpunca daripada bekalan yang berkurangan.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, stok makanan antaranya hasil pertanian tidak pernah berdepan masalah kekurangan bekalan walaupun ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

    “Bekalan makanan bukan punca utama kenaikan harga di pasaran. Ini kerana ketika pandemik Covid-19, kekurangan bekalan makanan tidak berlaku malah berlaku lambakan seperti sayur, tembikai dan nanas.

    “Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan harga makanan stabil dan tidak melambung.

    “Kerjasama dengan KPDNHEP penting dalam mengawal kenaikan harga produk makanan. Sebagai contoh, MAFI mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP berhubung langkah menangani kenaikan harga ayam yang melebihi harga siling pada bulan lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sidang video bersama-sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr. Azfar Mohammad Mustafa di Pejabat Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Yang turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan aktiviti rentas negeri sejak 11 Oktober lalu menyebabkan harga kebanyakan barang membabitkan makanan dan binaan meningkat antara 15 hingga 50 peratus.

    Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, peningkatan tersebut dikesan berdasarkan kajian Cassa di seluruh negara khasnya di kawasan-kawasan pelancongan.

    Peningkatan itu membebankan semua golongan yang baru mahu bangkit semula selepas teruk terkesan akibat penutupan sektor ekonomi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

  • Jumlah eksport pertanian ke Singapura meningkat dalam tempoh Covid-19

    Jumlah eksport pertanian ke Singapura meningkat dalam tempoh Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANDEMIK Covid-19 tidak menjejaskan jumlah eksport produk pertanian ke Singapura yang menunjukkan peningkatan 44 peratus antara Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.48 billion.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, dalam tempoh itu 308,000 transaksi direkodkan ke negara republik itu melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

    Katanya, jumlah transaksi eskport berkenaan dianggarkan akan terus meningkat sehingga hujung tahun 2021.

    “MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan terus meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

    “Ini bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal,” katanya selepas melawat BSI, hari ini.

    Menurutnya, Maqis merekodkan jumlah kes penahanan melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasil agromakanan tanpa permit sebanyak 37 kes sehingga 30 September 2021 dengan nilai anggaran tahanan RM1.35 juta.

    Beliau berkata, jumlah itu kurang satu kes berbanding 38 kes pada tahun 2020 dengan nilai tahanan RM1.2 juta.

    “MAQIS akan sentiasa mempertingkat kecekapan perkhidmatan bagi memudahcara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara,” katanya.

    Ronald diberi taklimat semasa melawat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru hari ini

    Tambah beliau, sehubungan itu MAQIS telah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan dengan memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) serta melaksana kawalan kemasukan hasil pertanian bagi tujuan transit dan ‘transshipment’.

    Sementara itu, MAFI kini sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) untuk meluaskan kuasa Maqis di luar pusat kuarantin, stesen kuarantin serta premis kuarantin melibatkan proses membuat serbuan, siasatan dan penahanan diluar pintu masuk negara.

    Pindaan berkenaan juga akan memperkukuh bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti melibatkan semua komoditi pertanian berhubungan dengan aktiviti import dan eksport, pemindahan antara wilayah, transit dan ‘transshipment’.

    Tambahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu tidak mempunyai impak secara langsung terhadap pengeksportan produk pertanian di CIQ Bangunan BSI.

    “Data menunjukkan transaksi eksport ke Singapura dari pintu masuk ini menunjukkan jumlah transaksi meningkat daripada 56,610 pada tahun 2019 kepada 125,151 pada tahun 2020,” ujarnya.