Tag: Datuk Hajiji Noor

  • ’11 ADUN UMNO tak sokong guling Hajiji’

    ’11 ADUN UMNO tak sokong guling Hajiji’

    SEKURANG-kurangnya 11 daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO dikatakan menolak kerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) dalam cubaan membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber berkata, 11 ADUN terbabit enggan memberikan sokongan kepada WARISAN, sebaliknya kekal menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk terus mengetuai kerajaan negeri.

    Difahamkan, sokongan pemimpin terbabit kepada Hajiji dizahirkan pada pertemuan di kediaman Ketua Menteri itu malam tadi, iaitu selepas perjumpaan semua pemimpin UMNO di Bangunan UMNO Sabah, di sini, petang semalam.

    Senarai 11 ADUN terbabit terdiri daripada Datuk Yakub Khan (Karambunai) yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah; Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu); Datuk Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Harun Durabi (Bengkoka); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Raimie Unggi (ADUN Dilantik).

    Selebihnya ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (Tanjung Keramat); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik).

    Keengganan mereka menyokong kerjasama dengan WARISAN, dikatakan antara punca sidang media Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipercayai berkaitan pembentukan kerajaan baharu yang dijadualkan jam 4.30 petang semalam ditangguhkan.

    Berdasarkan khabar angin semalam, sidang media itu dijangka turut disertai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan semua pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah.

    Selain itu, pendirian tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah yang menyatakan tidak memberi apa-apa akuan bersumpah (SD) kepada mana-mana pihak, turut dipercayai menjejaskan rancangan kerjasama WARISAN dan UMNO Barisan Nasional (BN).

    Tujuh ADUN PH Sabah itu masing-masing empat dari DAP, diikuti dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) iaitu ADUN Kadamaian yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

    Ketujuh-tujuh mereka sebelum ini turut menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang berakhir.

    Mereka turut hadir pada Majlis Ramah Mesra Tahun Baharu 2023 bersama ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam dan sekali lagi menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Hajiji.

    Kerjasama WARISAN dan UMNO BN memerlukan sokongan parti lain, khususnya PH bagi mencukupkan jumlah kerusi dalam cubaan untuk menukar kerajaan negeri.

    Ketika ini, WARISAN memiliki 19 kerusi, manakala UMNO BN 17 kerusi menjadikan jumlah kedua-duanya 36 kerusi daripada 79 kerusi yang ada sekarang termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.

    Jumlah itu tidak mencukupi tanpa sokongan parti lain, khususnya PH yang mempunyai tujuh kerusi DUN.

    Sementara itu, GRS ketika ini mempunyai 29 kerusi, masing-masing 15 kerusi bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tujuh dari Parti Bersatu Sabah (PBS), enam dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan satu dari Parti Maju Sabah (SAPP).

    Selain itu, GRS turut disokong seorang ADUN Bebas dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

    Dengan sokongan tujuh ADUN PH, GRS memiliki kekuatan 38 kerusi atau 49 kerusi jika termasuk sokongan 11 ADUN UMNO.

  • PRU-15: GRS siap sedia, bakal muktamad agihan kerusi

    PRU-15: GRS siap sedia, bakal muktamad agihan kerusi

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan pembubaran Parlimen, hari ini.

    Ketua Menteri Sabah, yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata, gabungan itu akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponennya.

    Beliau berkata, parti komponen GRS sebelum ini sudah mencapai kata sepakat untuk berdepan PRU-15, termasuk persetujuan untuk menggunakan lambang yang sama.

    “Jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah sedia untuk diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    GRS Sabah merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

    Mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN), Hajiji berkata, tiada keperluan untuk membubarkan DUN Sabah pada masa ini.

    Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempoh DUN.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15.

    Ismail Sabri turut menasihatkan semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri boleh diadakan serentak dengan PRU-15.

    Sementara itu, Hajiji berkata, beliau sudah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam untuk menangani dan membuat penilaian kerosakan ekoran banjir di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dan daerah berhampiran, semalam.

    Beliau juga mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam untuk bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi keadaan cuaca buruk yang mungkin menyebabkan banjir dan mengingatkan orang ramai di seluruh negeri supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

  • Sokongan ADUN Bebas bantu GRS realisasi Pelan SMJ

    Sokongan ADUN Bebas bantu GRS realisasi Pelan SMJ

    KETUA Menteri Datuk Hajiji Noor melihat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dapat membantu usaha merealisasikan hala tuju Pelan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025.

    Beliau berkata, sokongan itu sekali gus dilihat membolehkan ADUN Bebas dan kerajaan GRS dapat bersama-sama memberi fokus kepada perpaduan rakyat seterusnya melonjakkan pembangunan negeri.

    “Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat (ADUN Bebas) yang menyokong hala tuju kerajaan negeri. Jadi dengan itu, kita boleh memberi fokus kepada perpaduan dan pembangunan rakyat serta negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri di Kompleks Sukan Likas, hari ini.

    Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob untuk keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyokong kerajaan negeri ditadbir GRS, semalam.

    Mengulas lanjut perkara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, setiap ADUN mempunyai hak istimewa untuk membuat keputusan dalam memilih platform berkhidmat kepada mana-mana parti politik mahupun secara bebas.

    “Ini hak demokrasi ahli-ahli politik di mana sahaja mereka pilih untuk berkhidmat atau melalui landasan dan parti yang mereka inginkan. Saya rasa itu sahaja saya boleh komen kerana ini terpulang kepada Ahli Yang Berhormat tersebut,” katanya.

    Semalam, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan ketika mengumumkan keluar parti, berkata beliau mengambil keputusan tersebut kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

    Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

    Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini hanya memiliki 20 kerusi setelah ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

    Pilihan raya kecil DUN Bugaya masih belum diadakan berikutan perintah darurat dilaksanakan bagi kawasan itu. – BERNAMA

  • Sabah hargai bantuan AS dalam memerangi Covid-19

    Sabah hargai bantuan AS dalam memerangi Covid-19

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    KERAJAAN negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat (AS) di atas bantuan kepada Malaysia, khususnya negeri ini dalam memerangi pandemik Covid-19.

    Menerusi satu panggilan video kepada Duta Besar AS ke Malaysia Brian D Mcfeeters semalam, Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri itu dan AS sentiasa menjaga hubungan dua hala yang baik serta mesra.

    “AS telah menyumbang satu juta dos vaksin ke Malaysia dan memberi jaminan tambahan bantuan berkaitan Covid-19 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Kami berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh AS kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam dan baru-baru ini, usaha mengekang pandemik Covid-19.

    “Bantuan ini akan mempercepatkan usaha kita dalam menangani cabaran disebabkan Covid-19,” katanya dalam kenyataan. hari ini.

    Hajiji juga berterima kasih kepada komitmen Mcfeeters berkaitan peruntukan RM4.23 juta untuk usaha pemuliharaan hidupan liar bagi melengkapkan program mengenai perlindungan hidupan liar yang sedang diadakan di Sabah.

    Mcfeeters juga menawarkan kerjasama dalam pemuliharaan hutan, berpandukan kepada program ‘Heart of Borneo’ (HoB), inisiatif pemuliharaan rentas sempadan yang meluas ke Brunei, Indonesia dan Malaysia.

    Menurut kenyataan, Hajiji dan Mcfeeters turut berbicara berkaitan pelbagai isu termasuk MA63, pemerdagangan manusia, pendatang haram, dan kerjasama kedutaan AS dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menangani keganasan dan ekstremisme.

    Mcfeeters yang menjawat jawatan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia pada Februari lalu, berhasrat untuk melawat Sabah, yang juga destinasi terkenal dalam kalangan ramai rakyat AS kerana tarikan alam semulajadinya dan Gunung Kinabalu yang ikonik.