Tag: Datuk Dr. Shamrahayu

  • Speaker ada kuasa penuh tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Bersatu – Shamrahayu

    Speaker ada kuasa penuh tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Bersatu – Shamrahayu

    KEPUTUSAN sama ada empat Ahli Parlimen Sabah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

    Berita Harian melaporkan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, Johari memiliki kuasa penuh untuk membuat keputusan secara bersendirian.

    Katanya, tiada keperluan undang-undang untuk Johari merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan semua pihak perlu menghormati serta menerima sebarang keputusan nanti.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Johari perlu merujuk isu tersebut kepada jawatankuasa khas berikutan terdapat kemungkinan keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Sebelum ini, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan, apa juga keputusan Johari tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Ia berikutan klausa keistimewaan Parlimen dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kesahan apa-apa prosiding Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

    Kelmarin, Johari mengesahkan menerima notis pemakluman daripada Bersatu mengenai kekosongan luar jangka membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dan memiliki 21 hari untuk membuat keputusan mengenainya.

    Ia berikutan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), mengumumkan keluar Bersatu, namun kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ditanya mengenai langkah yang boleh dilakukan Bersatu jika tidak bersetuju dengan keputusan Johari, Shamrahayu berpandangan mereka perlu menerima dan menghormati apa juga keputusan yang akan diumumkan.

    “Mereka kena terima apa saja keputusan Speaker kerana Speaker memang ada kuasa untuk menentukan perjalanan urusan Dewan Rakyat.

    “Saya juga berpandangan keputusan nanti tidak boleh dicabar di mahkamah. Apabila Speaker yang diberi kuasa membuat keputusan, maka ia bermakna ini adalah urusan Dewan Rakyat.

    “Mengikut undang-undang, Parlimen ada kuasa penuh terhadap perjalanannya urusannya. Maka, saya juga berpandangan keputusan Speaker membabitkan isu empat Ahli Parlimen Sabah ini tak boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

  • Empat perkara perlu diutama PM baharu

    Empat perkara perlu diutama PM baharu

    PAKAR Perlembagaan, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian segera Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik memulakan tanggungjawab ialah memastikan program vaksinasi diteruskan dengan jayanya.

    Bercakap dalam wawancara bersama Harian Metro penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menambah, tiga lagi agenda lain yang perlu mendapat perhatian segera ialah pendidikan, pemulihan sosial dan pemulihan ekonomi.

    “Pertama, meneruskan dengan jayanya program vaksinisasi supaya program ini dapat mencapai imuniti berkelompok pada masa yang dianggarkan sebelum ini atau pastinya sekiranya boleh mencapai sasaran sebelum masa yang dicadangkan sebelum ini, adalah lebih baik.

    “Dicari jalan yang juga untuk menyegerakan vaksinasi kepada keseluruhan masyarakat, kanak-kanak atau remaja.

    “Kedua, kesan pandemik ke atas pendidikan, pada semua peringkat, rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi. Semua peringkat pendidikan perlu diberikan perhatian sepenuhnya.

    “Ini kerana kesan pandemik, terutamanya masyarakat di pedalaman yang sukar mendapat pendidikan langsung, adalah begitu mendasar sekali.

    “Kadar atau jumlah murid serta pelajar yang ketinggalan dalam perkembangan pendidikan perlu dipulihkan dengan segera moga generasi mereka tidak ketinggalan pada satu hari nanti.

    “Justeru, program menyeluruh untuk menilai tahap musibah pandemik ke atas pendidikan perlu disegerakan agar kesan tersebut dapat di atasi dengan segera. Perancangan membaikpulih kesan pandemik hendaklah dirancang sepenuhnya.

    “Seharusnya pelan tindakan membaikpulih tersebut diletakkan dalam kadar perancangan yang berkesan dalam beberapa fasa. Segerakan juga urus tadbir di universiti awam yang terkesan daripada penamatan jawatan utama universiti.

    “Ketiga, kesan pandemik ke atas sistem sosial, termasuklah kesejahteraan emosi, hubungan etnik, perlu diambil perhatian sewajarnya dengan segera.

    “Pelan pemulihan sosial ini perlu juga disegerakan kerana perkara utama bagi sesebuah negara pastinya kebahagiaan warganya.

    “Keadaan sosial masyarakat yang tidak stabil akan menjadi penyumbang kepada banyak perkara lain yang tidak baik untuk negara, terutamanya dalam keadaan sebegini yang sedang kita alami.

    “Keempat, pastinya pemulihan ekonomi. Pembukaan sektor ekonomi di banyak tempat boleh merangsang ekonomi rakyat, yang seterusnya dapat menggerakkan ekonomi negara.

    “Hubungan antarabangsa yang cemerlang juga akan membolehkan pertumbuhan yang baik untuk negara,” katanya dalam wawancara tersebut.