Tag: Datuk Dr. Kasemani Embong

  • 70,073 daripada 138,100 remaja Terengganu terima dos pertama

    70,073 daripada 138,100 remaja Terengganu terima dos pertama

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    PROSES vaksinasi melibatkan golongan remaja di Terengganu mendapat sambutan menggalakan apabila seramai 70,073 orang atau 50.7 peratus golongan berkenaan telah menerima suntikan dos pertama Vaksin Covid-19 sehingga 1 Oktober lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, jumlah tersebut merupakan catatan daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

    Menurut beliau, dalam tempoh sama, seramai 2,736 orang atau dua peratus pula direkodkan telah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin.

    Sehubungan itu, Dr. Kasemani mengharapkan para para ibu bapa agar dapat memastikan anak-anak yang layak, hadir untuk mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19.
     

    Dr. Kasemani Embong

    “Terdapat sebanyak 57 buah sekolah di seluruh negeri ini dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan remaja yang beroperasi sejak 21 September lalu hingga Khamis ini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook JKNT hari ini.

    Menurut Dr. Kasemani, pencapaian itu disifatkan sebagai satu kejayaan membanggakan terutama bagi rakyat Terengganu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan pada 15 September lalu.

    Selain itu katanya, PICK Remaja turut dilaksanakan secara walk-in di klinik kesihatan bagi pelajar berasrama penuh dari negeri dan daerah untuk membolehkan individu tidak bersekolah di samping remaja berumur 12 tahun yang sudah mencapai tarikh lahir menerima suntikan.

    Sementara itu beliau memberitahu, seramai 738,839 atau 91.4 peratus populasi dewasa di Terengganu telah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 686,363 atau 84.9 peratus pula telah melengkapkan vaksinasi tersebut.

  • Dr. Kasemani dilantik Pengarah Kesihatan Terengganu baharu

    Dr. Kasemani dilantik Pengarah Kesihatan Terengganu baharu

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TIMBALAN Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong dilantik sebagai Pengarah kesihatan negeri yang baharu berkuat kuasa hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, (KKM) Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pelantikan Dr. Kasemani adalah bagi menggantikan Datuk Dr. Nor Azimi Yunus yang bertukar ke Pahang sebagai Pengarah Kesihatan negeri itu pada 23 Julai lalu.

    Sambil mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut, Dr. Noor Hisham berkata, Dr. Kasemani merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan.

    “Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan,” katanya menerusi catatan dalam halaman Facebooknya malam tadi.

    Sebelum ini, Dr. Kasemani  pernah berkhidmat di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Kuala Telemong, Hulu Terengganu.