Tag: Datuk Ahmad Faizal Azumu

  • Program Felo Perdana mantapkan kebolehan belia

    Program Felo Perdana mantapkan kebolehan belia

    PROGRAM Felo Perdana memberi manfaat kepada golongan belia yang menyertainya dalam memantapkan kebolehan komunikasi, pentadbiran dan keyakinan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Beliau berkata program itu memberi pendedahan kepada anak muda mengenai pentadbiran kerajaan selain mengikuti tanggungjawab seorang menteri serta ahli politik.

    “Program Felo Perdana ini memberi pengalaman menarik dan membantu kerajaan lebih memahami kehendak serta pemikiran anak muda,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Felo Perdana Tahun 2021 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, hari ini.

    Seramai 66 orang terpilih menyertai program Felo Perdana tahun ini yang akan ditempatkan bersama 32 Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bermula hari ini hingga 31 Disember ini.

    Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2013 dan telah mengumpulkan penyertaan lebih 600 anak muda.

    Ia merupakan inisiatif kerajaan bagi melatih belia yang berpotensi dengan kemahiran aras tinggi disamping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

    Ahmad Faizal berkata KBS akan sentiasa berhubung dengan felo yang ditempatkan di kementerian untuk mengikuti perkembangan mereka.

    Sementara itu, Gan Wen Shen, 30, yang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata beliau teruja apabila dimaklumkan akan ditempatkan di PMO pagi tadi.

    “Sepanjang tiga bulan ini, saya harap dapat libatkan diri dalam proses penggubalan dasar kerajaan,” katanya.

    R.Pavidra, 24, pula berkata beliau amat bertuah mendapat peluang ditempatkan di PMO.

    “Aspirasi saya adalah untuk lebih mengenali tentang Parlimen dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula dari awal sehingga disampaikan kepada rakyat,” katanya yang menjadikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai idola dalam bidang politik.

    Nathasha Diyana Zulkifly, 23, yang ditempatkan di KBS pula berharap dapat mengenali dasar-dasar belia selain dapat menyumbang sebanyak mungkin dalam pelaksanaan Hari Belia Negara akan datang. – Bernama

  • Kerajaan persiap golongan muda untuk Undi 18

    Kerajaan persiap golongan muda untuk Undi 18

    PELBAGAI Program dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai persiapan untuk golongan muda khususnya berkaitan Undi 18.

    Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, itu sebagai persediaan kerajaan ke arah melaksanakan undi 18 tahun.

    KBS katanya, sentiasa peka dan amat prihatin, untuk memberi kesedaran berterusan kepada orang muda mengenai hak mengundi.

    “Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah melalui program Rukun Negara @ Belia khusus untuk golongan belia di negara ini.

    “Pengisian utama program ini ialah memberi kesedaran kepada belia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berikutan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, selain meningkatkan pengetahuan literasi politik,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Senator Khairil Nizam Khirudin yang ingin tahu program dilaksanakan KBS bagi mempersiapkan golongan belia khususnya Undi 18, untuk menjadikan golongan belia lebih peka, cakna dan berpartisipasi (turut serta), dalam politik demokrasi negara.

    Ahmad Faizal berkata, sebanyak 114 program Rukun Negara @ Belia secara bersemuka dan dalam talian telah dirancang pada tahun ini dan setakat 15 Sept lepas 87 program telah dilaksanakan dengan melibatkan penyertaan 55,696 orang.

    Selain itu, beliau berkata, sebagai langkah pendidikan dan kesedaran berterusan, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan telah merangka kempen literasi politik, bermatlamat memberi kesedaran dan kefahaman terutama para belia yang akan mengundi buat kali pertama.

    “Kementerian juga menghasilkan satu video pendek ‘Etos Anak Muda’ bertujuan memberi penerangan, pengukuhan kefahaman berkaitan negara Malaysia,yang mengamalkan demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan.

    “Program lain adalah Rakan Muda Klik secara dalam talian dilaksanakan berbentuk kuiz mengenai aspek kenegaraan, patriotik, politik dan tadbir urus negara.

    “Ini bertujuan meningkatkan pengetahuan generasi muda bagi mentransformasikan nilai-nilai demokrasi, pengetahuan am dan kenegaraan, selain meningkatkan jati diri serta semangat kenegaraan dalam diri peserta,” katanya.