Tag: DAP

  • Timbalan Speaker: DAP tolak Ahmad, kitar semula Kor Ming

    Timbalan Speaker: DAP tolak Ahmad, kitar semula Kor Ming

    WALAUPUN spekulasi berhubung pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat masih belum disahkan, DAP terlebih dahulu menyuarakan bantahan.

    Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kemuliaan dan ketinggian Dewan Rakyat sebagai badan perundangan akan terjejas sekiranya ‘kluster mahkamah’ dilantik memegang jawatan tersebut.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau memberitahu, Ahmad telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 pada 21 Januari tahun lalu.

    “Sepatutnya beliau perlu melalui proses undang-undang dan tidak diberikan kedudukan serta peranan yang sedemikian penting di Parlimen,” katanya.

    Pada 23 Ogos lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Beliau mengundurkan diri bagi membolehkan kerajaan dan pembangkang “menetapkan semula” fungsi Dewan Rakyat.

    Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Perak menambah, masih ramai calon lain yang lebih sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

    Malah beliau berpandangan, Dewan Rakyat akan menjadi bahan jenaka di dalam dan luar negara sekiranya kluster mahkamah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuanya.

    Sementara itu, bercakap kepada Free Malaysia Today, Ahmad meminta rujukan dibuat kepada Pejabat Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung khabar angin mengenai pelantikannya.

    “Sila rujuk Pejabat Speaker dan Timbalan YB Rashid. Terima kasih,” jawabnya ringkas.

    Namun, pada masa yang sama, DAP Perak juga membuat lawak jenaka apabila ingin bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dikitar semula untuk memegang jawatan tersebut.

    Memetik laporan Sinar Harian, Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, jawatan tersebut wajar diberikan kepada pembangkang sebagai usaha memastikan pembaharuan insititusi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik.

    Menurut beliau, jika perkara itu dapat dilaksanakan sekarang ia akan pasti akan dilaksanakan pada penggal-penggal yang akan datang.

    “Pihak Pakatan Harapan (PH) juga seperti diumumkan sebelum ini telah mencalonkan Kor Ming iaitu bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat selama 25 bulan semasa kerajaan PH untuk kembali menjawat jawatan berkenaan dan tindakan ini amat penting kerana kita tahu sekiranya kita mahu Parlimen kita menjadi satu contoh.

    “Namun apabila kami dengar (Ahli Parlimen Pontian) Ahmad Maslan mungkin akan dicalonkan sebagai Timbalan Speaker, itu merupakan perkembangan yang amat menyedihkan kerana kita mungkin hilang satu peluang keemasan untuk memantap institusi Parlimen yang kita ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Program Outreach Vaksinasi DUN Menglembu di Dewan Orang Ramai Lahat, Ipoh, hari ini.

    Kah Woh menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya mengambil peluang tawaran gencatan politik dengan pembangkang ketika ini dengan memilih Ahli Parlimen pembangkang untuk memegang jawatan tersebut.

    Jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, biarpun ahli-ahli Parlimen pembangkang belum menerima sebarang notis mengenai pencalonan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, pandangan Azalina perlu dipertimbangkan.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Gakah, V Sivakumar berkata, jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu digalas oleh individu yang bersih daripada pertuduhan mahkamah.

    Menurut beliau, mereka yang mempunyai kes di mahkamah tidak wajar diberikan sebarang jawatan apatah lagi kedudukan mulia seperti Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

    Sehubungan itu, Sivakumar menyarankan supaya semua 220 Ahli Parlimen memilih calon daripada PH yang mempunyai pengalaman dan kredibiliti.

  • PAS tegas tolak Malaysian Malaysia acuan DAP

    PAS tegas tolak Malaysian Malaysia acuan DAP

    PAS tetap bertegas dengan pendiriannya menolak teori perpaduan berasaskan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP sejak dahulu sehingga kini.

    Penegasan itu dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, konsep Malaysian Malaysia menghapuskan rupa bangsa yang diciptakan oleh Allah Pencipta alam, dan juga melupakan peristiwa jus soli yang telah ditelan zaman.

    Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu menyeru semua rakyat bersatu di bawah gagasan Keluarga Malaysia.

    “Marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia.

    “Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza dan bertelingkah antara satu sama lain,” katanya.

    Beliau menambah, sikap yang sederhana pada dasarnya telah ditunjukkan oleh PAS sebagai sebuah parti yang berlandaskan Islam mendahului konsep bangsa, bahkan termasuk juga UMNO yang meletakkan asas kebangsaan di hadapan juga tidak melampau kerana masih mempunyai roh Islam.

    Abdul Hadi berkata, begitu juga parti yang paling baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai persamaan.

    “Jangan mengambil kira tindakan yang sangat terpencil dengan kenyataan lisan dan tulisan sahaja, kerana ia tidak akan mampu membakar hangus situasi hubungan antara kaum.

    “Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, ia tidak akan melarat sepertimana yang berlaku di negara lain,” jelasnya.

    Menurut beliau, walaupun terdapat parti perkauman yang ekstrem dengan tuntutan-tuntutan melampau tanpa menghormati hak yang telah diberikan, bahkan ada juga yang membawa ideologi yang melampau bertapak di sini, tetapi semuanya tidak boleh menguasai keadaan stabil yang wujud.

    Namun, kata Abdul Hadi, cahaya Islam sekali-kali tidak boleh dipadamkan oleh penjajah yang bertali arus datang ke negara ini, bermula dengan kedatangan Portugis pada tahun 1511 ke Melaka, kemudian diikuti dengan penjajah Belanda dan Inggeris.

    “Walau bagaimanapun, cahaya Islam masih tetap hidup dalam masyarakat rumpun Melayu yang menganutnya.

    “Sekalipun bangsa Melayu masih belum berkuasa sepenuhnya sepertimana yang telah diaturkan oleh penjajah sebelum kemerdekaan, dan bangsa Melayu pernah berdaulat sebelum kedatangan penjajah,” katanya.

    Beliau memberitahu, hal ini menjadi suatu hikmah yang berharga, apabila kemerdekaan yang dicapai menerusi rundingan kemerdekaan akhirnya berjaya meletakkan beberapa tunggak yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Antaranya ialah Islam menjadi Agama bagi Persekutuan, hak Melayu Islam dan bumiputera serta kedudukan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.