Tag: dana RM600b

  • Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    TAN Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

    Muhyiddin, Tengku Zafrul dan KJ dijangka dipanggil SPRM.

    Siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

    Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

    Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

    Laporan portal berita The Vibes yang memetik blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

    “Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

    “Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya.

    Sementara itu, Berita Harian menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

    Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

    Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

  • Dana RM600b: Kenapa Anwar tak tanya Tengku Zafrul?

    Dana RM600b: Kenapa Anwar tak tanya Tengku Zafrul?

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanyakan tentang dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Hal ini kerana bekas Menteri Kewangan itu mengetahui segala urusan perbelanjaan dan pelbagai pakej dilaksanakan kerajaan dalam tempoh masa tersebut.

    Menurut Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, gabungan itu sekali lagi menafikan penyelewengan seperti mana didakwa oleh Anwar.

    PN juga tegas beliau bersedia untuk bekerjasama dengan polis atau pihak berwajib lain demi memastikan nama baik gabungan itu dibersihkan daripada tuduhan jahat tersebut.

    “Saya patut mengingatkan media dan juga kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika anda mahu mengetahui kebenaran tentang isu ini beliau boleh bertanya kepada menterinya, Tengku Zafrul.

    “Beliau adalah sebahagian daripada Kabinet, beliau bertanggungjawab dalam tempoh tersebut terhadap pakej yang diisukan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan Anwar mengaitkan penyelewangan dana berjumlah RM600 bilion di zaman pemerintahan kerajaan PN.

    Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang menyifatkan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu cuba bermain politik persepsi dengan memburukkan imej PN pada minggu pertama pentadbiran beliau.

    Beliau menegaskan, PN terbuka untuk disiasat sama ada berkaitan isu RM600 bilion termasuk dana pilihan raya gabungan itu kononnya dari syarikat judi.

    “Laporan polis yang kami buat hari ini menunjukkan kami tiada apa untuk diselindung, untuk pihak berkuasa menyiasat.

    “Perikatan Nasional mengambil serius tohmahan dan fitnah ini dan kami berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil kira laporan yang telah saya buat tadi,” katanya lagi.

  • Dewan Ulamak minta PH jawab dakwaan terima dana asing

    Dewan Ulamak minta PH jawab dakwaan terima dana asing

    DEWAN Ulamak Pas meminta Pakatan Harapan menjawab dakwaan gabungan itu menerima dana asing yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum ini.

    Berikut kenyataan penuh Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahya menerusi satu kenyataan hari ini.

    1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Perikatan Nasional (PN) mendapat dana pilihan raya daripada syarikat perjudian sememangnya sangat dangkal dan jauh meleset.
    2. Bagaimana seorang Perdana Menteri menjustifikasikan dakwaan beliau sebagai sekadar “membayangkan” wujudnya penerimaan dana tersebut, bukan sebaliknya daripada bukti yang jelas dan nyata. Usah jadikan Kerajaan tempang yang dibentuk pasca PRU ke-15 sebagai Kerajaan Pak Pandir.
    3. Komitmen Kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023. Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?
    1. Malah, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat PH mencecah RM3.43 bilion (2019), tertinggi sejak tahun 2010. Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini?
    2. Persoalan paling mustahak di sini adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini. Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU ke-14 yang lalu.
    3. Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya.
    4. DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN/PAS untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu.

    YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAHYA
    KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

    12 Jamadilawwal 1444 Hijri | 7 Disember 2022 Miladi

  • ‘PH tuduh, PH siasat tuduhan sendiri’ – Afif

    ‘PH tuduh, PH siasat tuduhan sendiri’ – Afif

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mesti menghentikan sebarang campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan wujud penyelewengan ke atas dana RM600 bilion.

    Menurut Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin, kenyataan Saifuddin bahawa beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung dakwaan itu seolah-olah memperlihatkan tindakan mahu campur tangan.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan politik yang jelas oleh menteri, dalam mengarahkan polis tentang cara menjalankan tugasnya. Ini dendam politik dalam bentuk yang paling jelek dan tidak sepatutnya berlaku di mana-mana negara.

    “Pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang mendakwa memperjuangkan reformasi demokrasi, tadbir urus baik dan kebebasan institusi, kini secara terbuka mengakui membincangkan perkara penyiasatan membabitkan lawan politik mereka dengan polis, satu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Dr Afif berkata, sungguhpun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyidin Yassin, mengalu-alukan sebarang penyiasatan ke atas pakej bantuan berjumlah RM530 bilion ketika pandemik COVID-19 lalu, Saifuddin tidak perlu membincangkan secara spesifik sebarang siasatan dengan Ketua Polis Negara.

    “Itu adalah bidang kuasa polis, dan tidak boleh ada campur tangan politik atau menteri. Sungguh mengerikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipanggil Perdana Menteri reformis, pada minggu pertamanya memegang jawatan, membuat tuduhan sedemikian tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.

    “Lebih memalukan apabila Menteri Dalam Negerinya, pada hari kedua memegang jawatan, (seolah-olah) merancang untuk terbabit dalam menjalankan siasatan,” katanya.

    Katanya, tanggungjawab Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi arahan dasar yang sesuai kepada badan penyiasat dan menjamin keselamatan negara, bukan untuk campur tangan dalam mana-mana siasatan.

    “Perdana Menteri membuat tuduhan setiap hari terhadap Pengerusi PN, lawan politiknya dan Menteri Dalam Negeri membincangkan siasatan atas tuduhan yang sama dengan Ketua Polis Negara. Pendek kata, PH tuduh dan kemudian PH siasat tuduhan sendiri.

    “Walaupun ini mungkin biasa di negara-negara seperti Korea Utara, ia adalah menjijikkan di Malaysia yang sepatutnya menjadi negara demokrasi,” katanya.

    Saifuddin pada sidang media semalam berkata akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Acryl berkenaan isu dana RM600 bilion didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

    Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ketua Polis Negara itu mengenai isu dibangkitkan Anwar dalam sidang medianya semalam.