Tag: dana

  • Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9juta

    Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9juta

    SERAMAI 160 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) hampir lima tahun lalu, sudah menyerahkan notis tuntutan kepada UHY Advisory, agar menyelesaikan baki pembayaran mencecah RM18.9 juta.

    Notis tuntutan (LOD) bertarikh 3 Mac lalu dihantar menerusi Tetuan Azmi & Associates kepada Tetuan Dennis Nik & Wong yang mewakili syarikat pelikuidasi tersebut, menyatakan tuntutan supaya bayaran penyelesaian berjumlah RM18,880,296.11 untuk didepositkan ke akaun Azmi dan Associates.

    “Jika kami tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat ini, anak guam kami akan meneruskan semua tindakan yang dibenarkan kepada mereka mengikut undang-undang termasuk memfailkan tindakan mahkamah,” menurut firma itu dalam LOD tersebut.

    Perkara ini ialah selepas peguam daripada firma mewakili pekerja-pekerja itu, menghantar koresponden kepada Messrs Dennis Nik & Wong sejak Disember 2022 dan Januari dan Februari tahun ini, sebagai peringatan.

    Bagaimanapun, firma itu memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang jawapan.

     Notis tuntutan itu dihantar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Okt 2022 bahawa bekas kakitangan UMMB yang terlibat dalam VSS, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 hartanah milik syarikat tersebut.

    Hakim juga mengistiharkan bahawa 29 harta milik UMMB termasuk termasuk subsidiarinya iaitu Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd, U Print Sdn Bhd (dalam likiudasi), Utusan Land Sdn Bhd and Juasa Holdings Sdn Bhd dan syarikat berkaitannya Mediamoney Sdn Bhd boleh dikenal pasti sebagai harta-harta amanah.

    Dalam penghakimannya Nadzarin berkata harta-harta termasuk beberapa bangunan terletak di Jalan 5, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin dan juga  Jalan 5, Seksyen 92 CSL di sini dan Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S 10 di Bangi, adalah untuk penyelesaian kepada skim VSS oleh plantif (UMMB) boleh dikenal pasti atau diistiharkan sebagai harta amanah.

    Beliau membuat keputusan itu dalam saman asal yang difailkan UHY Advisory sebagai likuidator mewakili UMMB sebagai plaintiff terhadap Rosmanizam Abdullah dan 159 yang lain sebagai defendan (pekerja VSS). – BERNAMA

  • Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan. 

    “Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas. 

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. 

    Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – BERNAMA

  • Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui bahawa calon yang mewakili gabungan itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diberikan dana untuk tujuan kempen, namun menafikan ia datang dari syarikat perjudian.

    Beliau berkata, gabungan itu hanya memberikan RM50,000 kepada setiap calon yang bertanding di bawah tiket PN pada PRU15.

    “Mereka bimbang dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya baru-baru ini, oleh itu Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendakwa untuk kempen, PN menerima jutaan ringgit dana daripada ‘tauke’ judi.

    “Ya, benar kami berikan dana. Saya Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon di depan saya…kami hanya memberikan RM50,000 untuk setiap calon.

    “Jika saya ada duit daripada kaki judi, saya rasa (PN) bukan sahaja menang 73 kerusi, (malah) 30 (kerusi) BN juga kita sapu habis.

    “Namun kerana kami tidak mempunyai wang mencukupi, sebab itulah kita tak dapat menang banyak,” katanya dalam satu ceramah ketika berkempen untuk PRU-15 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di sini, malam tadi.

    Semalam, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya membayangkan dana kempen pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

    Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun berkuat kuasa 1 Januari depan.

    Sementara itu, Hamzah mengingatkan Anwar bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik membarisi senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan kini, adalah Menteri Kewangan ketika Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.

    Beliau berkata, keputusan berkaitan cabutan khas syarikat perjudian diputuskan Menteri Kewangan dan Tengku Zafrul harus menjawabnya.

    “Beliau (Anwar) berkata ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini terdapat 22 cabutan khas. Siapa Menteri Kewangan? (Jawapannya) Tengku Zafrul (dan) anda kena tanya Tengku Zafrul.

    “Hari ini (semalam) ketika mesyuarat Kabinet diadakan beliau (Anwar) mengumumkan 22 cabutan khas dikurangkan kepada lapan, jadi apa maksudnya?

    “Ini hanya menunjukkan Menteri Kewangan ada kuasa dan dalam perkara berkenaan perjudian hanya Menteri Kewangan berkuasa dan anda perlu tanya Tengku Zafrul,” katanya, lapor Berita Harian.