Tag: Dakwaan salah guna kuasa

  • Ibu dua anak mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah, salah guna kuasa

    Ibu dua anak mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah, salah guna kuasa

    SEORANG pegawai cawangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) negeri Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua tuduhan salah guna kuasa bagi kepentingan sendiri, lapor Astro Awani.

    Tertuduh Nor Jihan Musa, 37, bagaimana pun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan setelah dibaca dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Menurut keterangan kes, pada 30 Disember 2020, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan di pejabat APAD Pahang, dengan menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan ubah syarat lesen pengendali atau permit kenderaan barangan bagi syarikat miliknya sendiri.

    Sementara pada 31 Mac 2021, tertuduh dilokasi yang sama didakwa menggunakan jawatan sebagai ketua cawangan bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan melesenkan kenderaan mengikut surat tawaran bagi syarikat miliknya.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 24 akta sama, dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Nadzirah Zahari.

    Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Tertuduh diwakili peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin.

    Mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa.

    Mahkamah menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

  • KDN akan beri kerjasama jika ada laporan rasuah – Hamzah

    KDN akan beri kerjasama jika ada laporan rasuah – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pihak berkenaan membuat laporan polis berhubung pendedahan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dibongkar pengguna Twitter serta Telegram menggunakan nama ‘Edisi Siasat’ sejak beberapa minggu lalu.

    Menurut Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.

    Namun begitu, beliau menyatakan baru sahaja mendengar dan tidak mengetahui mengenai dakwaan melibatkan pegawai kanan kerajaan, menteri dan bekas menteri itu.

    “Saya baru dengar,… saya tak tahu pun perkara ini. Bagaimanapun, segala kesalahan, sesiapa saja kalau ada laporan polis, ada siasatan, kita akan berikan kerjasama.

    ““Buat masa ini, saya tidak tahu,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-6, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa pihak polis supaya menyiasat kenyataan dimuat naik pengguna akaun Twitter tersebut yang mendakwa segelintir pegawai kanan polis dipercayai terlibat dengan kes penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah.

    Menurut Musa, sebelum mengambil tindakan lanjut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu perlu mengesahkan sama ada dakwaan yang tular dalam media sosial itu benar atau sebaliknya.

    Kata beliau, pegawai dikatikan dengan dakwaan berkenaan boleh mengambil tindakan saman sivil sekiranya maklumat itu terbukti palsu.