Tag: Cyberjaya

  • SPRM mahu rakaman CCTV kereta menteri di sebuah kondominium

    SPRM mahu rakaman CCTV kereta menteri di sebuah kondominium

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta pihak pengurusan sebuah kondominium di Cyberjaya menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan tiga buah kereta.

    Malaysiakini dalam laporannya memetik sumber SPRM berkata, dua daripada kenderaan itu didaftarkan atas nama menteri sumber manusia V Sivakumar.

    Difahamkan ia sebahagian daripada dakwaan rasuah yang dikatakan bernilai RM97 juta melibatkan dua pegawai kanan menteri itu.

    “Sebanyak tiga kenderaan menjadi sebahagian daripada siasatan.

    “SPRM telah meminta rakaman CCTV bagi tarikh 6 Mac 2023 – 7 Mac 2023 dan 7 April 2023 – 8 April 2023 bagi tiga kereta jenis Mercedes Benz, Proton Perdana dan Outlander (Mitsubishi),” katanya kepada Malaysiakini.

    Carian maklumat kenderaan di internet mendapati kereta Mercedes berwarna perak dan Outlander berwarna merah itu didaftar sebagai kenderaan milikan persendirian atas nama Sivakumar.

    Namun, carian tidak dapat memastikan pemilikan kenderaan ketiga jenis Proton Perdana.

    SPRM memohon rakaman CCTV itu semalam dan memberi tempoh kepada kondominium itu untuk menyerahkannya sehingga hari ini.

    Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri dan SPRM dan masih menunggu maklum balas mereka.

    SPRM masih teruskan siasatan – laporan

    Sementara itu, memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia melaporkan bahawa SPRM masih meneruskan pencarian wang berjuta-juta ringgit yang didakwa melibatkan pegawai kanan menteri melalui orang tengah.

    Laporan itu turut mengesahkan bahawa SPRM tidak sebarang bukti ketika mengeledah rumah dan pejabat menteri.

    “Difahamkan tiada rampasan dibuat kerana SPRM tidak menemui sebarang bukti yang diperlukan,” sumber itu dipetik sebagai berkata.

    Sumber SPRM semalam memberitahu Malaysiakini bahawa tiada serbuan terhadap rumah dan pejabat Sivakumar tetapi hanya “lawatan”.

    Sumber itu juga memberitahu portal itu bahawa SPRM tidak menolak kemungkinan mengambil keterangan menteri sekali lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

    SPRM menyerbu pejabat Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Putrajaya pada Khamis dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.

    Sehari kemudian, agensi antirasuah itu menahan setiausaha sulit Sivakumar pula dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

    Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan agensi pekerja asing.

    Beberapa laporan sebelum ini mengesahkan bahawa menteri telah memberi keterangan hampir sembilan jam di pejabat SPRM.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata tiada keperluan untuk Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

    Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

  • Dua lelaki cederakan pekerja restoran mamak didakwa

    Dua lelaki cederakan pekerja restoran mamak didakwa

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan mencederakan pekerja sebuah restoran di Cyberjaya, mengeluarkan kata-kata kesat serta merosakkan peralatan premis itu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Elangovan Muniandy, 51, dan Vengateswaran Malaisamy, 51, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, pagi ini.

    Memetik laporan UtusanTV, mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengeluarkan perkataan lucah dengan maksud menganggu kesantunan terhadap mangsa yang mana boleh dihukum dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama melakukan khianat dengan membaling pinggan milik restoran berkenaan.

    Perbuatan itu didakwa dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Dua lelaki didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua pekerja sebuah restoran di Cyberjaya minggu lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Elangovan turut tidak mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan dengan sengaja mencederakan mangsa dengan penyepit besi.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Nasi Kandar Pelita Glomac, Cyberjaya sekitar pukul 7.30 petang pada 16 Mac lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairy mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM7,000 bagi pertuduhan kedua, ketiga dan pertuduhan satu lagi Elangovan terhadap Elangovan.

    Bagaimanapun, peguambela yang mewakili kedua-dua tertuduh, Lingeswaran Andiappan memohon jaminan minimum terhadap Elangovan memandangkan tertuduh menyara isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan tiroid selain dua lagi anaknya yang masih bersekolah.

    Bagi Vengateswaran, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) itu membuat permohonan sama memandangkan tertuduh menanggung ibu yang sedang uzur selain isteri dan dua anaknya.

    Majistret Ayuni Izzaty kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama, RM3,300 bagi pertuduhan kedua dan ketiga, manakala pertuduhan tambahan terhadap Elangovan sebanyak RM3,000.

    Beliau turut mengenakan syarat jaminan tambahan agar kedua-kedua tertuduh tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

    Mahkamah kemudian menetapkan 10 Mei depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

    Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

    POLIS mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam sebagai kes bunuh.

    Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, pihaknya menerima laporan pada 10.15 malam daripada seorang individu memaklumkan melihat satu mayat terapung di kawasan berkenaan.

    Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama pasukan forensik hadir di tempat kejadian yang merupakan sebuah kawasan bekas tasik dan menemui mayat lelaki terapung.

    Beliau berkata, sepasukan Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik.

    “Hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus,” katanya lapor Berita Harian.

    Wan Kamarul berkata, saksi menyatakan kira-kira 8 malam, dia melihat hadapan sebuah kereta berada dalam tasik berkenaan.

    Katanya, saksi pergi memeriksa kenderaan itu dan mendapati satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung berpakaian lengkap berada di dalam tasik itu pada jarak kira-kira tiga meter.

    “Pemeriksaan di sekitar kawasan tanah lapang seluas lima ekar di kawasan itu menjumpai sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna hitam terjunam ke dalam tasik,” katanya.

    Wan Kamarul berkata, kawasan tasik itu juga tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas dan merupakan tumpuan pemancing.

    Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

  • 42 warga asing ditahan dalam serbuan dadah

    42 warga asing ditahan dalam serbuan dadah

    POLIS menahan 42 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak dipercayai disembunyikan seorang tekong darat dalam satu serbuan di sebuah rumah bandar atau townhouse di Cyberjaya pada 11 Dis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata risikan awal mengesyaki rumah berkenaan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah namun hasil serbuan telah menemukan 42 warga Indonesia dipercayai disembunyikan selama tiga hari di ‘rumah transit’ itu.

    Beliau berkata kesemua warga asing itu dibawa secara berasingan sejak 9 Dis dengan menaiki kenderaan e-hailing supaya pergerakan mereka tidak dapat dihidu oleh pengawal keselamatan dan penduduk lain.

    “Ketika serbuan dibuat (11 Dis), seorang tekong darat warga tempatan berusia 42 tahun berjaya melarikan diri dengan terjun melalui pintu belakang (rumah) sebelum berjaya diberkas di kawasan Dengkil semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata dalam serbuan itu polis turut menemukan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram serta wang tunai RM7,000 dan hasil siasatan mendapati 42 warga asing itu sepatutnya keluar dari negara ini melalui jalan air pada 11 Dis, sama ada melalui Bagan Lalang atau Pantai Tanjung Rhu.

    Beliau berkata tekong darat itu direman selama empat hari sehingga 17 Dis bermula semalam manakala kesemua warga asing direman selama 14 hari bermula 11 Dis.

    Sementara itu dalam kes berasingan, Wan Kamarul Azran berkata empat lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes curi dan leraikan komponen kenderaan di Cyberjaya.

    Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah mencuri kenderaan lama yang telah lama diparkir di kawasan kondominium, dan kemudian ditunda ke bengkel untuk dileraikan, dengan sebahagian komponen kenderaan serta rangkanya dijual di kedai lusuh.

    Katanya, kes berkenaan rentetan daripada satu laporan polis diterima pada 5 Dis berhubung kehilangan kenderaan jenis Proton Satria, dan hasil risikan serta serbuan, polis berjaya merampas barang kes yang telah dileraikan melibatkan enam kenderaan dicuri di kawasan Cyberjaya.

    Menurut beliau, dua tangkapan dibuat di Cyberjaya pada 5 Dis, diikuti tangkapan ketiga di Klang dan keempat di Sepang pada 13 Dis dan kesemua suspek berumur 26 tahun hingga 38 tahun itu ditahan reman sehingga hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA