Tag: curi tabung

  • Remaja curi tabung surau diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney

    Remaja curi tabung surau diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney

    SEORANG remaja lelaki yang sebelum ini tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat cuba mencuri tabung masjid, diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas dia mengaku salah mencuri wang tabung surau, tahun lepas.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu semalam selepas meneliti laporan sosial dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap Daniel Iskandar, 20, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    “Tertuduh merupakan pesalah muda. Oleh itu, memerintahkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai umur 21 tahun,” katanya. 

    Mahkamah turut memerintahkan remaja itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bermula semalam.

    Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa mencuri wang RM74 daripada tabung milik surau Al Munir Batu 17 Kuang, Rawang pada 12.44 tengah hari 5 Dis 2022, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

    Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, tertuduh hendaklah dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama.

    Peguam Suhaida Mohd Sobri daripada Jabatan Bantuan Guaman, Negeri Selangor yang mewakili Daniel memohon hukuman ringan dengan mengambil kira laporan sosial yang dibacakan oleh wakil JKM selain anak guamnya merupakan pesalah muda serta telah insaf.

    “Sebelum ditangkap, tertuduh bekerja di bengkel kereta dan dijaga oleh datuknya. Ibu bapa anak guam saya telah bercerai dan dia anak sulung daripada tiga beradik yang seorang daripadanya ialah Orang Kurang Upaya (OKU),” kata peguam itu.

    Dalam pada itu, pegawai JKM Mohamad Hanafi Sedi memohon supaya Daniel diperintahkan ditahan di sekolah itu sehingga mencapai 21 tahun.

    Pada 13 Jan tahun lepas, Daniel dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jan tahun lepas, mengetepikan hukuman penjara dan denda itu terhadap Daniel, menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid. – BERNAMA

  • Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki mencuri tabung masjid ketika para jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata dalam kejadian Sabtu lepas suspek berusia 28 tahun itu terlebih dahulu datang ke Masjid Padang Pauh untuk mengambil barang makanan yang dari ‘Food Bank’ masjid berkenan.

    Beliau berkata suspek kemudiannya datang sekali lagi untuk mencuri tabung masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, dan polis berjaya mengesan perbuatan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Suspek ditangkap di rumahnya di Arau pada kira-kira pada 9.15 malam Ahad,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tabung masjid yang dicuri dijumpai di dalam tandas pasar Beseri dan suspek membuat pengakuan bahawa dia mengunakan wang itu untuk mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit. 

    Saifudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.– BERNAMA