Tag: cuba

  • [VIDEO] Letupan hotel: 22 mangsa maut, 64 cedera

    [VIDEO] Letupan hotel: 22 mangsa maut, 64 cedera

    SATU letupan kuat berlaku pada Jumaat di Hotel Saratoga di Havana, ibu negara Cuba, mengakibatkan kematian dan kerosakan teruk, lapor Agensi Anadolu.

    Memetik laporan Bernama, Pejabat Presiden Cuba mengesahkan setakat ini 22 mangsa disahkan meninggal dunia dan 64 yang lain cedera.

    “Operasi mencari dan menyelamat diteruskan susulan kemungkinan masih ada mangsa terperangkap,” menurut kerajaan di Twitter.

    Penduduk tempatan turut membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

    Kerajaan Cuba mendakwa letupan itu berkemungkinan disebabkan oleh kerja penyelenggaraan membabitkan gas cecair yang dilakukan di hotel.

    Hantaran di media sosial memaparkan bangunan hotel mengalami kerosakan teruk.

    Kejadian berlaku pada tengah hari di hotel yang terletak di Paseo del Prado.

    Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel yang melawat lokasi kejadian berkata “Letupan itu bukan bom atau serangan, tetapi kemalangan yang tidak disengajakan.”

    Kebocoran gas dipercayai menjadi punca kepada kejadian itu, lapor Xinhua.

    Hotel lima bintang itu dalam proses dibuka semula pada 10 Mei sebagai sebahagian usaha pemulihan industri pelancongan di pulau itu.

    Operasi menyelamat masih dijalankan.

  • Waspada bisikan jahat cuba musnah keharmonian negara – KSN

    Waspada bisikan jahat cuba musnah keharmonian negara – KSN

    KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali meminta rakyat negara ini agar tidak berpecah belah dan termakan bisikan jahat pihak yang cemburu dengan keharmonian dikecapi Malaysia selama ini.

    Beliau pada masa sama meminta rakyat supaya meraikan kepelbagaian perbezaan yang ada untuk bersama-sama memperkukuh seterusnya menjadi sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera.

    Menurutnya, pandemik Covid-19 merupakan waktu untuk rakyat bersatu hati mendepani wabak ini.

    “Ingatlah, inilah masa yang sangat kritikal untuk kita untuk bersatu padu dan bersatu hati, dalam memastikan kemerdekaan dari kemelut pandemik Covid-19 yang merencatkan kehidupan normal yang kita jalani.

    “Kita mesti menang dalam peperangan ini, dan kita tidak boleh mengalah. Perlu disemat juga, perpaduan rakyat merupakan tunjang kepada kestabilan sesebuah negara.

    “Kemerdekaan yang dikecapi adalah berpaksikan kemuafakatan dan tolak ansur dalam meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perpaduan Negara yang disiarkan secara maya, hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zuki berkata, kerajaan mengekalkan tema tahun lalu untuk sambutan Hari Kebangsaan iaitu, ‘Malaysia Prihatin’ seiring iltizam dan hasrat kerajaan menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.

    Beliau berkata, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara menyusun pelbagai program berteraskan patriotisme dan semangat perpaduan.

    Kementerian itu jelas beliau turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang juga Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2021 (HKHM 2021), bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektifnya.

    “Program ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia dan memperkasa peranan serta pembabitan komuniti untuk sama-sama menyemarakkan semangat perpaduan tanpa mengira usia, agama, kaum, budaya dan adat resam,” tambah Mohd Zuki lagi.