Tag: cuaca

  • Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    JOHOR, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor berisiko dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam, jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Notis PRABN yang dikeluarkan pada 5 petang ini memaklumkan, kawasan terlibat di Johor ialah Tangkak sekitar Grisek, Batu Pahat (Sungai Punggor, Minyak Beku, Simpang Kanan, Bandar Penggaram, Peserai, Sri Gading, Tanjung Sembrong dan Simpang Kiri), Kota Tinggi (Johor Lama, Penggerang, Kota Tinggi dan Ulu Sungai Johor).

    Daerah lain dan kawasan sekitarnya yang turut terlibat ialah Muar (Ayer Baloi, Sri Menanti, Ayer Hitam, Mukim Bandar, Jalan Bakri, Bandar Maharani dan Bandar Panchor), Pontian (Rimba Terjun, Ayer Masin, Pontian, Ayer Baloi, Api-Api, Benut dan Sungai Pinggan) serta Kluang (Ulu Benut, Rengam dan Machap).

    Di Pahang, tiga daerah terlibat iaitu Bera sekitar Bera dan Triang, Maran (Chenor dan Kertau) serta Termeloh (Perak, Bandar Temerloh, Bangau, Sanggang, Lipat Kajang dan Jenderak) manakala di Melaka ialah Melaka Tengah (Umbai dan Telok Mas).

    Sementara itu, di Perak daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Perak Tengah (Pasir Salak) dan Negeri Sembilan pula melibatkan kawasan Port Dickson di Mukim Si Rusa, Pekan Lukut, Pekan Jemima dan Mukim Jimah juga dijangka terjejas dari banjir kilat.

    Di Selangor, kawasan diramal terjejas adalah Klang (Pekan Pandamaran, Klang, Bandar Klang, Kapar dan Pekan Kapar), Petaling (Damansara, Pekan Hicom, Pekan Batu Tiga, Bandar Shah Alam dan Sungai Buloh), Kuala Langat (Kelanang, Tanjong Duabelas, Bandar, Pekan Chodoi, Pekan Jenjarom dan Telok Panglima Garang) serta Kuala Selangor (Pasangan dan Pekan Bestari Jaya).

    Notis kesiapsiagaan itu, dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

    “Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu. – BERNAMA

  • Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    BANJIR kilat mungkin melanda Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Berdasarkan notis PRABN yang dikeluarkan 7 pagi ini,  kawasan terlibat di Johor ialah Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).

    Di Pahang, tiga daerah terlibat iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar).

    Sementara itu, di Perak dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang) manakala di Selangor membabitkan Klang.

    Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas adalah Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu) manakala di Sabah ialah Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan). 

    Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

    “Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu. – BERNAMA

  • Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agihan bantuan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal bencana sebagai persiapan menghadapi banjir.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Al-Sultan Abdullah turut menitahkan supaya perhatian diberikan terhadap proses pengagihan bantuan kepada rakyat yang terjejas jika berlaku bencana.

    Beliau berkata Seri Paduka bertitah demikian pada sesi sembah taklimat cuaca dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di sini hari ini.

    “Pada taklimat hari ini, JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sembah maklum data, persiapan dan lokasi ‘hotspot’ banjir kepada Seri Paduka dan Tuanku berpuas hati.

    “Tuanku menekankan soal sistem amaran awal dan kita sembah maklum bahawa KASA telah menambahkan fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama kawasan hotspot.

    “Tuanku juga titahkan pelarasan dari segi bantuan di bawah NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan agensi lain bagi mengelakkan kekeliruan di samping bantuan sampai kepada mangsa,” kata beliau kepada pemberita.

    Beliau berkata demikian selepas sesi sembah taklimat itu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke sesi sembah taklimat itu yang diadakan secara tertutup bagi mengetahui kesiapsiagan agensi terlibat untuk menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 yang dijangka bermula pertengahan November ini dan berakhir pada Mac 2023.

    Turut hadir Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh dan Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah.

    Sembah taklimat selama dua jam itu bermula dengan keadaan cuaca dan persiapan banjir daripada JPS serta MetMalaysia seterusnya berhubung situasi terkini COVID-19 serta kesediaan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi banjir oleh Khairy. Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melawat pusat kawalan PRABN.

    Sementara itu, Khairy berkata KKM turut mempersembahkan persiapan serta penempatan petugas kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta perancangan sekiranya fasiliti kesihatan awam turut dilanda banjir.

    Ditanya sama ada sesi sembah taklimat itu turut menyentuh soal persiapan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berkata perbincangan taklimat hanya menjurus kepada persediaan menghadapi musim banjir.

    “Tuanku hanya minta pandangan isu ini secara biasa bukan (kerana) PRU15, sebab memang kita berdepan Monsun Timur Laut, tak ada perbincangan selanjutnya (mengenai PRU15). Tuanku sangat cakna dengan kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    PRN Johor: Cuaca diramal cerah sebelah pagi

    CUACA di seluruh negeri pada waktu pagi pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini diramalkan cerah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Berdasarkan maklumat di laman web MetMalaysia, ribut petir pula dijangka berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

    Suhu sepanjang hari berkenaan diramal 23 hingga 33 darjah Celsius.

    Seramai 239 calon bertanding pada PRN Johor di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

    Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya turut menasihatkan pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan seperti tertera dalam aplikasi MySPR Semak. – BERNAMA

  • Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini – MetMalaysia

    Fasa peralihan monsun dijangka mula Jumaat ini – MetMalaysia

    FASA peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept ini dan sehingga awal November menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 19 Mei lepas. 

     Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk  ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

    “Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya. 

    Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia. 

    Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di nombor 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut, katanya. – BERNAMA