Tag: Covid-19

  • KKM: 80 peratus kes BID tidak didiagnos mempunyai Covid-19

    KKM: 80 peratus kes BID tidak didiagnos mempunyai Covid-19

    Oleh:Bernama

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini mendedahkan bahawa 80 peratus daripada kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat COVID-19, didapati mangsa tidak pernah didiagnos dengan penyakit tersebut.

    Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata mereka ini sama ada tidak mempunyai akses untuk melakukan diagnos atau tidak pernah tampil untuk membuat ujian.

    “Kami dapati sebahagian besar mereka adalah bukan warga Malaysia,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

    Chong berkata daripada 1,000 kematian dilaporkan setiap minggu, 80 hingga 100 adalah kes BID.

    Beliau berkata BID meningkat secara konsisten beberapa minggu lalu dan bagi menangani situasi ini Pusat Penilaian COVID-19 secara Maya (VCAC) telah diaktifkan seminggu lalu untuk memastikan tindak balas pengurusan yang efektif.

    Beliau berkata, VCAC membolehkan orang ramai yang diuji positif tetapi tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan menjalani pengasingan di rumah dan dipantau melalui kit penilaian di rumah (HAT) dan bukannya datang ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) fizikal.

    “Sebanyak 60 peratus (daripada mereka yang dijangkiti) biasanya tidak bergejala dan kira-kira 30 peratus mempunyai gejala ringan. Hanya lima hingga 10 peratus perlu dinilai secara fizikal, mereka ini yang perlu datang ke CAC fizikal,” katanya.

    Beliau berkata, VCAC adalah kaedah bagi memastikan kes tidak bergejala tidak memenuhi hospital dan CAC fizikal.

    Sementara itu Chong yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, berkata pemain industri bersetuju mematuhi peraturan bagi mencegah wabak di tempat kerja.

    Beliau berkata walaupun kunci bagi mencegah wabak adalah vaksinasi, majikan perlu membawa pekerja yang bergejala menjalani ujian dan memberi akses ke klinik panel.

    “Sekiranya berlaku kes positif, majikan mesti mengasingkan mereka yang kontak rapat dan menjaga kebajikan mereka dengan menyediakan makanan dan memberi bantuan sepanjang tempoh pengasingan,” katanya.

    Chong juga menggesa majikan mendaftar dengan Safe@Work inisiatif oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat.

    Hadir sama pada sidang akhbar tersebut Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.- BERNAMA

  • Malaysia catat 20,889 kes positif Covid-19, tertinggi setakat ini

    Malaysia catat 20,889 kes positif Covid-19, tertinggi setakat ini

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    STATISTIK kes Covid-19 terus merekodkan angka tertinggi selepas 20,889 individu dilapor positif pada hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan negara mencatatkan peningkatan tertinggi selama tiga hari berturut-turut sejak kelmarin.

    “Lebih 11,000 dikesan di Lembah Klang dengan Selangor merekodkan 8,792 dan Kuala Lumpur, 2,483 kes.

    “Kedah (1,371), Sabah (1,291), Johor (1,275), Negeri Sembilan (986), Kelantan (938), Pulau Pinang (776), Sarawak (652), Perak (624), Pahang (610), Melaka (491), Terengganu (460), Putrajaya (122), Labuan (sembilan) dan Perlis (sembilan).

    “Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 1,224,595
    ,” katanya dan memberitahu kelmarin, kes harian dilaporkan adalah 19,819 kes manakala semalam, 20,558 kes.

  • Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Oleh: Bernama

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

    Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

    “Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

    “Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

    JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

    Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA

  • Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Covid-19:Kapasiti katil hospital di Greater Klang Valley ditingkatkan

    Oleh: Bernama

    KAPASITI katil di hospital awam dan swasta yang merawat pesakit COVID-19 di kawasan Greater Klang Valley (GKV) dipertingkatkan, termasuk menukarkan fungsi repurposed area dalam hospital sebagai wad pesakit.

    Komander Pasukan Bertindak Khas GKV (GKV STF) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata langkah berkenaan dibuat berikutan situasi terkini penularan wabak itu di GKV merangkumi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Beliau berkata inisiatif lain iaitu penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan ke hospital swasta turut dilakukan bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital awam digunakan untuk pesakit COVID-19.

    “Perkhidmatan ambulan juga dipertingkatkan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jababatan Bomba dan Penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bulan Sabit Merah.

    “Selain itu, isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya dibuat bagi pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata GKV STF turut menjalinkan kerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan pengesanan kontak rapat.

    Sehingga kini, di GKV terdapat 29 hospital awam dan 51 hospital swasta serta dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk empat hospital penuh rawatan COVID-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang.

  • JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    JKNK nafi beruk di Gua Musang positif Covid-19

    Oleh: Bernama

    JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menafikan dakwaan seekor beruk di Gua Musang, positif Covid-19.

    Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya tidak melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas haiwan.

    “Tidak munasabah, kita tidak buat ujian calitan kepada beruk,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu hantaran tular dalam Facebook yang memaparkan gambar seekor beruk memakai gelang merah jambu didakwa positif Covid-19. – BERNAMA

  • Kes global Covid-19 kini melebihi 200 juta

    Kes global Covid-19 kini melebihi 200 juta

    Oleh: Bernama

    KES Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 200 juta pada Rabu, menurut data Universiti Johns Hopkins.

    Sehingga 3.21 petang waktu tempatan, jumlah kes mencecah 200,014,602, dengan 4,252,873 kematian dicatatkan seluruh dunia.

    Menurut Xinhua, Amerika Syarikat merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 35,292,721 dan 614,666 kematian, menyumbang kepada hampir 18 peratus kes global dan 15 peratus kematian.

    India di tangga kedua dengan 31,769,132 kes diikuti Brazil 19,985,817 kes serta jumlah kematian kedua tertinggi di dunia iaitu 558,432.

    Negara dengan jangkitan melebihi empat juta kes termasuk Rusia, Perancis, Britain, Turki, Argentina, Colombia, Sepanyol, Itali dan Iran.

    Sementara negara yang melebihi 100,000 kematian pula ialah India, Mexico, Peru, Rusia, Britain, Itali, Colombia, Perancis , Argentina dan Indonesia.

    Jumlah kes global mencecah 100 juta pada 26 Januari, telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam bulan. – BERNAMA

  • Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

    Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 20,000

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    KES baharu terus di Thailand mencatat rekod tertinggi pada Rabu dengan 20,200 jangkitan dan 188 kematian.

    Jumlah kes dan kematian baharu terus meningkat, meskipun sekatan lebih ketat dikenakan termasuk perintah berkurung pada waktu malam selama tujuh jam, penutupan perniagaan dan tempat sejak 12 Julai lalu.

    Sehingga kini, Thailand telah mencatat 672,385 kes dan 5,503 kematian sejak pandemik bermula di negara ini Januari tahun lalu.

    Berikutan lonjakan kes dan diburukkan lagi dengan varian Delta, Kementerian Kesihatan Awam Thailand dan pertubuhan bukan kerajaan Rural

    Doctor Society (RDS) telah menubuhkan 200 Pasukan Tindak Cepat Komprehensif Covid-19 (CCRT).

    Tujuannya untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di Bangkok, pusat pandemik terbaharu.

    Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Dr. Kiattiphum Wongrajit berkata, pasukan CCRT termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan ahli teknologi perubatan telah melakukan ujian pengesanan kes aktif dalam komuniti yang padat di Bangkok mulai hari ini hingga 10 Ogos.

    “Kami menyasarkan untuk menyaring 250,000 orang dalam tujuh hari dan menjangkakan sekitar 15 peratus atau 32,500 mungkin positif Covid-19,” katanya pada sidang media.

    Dr. Kiattiphum berkata, CCRT akan melakukan ujian dan membantu mengasingkan individu yang dijangkiti daripada komuniti mereka secepatmungkin untuk menghalang virus daripada terus merebak.

    “Pasukan CCRT akan menghantar kes yang teruk ke hospital dan melakukan saringan terhadap kontak rapat,” katanya.

    Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan daripada 20,200 kes baharu, 3,708 dikesan melalui pengesanan kes aktif. Jumlah itu merangkumi 187 banduan dan 21 kes import.

    Mengenai kes kematian baharu, itu melibatkan 90 lelaki dan 98 wanita berusia antara 22 hingga 95 tahun, termasuk masing-masing seorang warga India dan Kemboja.

    “Empat daripadanya meninggal dunia di rumah atau dalam perjalanan ke hospital,” menurut CCSA.

    Bangkok kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 4,118 kes baharu dan 92 kematian.

    Setakat ini, sebanyak 18.58 juta dos vaksin telah diberikan sejak kempen vaksinasi dimulakan pada 28 Februari.

  • Rekod harian Covid-19: 19,819 kes baharu, 5 negeri lebih 1,000 jangkitan

    Rekod harian Covid-19: 19,819 kes baharu, 5 negeri lebih 1,000 jangkitan

    KES baharu Covid-19 melonjak kepada 19,819 kes dalam tempoh 24 jam lalu, tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara, Februari tahun lalu.

    Kes baharu yang tertinggi pernah direkodkan adalah pada 31 Julai lalu dengan 17,786 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebook berkata, perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2,714 kes berbanding 17,105 kes direkodkan semalam.

    Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 1,183,110 kes.

    Dr Noor Hisham berkata, Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan kes tertinggi dengan lebih separuh penularan direkodkan di Lembah Klang.

    Selangor merekodkan 8,377 kes dan Kuala Lumpur, 2,467 kes.

    Selain itu, terdapat tiga lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Kedah (1,371 kes), Johor (1,162 kes) dan Kelantan (1,003 kes).

    Ini diikuti Sabah dengan 949 kes, Pulau Pinang (867 kes) dan Negeri Sembilan (800 kes).

    Semua negeri kecuali Perlis, Labuan dan Putrajaya mencatatkan lebih 400 kes.

    Sementara itu, kes harian terendah hari ini dicatatkan di Labuan dengan lima kes manakala Perlis, 11 kes.

  • Covid-19 bukan tersebar dari makmal Wuhan – Pakar

    Covid-19 bukan tersebar dari makmal Wuhan – Pakar

    Oleh:Bernama

    PAKAR Perancis, Gabriel Gras berkata kemungkinan virus COVID-19 berpunca dari makmal Wuhan adalah sifar.

    Gras yang terlibat dalam pembinaan dan perakuan makmal P4 Institut Pengajian Virus Wuhan itu yakin tentang keselamatan makmal tersebut dan menolak khabar angin media Barat.

    Mengikut laporan, makmal tersebut dibina dengan usaha sama oleh Perancis dan China.

    Menurut Gras, pembinaan dan pengoperasian makmal itu mematuhi standard yang amat ketat.

    Sementara itu, kos pengoperasian makmal P4 adalah amat tinggi, termasuk daripada segi dana mahupun masa.

    Menurut Gras, patogen tahap keselamatan tiga tidak perlu dikendalikan di makmal tahap keselamatan empat; manakala patogen tahap keselamatan dua juga tidak perlu dikendalikan di makmal tahap keselamatan tiga.

    Virus korona termasuk COVID-19 tergolong dalam patogen tahap dua atau tiga, bukanlah tahap empat.

    Justeru katanya, virus COVID-19 adalah berasal dari alam semula jadi dan bukan “dihasilkan” di makmal, inilah konsensus dalam kalangan saintis pada masa ini.

    Gras pernah berkhidmat sebagai pakar teknologi di Kedutaan Perancis di China dan merupakan penyelaras pelaksanaan perjanjian kerjasama penyakit berjangkit baharu China-Perancis pada 2004.- BERNAMA

  • Kontak rapat penyumbang tertinggi kes harian Sabah

    Kontak rapat penyumbang tertinggi kes harian Sabah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SARINGAN kontak rapat terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes harian positif Covid-19 di Sabah iaitu 591 kes atau 59 peratus daripada keseluruhan 1,002 kes harian semalam.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, antaranya di Tawau 70 peratus daripada 171 kes baharu Covid-19 yang dikesan merupakan saringan kontak rapat diikuti Penampang (67 peratus daripada 100 kes), Kota Kinabalu (63 peratus daripada 171 kes) dan Sipitang (62 peratus daripada 90 kes).

    “Data ini menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus Covid-19 semakin meluas dalam komuniti. Andaian ini diperkukuhkan lagi dengan jumlah peratusan tinggi iaitu 18.36 peratus (184 kes) kategori bergejala. Kes melibatkan kluster sekadar 13.27 peratus (133 kes) dan saringan bersasar 5.49 peratus (55 kes).

    “Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menganjurkan pematuhan secara menyeluruh prosedur operasi standard bagi mengelak diri dijangkiti Covid-19. Disiplin diri adalah komponen penjagaan kesihatan amat penting selain daripada keperluan mendapatkan vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

    Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) turut memberi kesan kepada individu yang telah menerima suntikan vaksin untuk dijangkiti dan ini dapat dilihat apabila seramai 181 daripada jumlah kes harian hari ini adalah mereka yang sudah lengkap divaksin.

    Sementara itu, Masidi berkata, semalam Sabah merekodkan dua kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Tembidong Bidong membabitkan Telupid serta Beluran dan satu lagi Kluster Jalan Patikang Ulu di Keningau.

    Kluster Tembidong Bidong disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Aidiladha dengan sebanyak 88 kes positif manakala Kluster Patikang Ulu (17 kes) melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja dan siasatan serta kawalan kedua-dua kluster masih diteruskan, katanya.