Tag: Covid-19

  • 2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

    2.2 peratus penjawat awam belum daftar untuk vaksin

    JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan memberi fokus terhadap 2.2 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 19 Ogos lepas.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata susulan itu pihaknya akan mengemukakan nama-nama berkenaan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengetahui isu sebenar untuk tindakan selanjutnya.

    “Selepas kita buat pemadanan data di aplikasi MySejahtera dengan data penjawat awam, kita dapati daripada lebih sejuta penjawat awam, cuma 2.2 peratus yang kita tak dapat kesan mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan vaksin.

    “Jadi kita akan sentiasa melihat dan cuba meningkatkan lagi peratusannya. Ini kerana bila mana lebih banyak sektor perkhidmatan dibuka, mereka kena hadir ke pejabat…kehadiran ke pejabat wajib walaupun suntikan vaksin belum lagi diwajibkan setakat ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kira-kira 400 masyarakat India di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata setakat 19 Ogos lepas, 74 peratus penjawat awam di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 manakala 17.8 peratus lagi menerima satu dos.

    Beliau berkata pihaknya turut meminta Kementerian Kesihatan untuk menyegerakan pemvaksinan kepada 30,000 penjawat awam yang masih belum ada tarikh janji temu sebelum pembukaan semua sektor ekonomi di negara ini.

    “Ini kerana kalau kita nak buka sektor ekonomi, perkhidmatan kerajaan perlu dibuka terlebih dahulu, jadi kita harap yang belum ada janji temu segera divaksinkan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyeru penjawat awam yang belum mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk berbuat demikian sekali gus memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

    Sementara itu, Mohd Khairul Adib berkata semua penjawat awam kini telah bersedia untuk kembali ke pejabat dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara seperti sedia kala.

    “Bagi mereka yang bekerja dari rumah pula, kita sarankan untuk sentiasa mengekalkan produktiviti malah perlu jadi lebih baik biarpun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah capaian internet,” katanya.- BERNAMA

  • Strategi perangi COVID-19 era Muhyiddin terbukti berhasil

    Strategi perangi COVID-19 era Muhyiddin terbukti berhasil

    PELBAGAI langkah yang dilaksanakan dalam usaha memerangi COVID-19 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu mula membuahkan hasil.

    Malah, menurut analisis Asia Analytica baru-baru ini, perkembangan memberangsangkan itu memang sudah dijangka dari awal.

    Antara yang dapat dilihat dengan ketara adalah penurunan mendadak jumlah kes positif dan kematian akibat wabak itu di Lembah Klang sejak kebelakangan ini.

    Selain itu, kadar kemasukan ke hospital juga semakin berkurangan apabila kadar vaksinasi semakin bertambah.

    Asia Analytica menjelaskan, situasi itu sememangnya boleh dijangka, walaupun pada mulanya ramai yang mempertikaikannya.

    Menurut firma penyelidikan tersebut, program vaksinasi merupakan kunci kepada penurunan mendadak jangkitan kes positif dan kematian akibat COVID-19 di Lembah Klang.

    Peningkatan jumlah individu yang telah melengkapkan vaksinasi juga menyaksikan penurunan kadar kemasukan ke hospital kerana semakin ramai penduduk yang kini mempunyai imuniti terhadap COVID-19.

    Yang terkini, kadar penggunaan katil hospital di Selangor telah menurun sehinggga 35 peratus.

    Dengan berkurangnya jumlah pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital, jumlah individu yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan juga berkurangan.

    COVID-19
    Tekanan terhadap petugas Kementerian Kesihatan berkurangan apabila kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital menurun. – Gambar hiasan: Facebook Noor Hisham Abdullah

    Situasi itu sekali gus mengurangkan tekanan terhadap petugas Kementerian Kesihatan yang sebelum ini berdepan dengan kemasukan pesakit COVID-19 yang tinggi di sekitar Lembah Klang.

    Namun, perkembangan positif itu tidak bermakna orang ramai boleh memandang remeh terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana COVID-19 masih ada di sekeliling mereka.

    Cuma, kesan jangkitan virus tersebut terhadap mereka yang telah divaksinasi adalah kurang berbanding mereka yang enggan mengambil vaksin.

    Setakat ini, lebih 60 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin dan imuniti kelompok dijangka dapat dicapai selewat-lewatnya hujung tahun ini.

    Kadar vaksinasi yang pantas di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga telah menerima pujian daripada negara-negara lain.

    Pentadbiran Muhyiddin telah meletakkan asas yang kukuh bagi memerangi COVID-19 dengan memastikan negara ini dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa yang singkat.

    Prestasi tinggi ini perlu diteruskan oleh pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar kita semua dapat mengucapkan selamat tinggal kepada COVID-19.

  • Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    BEKALAN ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya tetapi diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

    Katanya sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan COVID-19 telah meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

    Menurutnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

    “KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, katanya, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

    “Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

    Bagaimanapun, katanya, KKM telah mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.

    KKM juga, katanya telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

    “KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

    “Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya.

    Dr Noor Hisham menjelaskan KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan COVID-19, di samping tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini. 

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes COVID-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan virus itu.- BERNAMA

  • Penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di Selangor turun 35 peratus

    Penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di Selangor turun 35 peratus

    KADAR penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 di Selangor kini sudah menurun sehingga 35 peratus sehingga semalam.

    Memetik Harian Metro, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, data daripada Bilik Gerakan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu diperolehi bagi tempoh 1 Ogos sehingga semalam.

    “Kadar penggunaan katil (BOR) pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus dalam masa 28 hari di bulan Ogos.

    “BOR pesakit Covid-19 pada 1 Ogos lalu adalah sebanyak 101 peratus, manakala pada 28 Ogos menurun kepada 65 peratus.

    “Ini kadar secara keseluruhan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

    Dr Sha’ari berkata, jumlah peratusan pesakit bagi kategori 5 dan 4 juga sudah menunjukkan penurunan berbanding kategori 1 hingga 3.

    “Bagi kategori 5, kira-kira 8.5 peratus pada sepanjang bulan Ogos, manakala pesakit dalam kategori 4 menunjukkan penurunan drastik dari 49.2 peratus pada 1 Ogos kepada 26.6 peratus pada 27 Ogos, iaitu pengurangan sebanyak 23 peratus.

    “Bagaimanapun kategori 3 menunjukkan peningkatan sebanyak 15.9 peratus dari 1 Ogos sehingga 27 Ogos.

    “Pada masa yang sama, pesakit kategori 2 menunjukkan peningkatan 5.7 peratus dan pesakit kategori 1 menunjukkan peningkatan 1.1 peratus di sepanjang bulan Ogos,” katanya.

    Mengulas perkembangan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pula katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat menunjukkan penurunan sebanyak 46.6 peratus dari 1 Ogos hingga 20 Ogos.

  • Pengerusi AIM, Lajim Ukin meninggal dunia

    Pengerusi AIM, Lajim Ukin meninggal dunia

    PENGERUSI Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ di sini, pagi ini.

    Perkara itu disahkan isterinya Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia pukul 6.23 pagi tadi.

    Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas  Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.

    “Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Pada 24 Ogos lepas,  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.

    Beliau berkata sebelum ini hospital itu memaklumkan bacaan oksigen Allahyarham menunjukkan kemajuan yang baik sepanjang tempoh rawatan, bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot awal pagi ini sebelum meninggal dunia.

    Lajim merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah selama tiga penggal bermula 1999.

    Alllahyarham juga pernah menjadi timbalan menteri pengangkutan pada 2008 hingga 2009 dan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 2009 hingga 2012.

    Beliau menyertai UMNO pada 1994 seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sebelum menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.- BERNAMA

  • 22,597 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    22,597 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22,597 kes baharu positif Covid-19 pada hari ini.

    Jumlah berkenaan menjadikan kumulatif kes di negara ini kini berjumlah 1,685,510 kes.

    Pecahan bagi setiap negeri untuk hari ini dan secara kumulatif adalah seperti berikut:

    Selangor – 5,814 (591,466)
    Kuala Lumpur – 1,111 (170,884)
    Sabah – 2,834 (140,361)
    Johor – 1,896 (132,371)
    Sarawak – 2,427 (109,723)
    Kedah – 2,162 (93,261)
    Negeri Sembilan – 345 (90,663)
    Pulau Pinang – 1,920 (81,601)
    Kelantan – 1,289 (73,423)
    Perak – 1,061 (64,537)
    Melaka – 269 (47,110)
    Pahang – 579 (41,708)
    Terengganu – 739 (31,551)
    Wilayah Persekutuan Labuan – 5 (9,804)
    Wilayah Persekutan Putrajaya – 48 (5,284)
    Perlis – 98 (1,763)

  • Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia menurun

    Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia menurun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KADAR kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend menurun sejak empat hari lalu.

    Semalam kadar tersebut direkodkan pada 1.01 berbanding 1.02 pada hari sebelumnya.

    Sebanyak sembilan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

    Sarawak mencatat nilai Rt tertinggi dengan 1.23, diikuti Perlis (1.21), Sabah (1.18), Pulau Pinang (1.13), Johor (1.08), Perak (1.06), Kelantan (1.06), Kedah (1.04) dan Terengganu (1.03).

    Sementara Pahang mencatat Rt sama dengan purata kebangsaan dan negeri/wilayah dengan nilai Rt lebih rendah ialah Melaka (0.99), Selangor (0.96), Kuala Lumpur (0.83), Negeri Sembilan (0.79) dan Putrajaya (0.78).

    Labuan pula mencatatkan lapan kes baharu.

    Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, sementara yang tertinggi ialah 1.21 pada 23 Mei.

    Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

  • Kes baharu COVID-19 negara turun kepada 22,070 kes hari ini

    Kes baharu COVID-19 negara turun kepada 22,070 kes hari ini

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    Kes harian Covid-19 pada hari ini dilaporkan menurun kepada angka 22,070 kes berbanding 24,599 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes postitif kini sebanyak 1,662,913.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melalui pautan terbaharu di Twitternya memaklumkan, Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes harian baharu dengan 5,920 jangkitan biarpun menunjukkan penurunan berbanding 6,936 kes positif semalam

    Sabah dan Sarawak kekal melaporkan angka kes positif yang tinggi dengan masing-masing mencatatkan 3,010 kes dan 2,224 kes.

    Kuala Lumpur merekodkan 1,068 kes manakala Johor (1,089), Negeri Sembilan (338), Kedah (2,072), Perak (939), dan Pahang (610).

    Pulau Pinang pula merekodkan 1,829 kes, Melaka 589, Kelantan (1,051), Terengganu (488), Labuan (8), Putrajaya (39) dan Perlis (76).

  • Covid-19:Australia catat kes tertinggi, lebih 1,000 kes baharu dilaporkan

    Covid-19:Australia catat kes tertinggi, lebih 1,000 kes baharu dilaporkan

    AUSTRALIA buat pertama kali mencatat rekod jangkitan harian COVID-19 tertinggi melebihi 1,000 kes sejak wabak mula melanda.

    Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 1,130 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 47,650 disebabkan penularan varian Delta, lapor Agensi Anadolu memetik stesen penyiaran tempatan ABC News.

    Tiga lagi kematian baharu menjadikan jumlah angka korban terkini sebanyak 989.

    New South Wales (NSW) melaporkan 1,029 kes baharu dan kekal menjadi pusat penularan wabak di Australia.

    Bagaimanapun, NSW meneruskan agenda mengurangkan sekatan terhadap mereka yang lengkap divaksin.

    “Penduduk NSW yang telah terima dua dos vaksin COVID-19 akan memperoleh lebih banyak kebebasan mulai bulan depan, kerana NSW telah mencapai sasaran enam juta suntikan,” kata Ketua Menterinya Gladys Berejiklian.

    Di bawah peraturan baharu, mereka yang lengkap dua dos suntikan boleh mengadakan perjumpaan di luar rumah hingga lima orang termasuk kanak-kanak, tidak melebihi lima kilometer dari kediaman.

    Menurut data terbaharu, Australia dengan populasi melebihi 25 juta orang, merekodkan 18 juta dos penggunaan vaksin, lebih 11.3 juta rakyat sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala hampir 6.7 juta lengkap dua dos.

    Sementara itu, Perdana Menteri Scott Morrison memberitahu wartawan sebanyak 335,420 suntikan diberikan di seluruh negara pada Rabu.

    “Rekod itu memberi harapan untuk kita bersama-sama membawa negara menuju sasaran yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA

  • Covid-19: Kebolehjangkitan Perlis, Sarawak tertinggi

    Covid-19: Kebolehjangkitan Perlis, Sarawak tertinggi

    KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di seluruh negara semalam kekal pada nilai 1.02 buat dua hari berturut-turut.

    Sebanyak sembilan negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan dengan Perlis dan Sarawak tertinggi pada nilai 1.22, diikuti Sabah 1.21.

    Selain itu, negeri yang mencatatkan Rt lebih 1.02 ialah Pulau Pinang 1.12, Kelantan 1.08, Perak 1.09, Kedah 1.08, Johor 1.05 dan Terengganu 1.04.

    Sementara itu, negeri yang mencatat Rt di bawah purata kebangsaan ialah Pahang 1.00, Melaka 0.99, Selangor 0.95, Kuala Lumpur 0.87, Negeri Sembilan 0.82, Putrajaya 0.80.

    Dalam tempoh dua bulan, jumlah Rt tertinggi yang pernah direkodkan negara ialah 1.16 pada 28 Julai lalu.

    Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, Rt boleh melonjak melebihi 1.2 dengan kes mencecah 22,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

    Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan pada 0.81 pada 3 Mac lalu.

    Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu jumlah ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

    Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.