Tag: Cina

  • Tular video anak muda Melayu, Cina, India, main alat muzik tarian singa

    Tular video anak muda Melayu, Cina, India, main alat muzik tarian singa

    TULAR satu klip video memaparkan aksi sekumpulan anak muda terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berbangsa Melayu, Cina dan India bermain alatan muzik tarian singa dengan begitu cekap.

    Ia sebahagian daripada latihan pra sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 22 Januari ini dikongsi Liondance Freak dalam laman Facebook mereka.

    Sejak dimuat naik dua hari lalu, ia telah ditonton lebih 450,000 kali dan mendapat lebih 7,700 tanda suka.

    Ia juga telah dikongsi lebih 4,600 kali oleh pengguna Facebook, lapor Utusan TV.

    Menariknya, kanak-kanak terbabit dilihat tidak kekok dan sangat profesional ketika memainkan alatan muzik tersebut.

    Kelincahan kanak-kanak terbabit mendapat perhatian warganet dan rata-ratanya kagum akan kemampuan mereka.

    “Menarik! Pelbagai kaum. Yang Islam bertudung juga diberi peluang,” tulis Ra’ayah Sulaiman.

    “Harmony satu Malaysia.pround to be Malaysian.多元一体,” ujar Vince Ong.

    “Yang tengok xrasa bangga ker…generasi kita akan datang bersatu hati…sehati sejiwa…ahhh hakak bangga weiii…,” komen Norhasni.

  • Thailand batalkan prasyarat COVID-19 untuk pelancong asing

    Thailand batalkan prasyarat COVID-19 untuk pelancong asing

    THAILAND membatalkan prasyarat COVID-19 yang mewajibkan pelancong asing mempamerkan bukti vaksinasi COVID-19 berkuat kuasa serta merta.

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata pelancong yang tidak menerima vaksinasi dan tidak lengkap dua dos vaksin juga akan dibenarkan masuk ke negara itu.

    “Pengembara antarabangsa yang tiba di Thailand tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi.

    “Memandangkan ramai pelancong telah menerima vaksin, keperluan untuk mempamerkan bukti vaksinasi akan menyusahkan. Oleh itu, panel kesihatan bersetuju bahawa bukti vaksinasi tidak lagi perlu,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

    Beliau berkata bahawa pelancong antarabangsa tidak perlu menjalani ujian pra-berlepas COVID-19.

    Pada Sabtu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) mengumumkan mulai Isnin, semua pengembara antarabangsa perlu membuktikan bahawa mereka telah lengkap divaksinasi atau mengemukakan surat yang mengesahkan mereka telah pulih daripada COVID dalam tempoh enam bulan manakala pengembara yang tidak divaksin mesti mengemukakan sijil perubatan.

    Anutin menghadiri majlis mengalu-alukan penerbangan pertama pelancong China sejak wabak COVID-19 melanda di lapangan terbang Suvarnabhumi hari ini.

    Turut hadir Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob dan Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn.

    Thailand dijangka mengalu-alukan 3,465 penumpang China yang tiba dari China dan Hong Kong, kumpulan pertama pelancong China sejak wabak itu melanda dunia.

    Mulai Ahad, China melonggarkan pelbagai sekatan COVID yang ketat termasuk langkah kuarantin.

    Sementara itu, Anutin berkata Thailand menyemak semula unjuran ketibaan pelancong 2023.

    “Thailand menjangkakan tujuh hingga 10 juta pengunjung China ke negara itu tahun ini berbanding lima juta sebelum ini.

    “Ini adalah petanda baik untuk sektor pelancongan Thailand. Ia akan membantu ke arah usaha pemulihan ekonomi Thailand,” katanya.

    Thailand mengunjurkan ketibaan sekurang-kurangnya 25 juta pelancong dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 2.38 trilion baht (RM$284 bilion) tahun ini – termasuk lima juta pelancong China – pasaran pelancongan keluar terbesar dunia pada 2019.

    Bagi 2022, Thailand mengalu-alukan lebih 11.5 juta pelancong.

    Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) memaklumkan negara itu menawarkan tempoh penginapan yang lebih lama untuk pelancong.

    Dalam satu kenyataan, pihaknya memaklumkan tempoh penginapan dilanjutkan kepada 45 hari (dari 30 hari) bagi pelancong dari negara atau wilayah yang layak mendapat pengecualian visa, dan kepada 30 hari (dari 15 hari) bagi mereka yang mendapat Visa Sewaktu Ketibaan (VOA) berkuat kuasa sehingga 31 Mac tahun ini.

    “Thailand menyasarkan untuk mematuhi peraturan dari negara-negara ini dan memerlukan insurans COVID-19 untuk pelawat dari negara-negara tertentu, sekiranya mereka disahkan positif semasa berada di Thailand. Antara negara terbabit ialah China dan India,” katanya.

    Pada masa ini, beliau berkata terdapat 15 penerbangan seminggu dari China berbanding 400 penerbangan sebelum wabak melanda.

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand berkata 338 penerbangan dari China dijangka mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi, termasuk 98 pada Januari, 144 pada Februari dan 96 pada Mac.

    Selain itu, kekerapan penerbangan di wilayah lain termasuk Phuket dan Chiang Mai akan meningkat secara beransur-ansur dari Januari hingga Mac tahun ini. – BERNAMA

  • Sambutan meriah program Najib, namun pengundi Cina belum sedia tinggalkan DAP

    Sambutan meriah program Najib, namun pengundi Cina belum sedia tinggalkan DAP

    RAMAI yang nampaknya masih teruja dengan sambutan yang diberikan masyarakat Cina kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika bekas Perdana Menteri itu turun padang ke beberapa kawasan di Pulau Pinang lebih seminggu lalu.

    Tidak dinafikan jika diukur dari segi jumlah kehadiran orang ramai, Mohd Najib boleh dikatakan mendapat perhatian apabila ramai penduduk Cina memenuhi setiap majlis yang diadakan.

    Lebih mengujakan pemerhati politik juga apabila sambutan meriah itu diterima Mohd Najib daripada masyarakat Cina di Pulau Pinang yang diketahui kubu kuat penyokong DAP.

    Namun untuk membuat andaian masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang sudah beralih sokongan kepada BN masih terlalu awal atau boleh diibaratkan seperti jauh panggang daripada api.

    Kesimpulan mudah yang mungkin boleh dibuat daripada sambutan hangat mereka terhadap kunjungan Mohd Najib baru-baru ini adalah mereka seperti rakyat Malaysia lain tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan bergambar dengan bekas Perdana Menteri berkenaan.

    Sesiapa pun tidak boleh menafikan Mohd Najib kini adalah ‘persona politik’ yang popular di media sosial dan kunjungan beliau di mana-mana acara sentiasa berjaya menarik kehadiran orang ramai, begitulah juga yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

    Hakikatnya sokongan pengundi Cina lebih-lebih lagi di Pulau Pinang terlalu kuat dan sedikit pun tidak goyah terhadap DAP.

    Dalam apa jua situasi sekali pun, pengundi Cina dilihat akan memastikan Pulau Pinang tidak akan sesekali dirampas oleh mana-mana parti politik selain sekutu DAP.

    Sokongan itu semakin kuat di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika ini yang dilihat lebih mengutamakan pembangunan negeri berbanding bermain politik seperti yang sering dinilai ketika era Lim Guan Eng sebelum ini.

    Kecekapan pentadbiran Kon Yeow dalam menangani krisis ketika pandemik Covid-19 turut meningkatkan keyakinan penduduk sekali gus memanjangkan lagi hayat DAP di Pulau Pinang.

    Sebab itu parti pembangkang di Pulau Pinang khususnya BN tidak boleh terlalu teruja dengan sambutan yang diterima Mohd Najib daripada masyarakat Cina baru-baru ini.

    Ia mungkin boleh menjadi pemangkin atau tonik dalam menarik pengundi Cina atas pagar, tetapi untuk menjangkakan tsunami politik kepada BN seperti yang terjadi dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) sebelum ini masih terlalu jauh dalam konteks politik di Pulau Pinang.

  • PRN Sarawak: Pengundi Cina beralih sokong kerajaan

    PRN Sarawak: Pengundi Cina beralih sokong kerajaan

    KEMENANGAN Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membolot 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 semalam mengujakan banyak pihak kerana menyaksikan peralihan sokongan pengundi Cina kepada kerajaan.

    GPS begitu mantap dalam menawan 12 daripada 16 kerusi yang majoriti pengundinya kaum Cina sekali gus mempamerkan prestasi terbaik gabungan politik itu dalam tempoh 15 tahun.

    Keputusan itu mengejutkan pembangkang DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang masing-masing hanya mampu menang di dua kerusi.

    GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

    SUPP, yang dipimpin presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, meraih 11 kerusi dengan penambahan lima DUN baharu yang dirampas kembali daripada DAP sambil mempertahan enam kerusi yang dimenangi pada 2016.

    Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing pula memenangi kerusi Dudong untuk GPS dalam penampilan pertama beliau di kawasan yang majoriti pengundinya kaum Cina.

    Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah memberi pandangan mengenai sama ada peralihan sokongan pengundi Cina kepada kerajaan akan berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang disebut-sebut bakal diadakan.

    “Sama ada ini hanyalah satu permulaan masih belum dapat dipastikan namun hakikatnya pengundi Cina memang sudah berubah angin menyokong kerajaan dan ini menandakan mereka sanggup memberi mandat dan peluang kepada GPS khususnya SUPP untuk membuktikan bahawa mereka boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

    “Adakah momentum ini akan berterusan? Ini bergantung kepada prestasi mereka yang menang untuk meyakinkan para pengundi bahawa mereka telah membuat pilihan yang tepat.”

    Masyarakat Cina juga akan melihat sama ada Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan melantik semula seorang Timbalan Ketua Menteri dari kaum itu dalam Kabinet baharunya. Presiden SUPP terakhir yang memegang jawatan itu ialah Tan Sri George Chan yang tewas mengejut di Piasau kepada calon muka baharu daripada DAP pada 2011.

    Memandangkan pandemik COVID-19 telah berlanjutan sehingga dua tahun setakat ini, tumpuan utama komuniti Cina ialah mencari rezeki dan memastikan kesinambungan perniagaan mereka di bawah ekonomi dan kerajaan yang stabil.

    Lee berkata meskipun ada yang mungkin menganggap isu harian sedemikian remeh berbanding perbincangan tentang reformasi, beliau percaya parti politik harus kembali kepada asas untuk menyelami kesusahan dan keperluan rakyat.

    Walaupun ditolak pada pilihan raya negeri kali ini, pembangkang tidak akan lenyap semudah itu namun mereka harus mencari identiti baharu untuk menarik semula perhatian pengundi.

    “Misalnya PKR Sarawak memerlukan kepimpinan baharu yang lebih kuat. PSB pula adalah sebuah parti baharu dan masih memerlukan masa untuk memantapkan imej parti termasuk calonnya manakala DAP perlu menjenamakan semula parti itu dengan kepimpinan selain Chong Chieng Jen dan Violet Yong,” kata Lee, merujuk kepada Chong, Pengerusi DAP Sarawak yang menang di Padungan serta Yong, yang mempertahan Pending untuk penggal keempat dengan susutan majoriti ketara berbanding 2016.

    Menariknya, Chong ialah Ahli Parlimen Stampin di mana ketiga-tiga DUN di kawasan itu iaitu Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawah kini dikuasai SUPP. Batu Kawah adalah kerusi yang dipertahan oleh Presiden SUPP bagi penggal kedua.Peratusan keluar mengundi tertinggi dan terendah di kawasan majoriti Cina adalah di Bawang Assan, Sibu dan Batu Lintang, Kuching yang kedua-duanya dipertahan oleh PSB.

    Bawang Assan ditawan semula oleh presiden parti itu Datuk Seri Wong Soon Koh, yang menyaksikan 70 peratus keluar mengundi manakala Batu Lintang mencatat kehadiran hanya 42 peratus yang memberikan majoriti tipis 93 undi kepada See Chee How untuk penggal ketiga.

    Selepas semalam, SUPP menguasai Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan, Tanjung Batu, Piasau, Pujut dan Senadin, PDP menawan Dudong, PSB memegang Bawang Assan dan Batu Lintang manakala DAP mempertahan Padungan dan Pending. – BERNAMA