Tag: Cikgu Fadli

  • Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

    Didapati tak bersalah, Cikgu Fadli ucap syukur, terima kasih

    “SAYA bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada saya tidak kira bangsa dan agama kerana mereka faham dan tahu saya dizalimi,” kata guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam reaksinya selepas didapati tidak bersalah oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan terhadap tiga pertuduhan ke atasnya.

    Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli menjelaskan, maksud dizalimi itu ialah tidak sepatutnya tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dikenakan ke atasnya, walaupun mungkin ada salah silap daripada pihaknya sendiri.

    Beliau yang kini tular berikutan lantang membicarakan kepincangan sistem pendidikan di negara ini bagaimanapun berkata, perjuangannya untuk merubah silibus pembelajaran yang dakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai akan diteruskan.

    “Itu adalah perjuangan asal saya dan saya mahukan perubahan dalam pendidikan. ‘Kerosakan’ itu perlu dibaiki tetapi bukan semuanya ‘rosak’, kerana masih ada yang baik lagi.

    “Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor yang mewakili saya dalam kes ini,” kata guru sekolah rendah di Gombak, Selangor itu lapor Harian Metro.

    Sementara itu, satu surat daripada Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendedahkan yang mana ia memutuskan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Mohd Fadli didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

    Surat berkenaan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

    Cikgu Fadli, guru sekolah rendah di Gombak, Selangor tiga hari lalu berkongsi surat tindakan diterimanya di Facebook, susulan kelantangan beliau membantah silibus subjek Matematik bagi murid sekolah rendah, yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan keupayaan pelajar.

    Beliau juga sebelum ini kerap menyuarakan kebimbangan mengenai berat beg sekolah yang terpaksa ditanggung murid, akibat kepadatan jadual pembelajaran.

  • Lembaga Tatatertib KPM bersidang esok bincang isu Cikgu Fadli

    Lembaga Tatatertib KPM bersidang esok bincang isu Cikgu Fadli

    LEMBAGA Tatatertib Kementerian Pendidikan (KPM) akan bersidang esok untuk membincangkan isu berkaitan seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang mendakwa dirinya berdepan tindakan turun pangkat dan buang kerja.

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali

    Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dalam satu sidang video di akaun Facebook KPM menjelaskan, surat yang dihantar kepada Mohd Fadli bukanlah bermaksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.

    Namun katanya, surat itu bertujuan memberitahu guru berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh Lembaga Tatatertib selain ia juga keperluan untuk Mohd Fadli mengemukakan representasi atau pun penjelasan bertulis.

    “KPM mengambil maklum perkara yang dibangkitkan di media sosial berkaitan Cikgu Fadli.

    “Sehubungan itu, pihak Lembaga Tatatertib telah pun menerima surat representasi daripada Cikgu Fadli pada 14 Oktober lalu,” katanya hari ini.

    Pkharuddin pada masa sama menjelaskan, prosiding tatatertib itu dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    “Ia diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuk diri saya sendiri.

    “Saya harap dengan penjelasan ini dapatlah memberi kefahaman kepada semua pihak. Insya-Allah. Terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama,” jelas beliau.

    Sebelum itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md Jidin akan mengadakan pertemuan dengan Mohd Fadli yang mendakwa dirinya berdepan tindakan turun pangkat dan buang kerja.

    Hal itu kerana Mohd Fadli lantang bersuara mengenai beberapa kelemahan sistem pendidikan negara.

    Mohd Radzi berkata, beliau ingin mengetahui dengan lebih lanjut berhubung perkara yang dibangkitkan Mohd Fadli sehingga berdepan tindakan tatatertib.

    “Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Mohd Fadli menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan yang beliau berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat oleh pihak atasan.

    Menurut Mohd Fadli, hal itu berikutan beliau lantang menyuarakan masalah silibus aras tinggi bagi subjek matematik, jumlah murid yang ramai dalam satu kelas dan isu beg berat murid.