Tag: Chow Kon Yeow

  • Kakitangan awam P. Pinang dapat bonus Aidilfitri 0.75 gaji bulanan, minimum RM1,500

    Kakitangan awam P. Pinang dapat bonus Aidilfitri 0.75 gaji bulanan, minimum RM1,500

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang memberi bonus Aidilfitri kepada kakitangan awam negeri itu sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 sempena sambutan hari raya Aidilfitri akan datang.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang akan dibuat pada 17 April itu turut dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

    ”BKK yang dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada kerajaan negeri tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing juga disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA); guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR); guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR); kakitangan SRAR; SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK); guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (Tadis).

    ”BKK berjumlah RM300 ini juga akan disalurkan kepada guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang,” katanya.

    Tambah beliau, selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK itu juga untuk menghargai sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kakitangan awam negeri dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

  • Enam pemimpin negeri bincang tarikh PRN minggu depan

    Enam pemimpin negeri bincang tarikh PRN minggu depan

    PEMIMPIN kerajaan negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu dijangka mengadakan pertemuan minggu depan untuk berbincang mengenai tarikh sesuai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat bersama itu digerakkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Perbincangan mungkin berkisar kepada kata sepakat mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurutnya tempoh untuk mengadakan PRN kini semakin hampir.

    “Waktunya (pembubaran) semakin hampir, walaupun tanpa perjumpaan itu, PRN negeri berkenaan akan tetap diadakan pada bulan Jun atau Julai nanti,” tambahnya. – BERNAMA

  • Pinjam vaksin masih tertakluk kepada MOSTI

    Pinjam vaksin masih tertakluk kepada MOSTI

    Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT

    USAHA Kerajaan Negari Pulau Pinang untuk meminjam bekalan 200,000 dos vaksin Covid-19 masih tertakluk kepada kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

    Sehubungan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengutus surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI berhubung kelulusan proses pinjaman itu.

    Dalam masa sama ujarnya, beliau juga akan mengadakan perbincangan secara ‘online’ bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari petang ini berhubung perkara tersebut.

    “Perbincangan itu diharap bakal membuahkan hasil demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permintaan bagi meminjamkan kira-kira 200,000 dos vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang.

    Jelas beliau, permintaan itu bagi menyelesaikan pemberian vaksin dos pertama kepada baki 225,226 penduduk negeri ini pada minggu terakhir bulan ini.

    Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan 20,000 dos vaksin Covid-19 kepada negeri itu.

    Ujarnya, sumbangan itu diharapkan dapat membantu merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri itu.

    “Kerajaan negeri  juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng atas inisiatif mendapatkan sumbangan berkaitan daripada Menteri Besar Selangor,” katanya.