Tag: ceramah diganggu

  • Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

    Ceramah MUDA diganggu: Jamal sifatkan Syed Saddiq berdrama

    KETUA Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai berdrama susulan insiden ceramahnya diganggu oleh ‘mat motor’.

    Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sebaliknya memuji Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif apabila tampil membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan saman selepas dituduh sebagai dalang kejadian gangguan itu oleh Syed Saddiq.

    “Steady Ketua Pemuda UMNO Muar buat laporan polis dan saman tuduhan tidak berasas Syed Saddiq dan MUDA yang emosi kelmarin.

    “MUDA dan Syed Saddiq mana mungkin nak lapor polis, dia sendiri rancang, siap ada video maafkan ‘mat motor sebagai ‘ending’ (pengakhiran) drama,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.

    Media sebelum itu melaporkan ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA kelmarin diganggu sekumpulan ‘mat motor’.

    Gangguan tercetus ketika giliran Syed Saddiq menyampaikan ucapannya sebelum ceramah diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.

    Berikutan itu, Pemuda UMNO Bahagian Muar semalam dilaporkan membuat laporan polis selain mahu mengambil tindakan saman terhadap dakwaan Syed Saddiq bahawa mereka terbabit mengganggu ceramah dihadiri penyandang Ahli Parlimen Muar berkenaan.

    MUDA Johor dalam laporan Berita Harian pula menafikan dakwaan gangguan sekumpulan ‘mat motor’ yang memprovokasi ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di Muar kelmarin, sebagai gimik politik parti itu.

    Pengerusi MUDA Johor, Azrol Rahani, dilaporkan berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan berniat jahat.

    Sehubungan itu, katanya, laporan polis sudah dibuat MUDA Bahagian Muar semalam berikutan provokasi itu, selain bagi menafikan pembabitan MUDA yang didakwa membuat gimik politik.

    Syed Saddiq turut dilaporkan memaafkan kumpulan anak muda yang cuba menimbulkan provokasi ketika beliau ingin berceramah Ahad lalu.

    Dalam hantaran video di akaun Facebooknya, Syed Saddiq menyatakan bahawa kumpulan itu bukanlah musuhnya.

  • Ceramah Syed Saddiq diganggu mat motor, polis belum terima laporan

    Ceramah Syed Saddiq diganggu mat motor, polis belum terima laporan

    POLIS mengesahkan tiada laporan polis diterima susulan kekecohan yang berlaku ketika Ceramah Mega Muar anjuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), di Parit Jawa, dekat Muar, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata sehingga pagi ini masih belum ada pihak yang membuat laporan sama ada penganjur iaitu parti MUDA atau Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    “Terdapat sedikit kekecohan berlaku, namun anggota polis dapat meleraikannya dan ceramah dapat disambung tanpa berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Terdahulu, ceramah mega yang dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA malam tadi didakwa diganggu sekumpulan ‘mat motor’.diganggu sekumpulan ‘mat motor’.

    Gangguan tercetus ketika giliran Presiden MUDA yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapannya.

    Ceramah berkenaan diteruskan selepas berjaya dikawal oleh anggota polis dan sukarelawan yang bertugas dalam program berkenaan dan tiada insiden tidak diingini berlaku.

    “Saya tak ada masa nak lawan dengan mereka kerana saya di sini nak bela orang Muar dan bukannya nak biar mereka (rakyat Muar) susah dan sengsara. Tak apa biarkan,” katanya.

    Beliau sempat menitipkan nasihat buat ‘geng mat motor’ yang mengganggu ceramahnya supaya jangan mudah gadaikan maruah sehingga sanggup bergelar pencacai.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan mereka seharusnya berperanan mengangkat martabat orang dan negara tersayang, bukannya melakukan provokasi murahan.

    “Kepada anak-anak muda di luar sana, jangan jadi pencacai. Ini negara kita, bela masa depan ayah, pak cik, mak cik kamu. Sampai bila kita nak dibeli? Sampai bila kita nak jual maruah kita? Ini negara kita. Ini Muar!,” katanya.