Tag: ceramah

  • Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor – JAIS

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

    Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini pada Ahad ini.

    Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

    “Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

    “Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

    “Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.

    “Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” katanya. – BERNAMA

  • Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

    Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

    Anwar, 75, selaku plaintif, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S. N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 Nov lalu, Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

    Anwar berkata ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 Nov lalu, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

    Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

    Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov lalu.

    Anwar berkata akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan.

    Anwar berkata pada 16 Nov lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Dis lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan tersebut.

    Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama, berkata saman itu difailkan pada jam 4.30 petang tadi. – BERNAMA

  • Sanusi nafi bangkit sentimen kaum, agama ketika ceramah

    Sanusi nafi bangkit sentimen kaum, agama ketika ceramah

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan beliau menggunakan retorik perkauman ketika berkempen untuk calon PN bagi pilihan raya Parlimen Padang Serai.

    Sanusi turut mencabar ADUN Kedah Asmirul Anuar Aris dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar membuktikan ucapannya yang dianggap “berbahaya”.

    “Apa yang bahaya? Mengapa (mereka) rasa terancam? Ayat mana yang dikatakan mengapi-apikan sentimen bangsa dan agama?” soalnya.

    Beliau berkata, ucapannya mungkin hanya “berbahaya” untuk PH, bukan seluruh negara.

    “Mereka tak ada modal nak kempen, lagi-lagi bila PH berpakat dgn BN yang mereka kata kaki rasuah dulu,” katanya kepada FMT.

    Beliau menjawab dakwaan Asmirul Anuar dan Mahfuz yang menuduh PN membuat kenyataan berbaur perkauman yang berbahaya untuk masa depan negara serta keperluan meletakkan tanda amaran terhadap kandungan sensitif di media sosial kerana ia sangat memecahbelahkan dan hanya mendorong agenda “kita lawan mereka”.

    Mengulas lanjut, Sanusi berkata, beliau menyebut dalam ceramahnya bahawa “tsunami Melayu” telah berlaku pada PRU15 kerana pengundi Melayu memilih untuk menyokong PN, bukannya PH atau BN.

    “Boleh semak angka dan statistik,” katanya.

    Pada pilihan raya Parlimen Padang Serai, hanya calon PH Sofee Razak; calon PN Azman Nasruddin; dan calon bebas Ananda AK akan bertanding, sementara Barisan Nasional (BN) dan Warisan berkata mereka akan menyokong calon PH.

    Pengundian akan berlangsung pada 7 Dis untuk memilih Ahli Parlimen baharu selepas M Karupaiya daripada PH meninggal dunia tiga hari sebelum pengundian PRU bulan lepas.

  • ‘Superman Hew’ ditahan atas ucapan ceramah berbaur perkauman

    ‘Superman Hew’ ditahan atas ucapan ceramah berbaur perkauman

    BEKAS orang kuat DAP, Hew Kuan Yau ditahan polis susulan video tular ucapannya dalam sebuah ceramah Pakatan Harapan (PH) di Raub, Pahang pada Khamis lalu bahawa masyarakat Cina perlu mengambil kesempatan daripada perpecahan orang Melayu.

    Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan Hew, yang lebih dikenali sebagai “Superman Hew” ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang dibantu JSJ Bukit Aman di Puchong Jaya, Selangor hari ini.

    Katanya, Hew disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam.

    “Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Selepas video minggu lalu itu tular, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, kenyataan Hew itu bukan pendirian PH. Hew meninggalkan DAP pada 2016.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, Hew turut disiasat di bawah seksyen sama atas ucapannya dalam sebuah ceramah di Taman Pandan Mawar, Melaka pada Jumaat lalu.

    Katanya, Hew ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan perintah reman akan dipohon terhadapnya.

    “Permohonan reman Seksyen 117 KPJ akan dipohon dan penama aakn ditahan di IPD Dang Wangi bagi pihak polis mendapatkan keterangan-keteranga lanjut,” tambahnya.

  • Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    Hina institusi Diraja Pahang: NGO buat laporan terhadap Tengku Zulpuri

    SEBELAS badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Timbalan Setiausaha Agung DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang didakwa menghina institusi Diraja Pahang semasa berceramah baru-baru ini.

    Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Kuantan di sini hari ini. Antara NGO itu ialah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang.

    Bendaharinya Datuk Setia Penggawa Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggung Aziz menyifatkan tindakan ahli politik itu sebagai melampau batas. 

    “Saya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi memberi pengajaran bahawa ada had dan batasan dalam berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

    Abdul Manan berkata pihaknya juga kesal dengan tindakan Tengku Zulpuri Shah yang didakwa turut menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dalam ceramah itu, seperti yang ditontonnya menerusi klip video berdurasi 1.53 minit yang diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp. – BERNAMA

  • Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    POLIS Johor telah menerima lima laporan polis setakat hari ini berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran parti MUDA di Parit Jawa, Muar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Kita akan maklum nanti (perkembangan). Buat masa ini, polis akan jalankan siasatan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Bernama, hari ini. 

    Terdahulu, ceramah yang membariskan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA itu diganggu oleh sekumpulan anak muda menaiki motosikal yang didakwa cuba menimbulkan provokasi.

    Difahamkan beberapa parti politik telah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut. – BERNAMA

  • Johor benarkan penceramah, pendakwah tepati kriteria

    Johor benarkan penceramah, pendakwah tepati kriteria

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENCERAMAH atau pendakwah yang menepati kriteria ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terutama berpegang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) akan terus diberi tauliah untuk berdakwah di Johor.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana penceramah atau pendakwah tersebut selagi mereka menepati kriteria itu.

    “Selagi tepati kriteria yang ditetapkan oleh MAINJ, tidak ada masalah mereka dibenarkan untuk diberi tauliah di Johor. Kita ada lembaga dan Jawatankuasa Tauliah Pengajar dan Memberi Syarahan Agama Negeri Johor yang meneliti hal ini.

    “Jawatankuasa ini perlu diberi keyakinan penuh dalam memberi ketentuan tauliah ini. Mereka tidak pernah bersifat berat sebelah.

    “Jika kriteria ini ditepati, kita akan benarkan tanpa mengira sesiapa pun mereka (untuk berceramah dan berdakwah di Johor),” katanya ketika ditemui pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di sini, hari ini.

    Kerajaan Johor pada 2016 pernah mengeluarkan pekeliling dan arahan melarang 16 orang penceramah bebas daripada mengajar kelas agama di negeri itu.

    Setahun kemudian, Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan penceramah terkenal Ustaz Haslin Baharim atau dikenali Ustaz Haslin Bollywood diharamkan daripada menyampaikan ceramah di Johor ekoran pandangan mereka yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

    Baru-baru ini, tular satu dokumen bertarikh 17 Mac 2022 di media sosial yang dikatakan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkaitan kemaskini senarai nama penceramah yang ditarik semula tauliah untuk mengajar.

    Antaranya ialah bekas calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abd. Rani, penceramah Nazmi Abdul Karim dan Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat.

    Sementara itu, Mohd. Fared berkata, MAINJ juga sentiasa mengemaskini senarai pentauliahan penceramah dan pendakwah yang dibenarkan memberi ceramah dan mengajar agar menepati kriteria ditetapkan.

    Kata beliau, tidak ada langsung kriteria politik diletakkan oleh MAINJ dalam menentukan tauliah dan kebenaran kepada penceramah kerana mana-mana pendakwah dibenarkan mengajar tanpa mengira parti politik tertentu.

    “Saya percaya pendakwah dan penceramah yang dibenarkan pun tidak sealiran dengan mana-mana parti politik tertentu. Saya percaya Johor tidak pernah mengambil kira itu sebagai keutamaannya tetapi kelayakan perlu bertepatan dengan kehendak MAINJ,” katanya.

    Habis