Tag: Cemburu

  • Letupan Pandan Indah: Cemburu dipercayai motif suspek

    Letupan Pandan Indah: Cemburu dipercayai motif suspek

    PASANGAN suami isteri yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu sehingga menyebabkan seorang tukang masak maut, direman selama tujuh hari.

    Lapor Berita Harian, kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun ditahan di Serdang, Kedah, malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

    Mereka kemudian terus dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kedua-dua suspek terbabit direman bermula hari ini sehingga 10 Januari ini.

    Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu lelaki yang ditahan terhadap mangsa.

    Dalam kejadian pukul 8.50 malam, pada 29 Disember lalu, seorang tukang masak sebuah restoran di Pandan Indah, maut selepas membuka sebuah bungkusan yang diletakkan atas bonet keretanya.

    Bungkusan berkenaan kemudian meletup secara tiba-tiba sebelum mangsa mengalami kecederaan serius pada badan dan tangannya.

    Mangsa maut pada pukul 9.50 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

    Setakat ini, daripada siasatan polis di tempat kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

    Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Polis percaya suspek kejadian letupan itu menggunakan bom buatan sendiri.

    Rumusan itu dibuat susulan penemuan objek tertentu di lokasi kejadian yang mana polis percaya ia adalah kandungan untuk menghasilkan bom.

    Antara bahan yang ditemui adalah peranti powerbank, serpihan pisau pemotong kertas dan bateri.

    Polis turut tidak menolak kemungkinan ada lagi bahan-bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan letupan namun ia mungkin sudah hangus semasa kejadian.

    Polis juga mengesyaki kemahiran membuat bahan letupan dipelajari menerusi media sosial.

  • Cemburu, samun disyaki punca wanita warga asing dibunuh

    Cemburu, samun disyaki punca wanita warga asing dibunuh

    POLIS tidak menolak kemungkinan kes bunuh seorang wanita asing di sebuah bilik sewa di premis rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah, Kuching Ahad lalu berpunca daripada cemburu dan samun.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, didapati beberapa barangan milik mangsa hilang, menurut laporan aSTRO Awani.

    Namun, dalam kenyataan yang dibuat beliau, tiada kesan pecah masuk di lokasi kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak forensik.

    “Tindakan yang akan diambil termasuk mendapatkan makluman daripada saksi kejadian termasuk merakam percakapan anak mangsa.

    “Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian juga akan dibuat,” katanya.

    Sementara itu, anak mangsa akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh siasatan.

    “Kes ini telah dimaklumkan kepada pihak Konsulat Indonesia di Sarawak dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Ahad, seorang wanita warganegara Indonesia ditemui mati di rumah sewanya dengan beberapa kesan tikaman di badan.

    Mangsa dikenali sebagai Dea Noviyanti, 35, dipercayai berasal dari Kalimantan Barat dan kini tinggal bersama anaknya berusia lima tahun di rumah sewa tersebut.

    Lebih menyedihkan, menurut sumber, kematian wanita itu dipercayai disaksikan sendiri oleh anaknya.

    Sumber itu turut berkata kejadian disedari oleh kenalan mangsa yang juga seorang pengusaha kedai kopi di premis berhampiran.

    Mangsa dipercayai maut akibat kecederaan luka besar yang dialami di bahagian leher, disyaki dikelar dengan senjata tajam.