Tag: cek

  • Najib sendiri serah cek RM1 juta kepada Shahrir – Pegawai SPRM

    Najib sendiri serah cek RM1 juta kepada Shahrir – Pegawai SPRM

    SEORANG pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa hasil siasatannya mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan sendiri cek bernilai RM1 juta kepada Tan Sri Shahrir Ab Samad pada 2013.

    Penolong Penguasa SPRM Nurzahidah Yacop, 35, berkata bekas perdana menteri itu juga yang menulis dan menandatangani cek AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum menyerahkan kepada Shahrir di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 27 Nov 2013.

    Nurzahidah berkata sehari kemudian, terdapat transaksi wang masuk sebanyak RM1 juta ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Shahrir dan ada beberapa transaksi pengeluaran berjumlah RM997,285 selepas itu antara 2 Dis 2013 hingga 31 Mac 2014.

    “Daripada keseluruhan transaksi pengeluaran itu, sebanyak RM543,800 digunakan bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru manakala RM10,000 untuk UMNO Cawangan Taman Kebuh Teh.

    “Selain itu, sebanyak RM443,485 dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi beliau (Shahrir) antaranya RM200,000 dimasukkan ke akaun simpanan tetap Public Bank milik isterinya Shahrizan Abdullah dan anaknya Marisa Diyana, sebanyak RM115,000 dimasukkan ke akaun simpanan tetap Maybank Tan Sri Shahrir dan RM118,485 ke akaun Sutera Auto Sdn Bhd (syarikat kereta),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Pada 8 Ogos lepas, saksi pendakwaan ketujuh, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

    Nurzahidah yang bekerja di Cawangan Sasaran Operasi (OTC) Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berkata hasil siasatan juga mendapati Shahrir tidak pernah membuat pengisytiharan berkenaan penerimaan dana tersebut, walaupun ia dikira sebagai pendapatan beliau (Shahrir).

    Katanya, ini disahkan melalui maklumat percukaian milik Shahrir bagi 2013 hingga 2018 yang tiada sebarang pengisytiharan pendapatan melebihi RM1 juta dalam Borang BE yang menyatakan bekas Pengerusi Felda itu mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191).

    Mengenai taklimat operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Fasa 2, Nurzahidah berkata beliau menghadiri taklimat itu yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Ibu Pejabat SPRM pada 23 Sept 2019 dan beliau (Nurzahidah) menerima arahan untuk menjadi pegawai penyiasat kes.

    “Pada keesokannya (24 Sept) saya menerima kertas siasatan daripada pegawai rekod cawangan sasaran operasi mengenai kes tersebut.

    “Berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh serta dokumen yang dirampas dalam tempoh siasatan, saya telah mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM dengan cadangan menuduh Shahrir kerana tidak mengisytiharkan dana yang diterima sebanyak RM1 juta,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata Shahrir ditangkap pada 20 Jan 2020 dan didakwa dengan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, pada 21 Jan 2020.

    Shahrir, 72, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – BERNAMA

  • Shahrir Samad tidak tahu sumber wang RM1 juta diterima daripada Najib

    Shahrir Samad tidak tahu sumber wang RM1 juta diterima daripada Najib

    SEORANG pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad, tidak mengetahui daripada mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh wang RM1 juta, yang diberikan kepada bekas pengerusi Felda itu.

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata beliau yang berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang tersebut.

    Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Shahrir Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pada perbicaraan Shahrir yang berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Dzulkifli: Sebagai pegawai bank yang berpengalaman, jika cek bank tersebut (RM1 juta) ditunaikan bermakna tiada apa-apa isu berkenaan sumber wang tersebut.

    Uma Devi: Ya, pada ketika itu tiada (isu).

    Dzulkifli: Cik Uma boleh mengesahkan cek ini tiada masalah, apatah lagi Tan Sri Shahrir juga boleh beranggapan bahawa cek tersebut tiada masalah ketika menerima dan memasukkan (wang) ke dalam akaunnya.

    Uma Devi: Ya.

    Selain itu, Uma Devi bersetuju dengan Dzulkifli bahawa pihak LHDN tidak merakam percakapannya, memandangkan kes itu berkaitan dengan pengubahan wang haram yang mana Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN, bukan melibatkan rasuah.

    Kata saksi itu, hanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang merakam percakapannya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967,  iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.-  BERNAMA