Tag: CanSino

  • Pesakit kategori 3 Covid ada rekod komobid dimasukkan ke hospital, PKRC

    Pesakit kategori 3 Covid ada rekod komobid dimasukkan ke hospital, PKRC

    PESAKIT COVID-19 kategori tiga yang mempunyai rekod komobid akan dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC)  bagi mendapat rawatan serta pemantauan daripada doktor dan petugas kesihatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata bagi kes tertentu seperti melibatkan wanita hamil, warga emas dan keadaan rumah pesakit COVID-19 yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin, golongan tersebut turut diberi keutamaan mendapatkan rawatan di hospital.

    “Bagaimanapun, bagi pesakit COVID-19 dalam kategori sama tiada komobiditi, KKM (Kementerian Kesihatan) masih menyarankan mereka menjalani kuarantin di rumah.

    “Saya mahu ingatkan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah perlu sentiasa menggunakan ‘home assessment tool’ dalam MySejahtera dalam usaha menurunkan kadar kematian di luar hospital (BID),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tampin, di sini hari ini.

    Beliau berkata sekiranya keadaan kesihatan merosot dan sukar bernafas, sakit dada atau ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, pesakit perlu segera menelefon ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital atau PKRC.

    Media sebelum ini melaporkan KKM disaran terus memasukkan pesakit COVID-19 kategori tiga ke hospital yang dilengkapi kemudahan ICU dan peralatan penting berbandig membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

    Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau memuji usaha proaktif semua pihak serta petugas kesihatan di Negeri Sembilan yang berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini dengan penurunan kes jangkitan COVID-19 serta proses vaksinasi yang berjalan lancar.

    “Penggunaan unit rawatan rapi (ICU), alat pernafasan dan katil hospital COVID-19 berada di bawah paras 70 peratus di negeri ini. Dalam tempoh sebulan lepas, pesakit yang telah dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 telah menurun daripada 899 kepada 319 individu sahaja.

    “Ia merupakan penurunan sebanyak 65 peratus dalam tempoh masa sebulan di samping kes jangkitan harian turut berkurang sekali gus menunjukkan kejayaan awal program imunisasi di Negeri Sembilan,” katanya.

    Sementara itu, Khairy berkata negeri ini akan menerima 12,000 dos vaksin CanSino secara berperingkat iaitu 2,000 pada 13 Sept dan selebihnya pada 27 Sept untuk penerima di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

    Susulan kejayaan negeri itu menurunkan kes jangkitan COVID-19, beliau optimis perubahan yang sama akan berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh masa terdekat memandangkan proses vaksinasi di negeri tersebut tinggi namun dibezakan dengan kepadatan penduduk.

    Khairy berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuka lebih banyak sektor lain tanpa melaksanakan penilaian risiko yang ketat bagi memastikan pembukaan negara ini dijalankan dengan satu pendekatan lebih berhati-hati dan selamat kepada penduduk.- BERNAMA

  • Malaysia terima 200,000 dos vaksin CanSino rancakkan PICK

    Malaysia terima 200,000 dos vaksin CanSino rancakkan PICK

    MALAYSIA hari ini menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 berdos tunggal jenis CanSino buatan China bagi merancakkan momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan pedalaman.

    Sebanyak 200,000 dos vaksin CanSino yang dibangunkan oleh CanSino Biologics Inc dari China itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 8.45 pagi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH361.

    Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan hari ini berkata 200,000 dos vaksin berbentuk produk akhir yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin CanSino yang telah ditempah oleh Malaysia dengan penghantarannya dibuat secara berperingkat.

    “Bekalan ini dapat memperhebat lagi PICK terutamanya di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang ditetapkan,” menurut CITF.

    Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga. Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan KSU Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah hadir di KLIA untuk menyambut ketibaan vaksin itu.

    Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO),  anak syarikat Solution Group Bhd (SGB), pada 30 Julai menandatangani perjanjian produk akhir serta perjanjian produk pukal dengan CanSino Biologics Inc untuk pembekalan vaksin ‘Recombinant Ad5-nCoV’ bagi penggunaan vaksin CanSino di Malaysia.

    Menerusi pemeteraian kedua-dua perjanjian itu, SOLBIO boleh memenuhi obligasinya untuk membekalkan 3.5 juta dos vaksin COVID-19 kepada KKM dan menerima pesanan tambahan daripada KKM, kerajaan negeri, sektor swasta dan negara ASEAN lain.

    Vaksin CanSino telah mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 15 Jun lepas.

    Pada 17 Jun, Menteri Penyelaras PICK ketika itu Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata vaksin jenis CanSino akan ditawarkan kepada negeri-negeri yang mempunyai kawasan pedalaman yang sukar diakses seperti Pahang, Sabah dan Sarawak. 

    Vaksin satu dos akan memudahkan petugas kesihatan yang tidak perlu memasuki kawasan pedalaman untuk kali kedua bagi melengkapkan vaksinasi kepada penerima, kata Khairy.

    Setakat ini, Malaysia menggunakan vaksin dua dos jenis Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca. Vaksin dos tunggal CanSino adalah yang terbaharu akan digunakan dalam PICK.- BERNAMA