Tag: calon PRU15

  • Calon PRU15, sokong Anwar bukan keputusan saya seorang-Zahid

    Calon PRU15, sokong Anwar bukan keputusan saya seorang-Zahid

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan mengatakan beliau bertindak sendirian dalam pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penubuhan kerajaan perpaduan.

    “Proses pemilihan calon parti melibatkan rundingan di peringkat ‘top five’, Majlis Kerja Tertinggi dan perhubungan negeri melalui pengerusi-pengerusinya.

    “Memilih gabungan parti lain sebagai gabungan bagi membentuk kerajaan perpaduan juga adalah bersandarkan persefahaman awal di peringkat parti kita bahawa tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan.

    “Maka dengan sebab itu rundingan dengan pihak luar perlu diadakan,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Jelas Zahid, tidak adil menuding jari beliau membuat persefahaman awal dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan bersama selepas PRU15.

    Beliau menafikan wujudnya perjanjian sulit, sebagaimana yang pernah ditandatangani 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tanpa pengetahuan parti sebelum PRU15.

    Zahid turut menjelaskan daripada 119 calon UMNO pada PRU15, hanya enam sahaja yang bertukar di saat akhir atas beberapa pertimbangan.

    “Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan pengerusi perhubungan negeri bersama ‘top five’,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu dan memimpin kerajaan perpaduan dianggotai PH yang mempunyai 82 kerusi, diikuti BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (enam) serta parti lain dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga Ahli Parlimen.

  • Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    Muat naik video guna senjata api tanpa lesen, calon PRU-15 ditahan

    POLIS menahan seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik di media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, seorang lelaki berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 10.20 malam tadi.

    Beliau berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan 6.53 petang semalam, berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik klip melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.

    Katanya video itu dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.

    “Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ku Mashariman berkata kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA