Tag: Calon PN

  • Jadi calon PN: ‘Segalanya mungkin’, kata Salim

    Jadi calon PN: ‘Segalanya mungkin’, kata Salim

    BEKAS Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif, belum memutuskan sama ada menerima tawaran menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN di Negeri Sembilan.

    Beliau yang berdepan penggantungan daripada UMNO bagaimanapun berkata “segala kemungkinan boleh berlaku”, namun ketika ini sedang berada dalam tempoh bertenang susulan kematian isterinya pada Februari lalu.

    “Buat masa ini saya belum membuat keputusan tetapi segala kemungkinan boleh berlaku kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan,” katanya menurut Berita Harian.

    Sharif digantung UMNO kerana didakwa mensabotaj parti pada PRU15.

    Katanya, buat masa ini beliau ingin memberikan tumpuan kepada keluarga terlebih dahulu.

    “Setakat ini saya belum memberi kata putus kerana ingin bertenang selepas isteri meninggal dunia dan ketika ini ingin memberikan tumpuan kepada keluarga terlebih dahulu.

    “Saya belum terfikir untuk menyertai mana-mana parti dan bertanding pada PRN,” katanya.

    Semalam dilaporkan, Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, mengesahkan tawaran itu pernah dibuat kepada Salim dan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Mengulas lanjut, Salim berkata, walaupun tumpuan ketika ini hanya pada keluarga selepas terlalu sibuk dengan urusan politik sebelum ini, namun beliau akan melihat situasi semasa sebelum membuat keputusan.

    “Allah sudah tentukan perjalanan politik saya begini, saya terima dengan hati hati terbuka. Tapi orang lain tak tahu bagaimana dalam keadaan arwah isteri saya sakit pun, saya masih bekerja keras untuk parti (UMNO),” katanya.

    Selain Salim, turut berdepan penggantungan enam tahun adalah Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan dan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    Selain itu, bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Khairy pula dipecat parti.

  • Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    Calon PN diberi dana tapi bukan daripada syarikat judi – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui bahawa calon yang mewakili gabungan itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diberikan dana untuk tujuan kempen, namun menafikan ia datang dari syarikat perjudian.

    Beliau berkata, gabungan itu hanya memberikan RM50,000 kepada setiap calon yang bertanding di bawah tiket PN pada PRU15.

    “Mereka bimbang dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya baru-baru ini, oleh itu Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendakwa untuk kempen, PN menerima jutaan ringgit dana daripada ‘tauke’ judi.

    “Ya, benar kami berikan dana. Saya Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon di depan saya…kami hanya memberikan RM50,000 untuk setiap calon.

    “Jika saya ada duit daripada kaki judi, saya rasa (PN) bukan sahaja menang 73 kerusi, (malah) 30 (kerusi) BN juga kita sapu habis.

    “Namun kerana kami tidak mempunyai wang mencukupi, sebab itulah kita tak dapat menang banyak,” katanya dalam satu ceramah ketika berkempen untuk PRU-15 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di sini, malam tadi.

    Semalam, Anwar ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya membayangkan dana kempen pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas judi.

    Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun berkuat kuasa 1 Januari depan.

    Sementara itu, Hamzah mengingatkan Anwar bahawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik membarisi senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan kini, adalah Menteri Kewangan ketika Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.

    Beliau berkata, keputusan berkaitan cabutan khas syarikat perjudian diputuskan Menteri Kewangan dan Tengku Zafrul harus menjawabnya.

    “Beliau (Anwar) berkata ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini terdapat 22 cabutan khas. Siapa Menteri Kewangan? (Jawapannya) Tengku Zafrul (dan) anda kena tanya Tengku Zafrul.

    “Hari ini (semalam) ketika mesyuarat Kabinet diadakan beliau (Anwar) mengumumkan 22 cabutan khas dikurangkan kepada lapan, jadi apa maksudnya?

    “Ini hanya menunjukkan Menteri Kewangan ada kuasa dan dalam perkara berkenaan perjudian hanya Menteri Kewangan berkuasa dan anda perlu tanya Tengku Zafrul,” katanya, lapor Berita Harian.

  • [TIDAK RASMI] Calon PN dahului Parlimen Port Dickson

    [TIDAK RASMI] Calon PN dahului Parlimen Port Dickson

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Port Dickson, Rafiei Mustapha mendahului kerusi itu setakat pukul 8.56 malam.

    Beliau yang mendapat 4,359 undi mengatasi calon BN, Datuk P. Kamalanathan (2,636); PH diwakili Datuk Seri Aminuddin Harun (2,636) manakala PEJUANG diwakili Ahmad Idham Ahmad Nadzri (116) dan Bebas Abdul Rani Kulup Abdullah tiada undi.

    Port Dickson mempunyai 104,450 pengundi berdaftar.

    Kerusi itu sebelum ini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini bertanding di Tambun.

    Rafiei merupakan Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan dan Pesuruhjaya Pas negeri itu.

  • PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

    PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

    CALON Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan melalui proses saringan yang rapi bagi memastikan mereka bersih dan istiqamah.

    Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan berkata, jentera pilihan raya dan penerangan BERSATU sudah dipersiap dari awal, malah Skuad Prihatin parti itu juga sudah dikerah untuk berdepan segala kemungkinan.

    “Kita bersedia bukan saja untuk menyantuni rakyat mendepani PRU-15, tetapi juga membantu rakyat.

    “BERSATU dan PN komited untuk menawarkan agenda prihatin rakyat, integriti dan kemakmuran bersama.

    “Berjuanglah kita dalam keberkatan daripada Allah SWT. Bawalah mesej kebenaran kepada rakyat. Ajaklah rakyat menolak kemungkaran,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Sementara itu, Wan Saiful mendakwa pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini membuktikan UMNO terlalu jauh terpisah daripada kehendak dan keperluan rakyat.

    Dakwanya, pengumuman itu juga permulaan kepada langkah UMNO untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

    “Rakyat perlu menilai sikap UMNO. Parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah,” katanya.

    Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air disertai tekad untuk membawa penambahbaikan kepada negara.

    “Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah PN,” katanya.