Tag: calon Perdana Menteri

  • Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH jika menang PRU-15

    Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri PH jika menang PRU-15

    PAKATAN Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri diputuskan selepas mengambil kira beliau sebagai calon yang mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi ketika ini.

    Menurutnya, Anwar juga sudah berdepan pelbagai cabaran selama 11 tahun dan masih mampu bertahan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan itu.

    “Perjuangan PH bukan soal meletak satu-satu tokoh untuk memegang jawatan ini. Jawatan ini datang dengan tugas dan tanggungjawab yang berat.

    “Ekonomi negara merudum, inflasi, harga barang, derita rakyat. Ekonomi negara mesti diselamatkan melalui sebuah kerajaan yang bertanggungjawab di bawah kepimpinan seorang yang mampu membaiki ekonomi negara.

    “Majlis Presiden PH melalui proses temu rapat di Port Dickson, Seremban dan sesi mesyuarat, membuat keputusan bahawa memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia, jika mandat diberi kepada kita, calon Perdana Menteri kita ialah saudara Anwar Ibrahim,” katanya di Konvensyen PH di Ipoh, hari ini lapor Berita Harian.

    Sementara itu, berhubung pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi PH dalam PRU-15, Saifuddin Nasution memaklumkan rundingan agihan kerusi di antara parti komponen PH sudah selesai.

    Selain itu, katanya, PH juga membuat perjanjian pilihan raya dengan beberapa parti lain dan rundingan kerusi dengan rakan kerjasama PH itu akan dimuktamad, beberapa hari lagi.

    “Setelah semua proses diikuti, saya umumkan bahawa untuk parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan AMANAH, rundingan kerusi Parlimen berjaya diselesaikan.

    “Pada masa sama, sesuai keputusan Majlis Presiden PH, rundingan berikutnya ialah dengan parti bukan PH yang telah kita putuskan bersama melalui pendekatan perjanjian pilihan raya, akan diselesaikan dalam dua tiga hari ini untuk mencapai keputusan muktamad,” katanya.

  • Zahid tolak dakwaan jadi calon PM jika menang PRU-15

    Zahid tolak dakwaan jadi calon PM jika menang PRU-15

    PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, naib presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal dicalonkan sebagai perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) menang PRU-15.

    Presiden UMNO itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang bahawa beliau akan diangkat sebagai perdana menteri, bukan Ismail Sabri.

    Katanya, keputusan mencalonkan Ismail ke jawatan itu tidak boleh dipertikaikan lagi.

    Namun, kuasa melantik perdana menteri masih tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

    “Jadi jika ada parti pembangkang yang menamakan orang lain daripada Ismail itu adalah usaha untuk mereka memecahkan UMNO dan BN, jadi itu saya tidak hormati pendirian itu.

    “Kita hormati kuasa mutlak yang ada bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya menurut Sinar Harian.

    Hari ini, UMNO Bahagian Masjid Tanah mempersoalkan usul Ismail sebagai perdana menteri selepas PRU-15.

    Ketuanya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usul sedemikian tidak perlu dibawa memandangkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April, sudah menamakan Ismail bagi jawatan penting itu.

    Justeru, UMNO bahagian diketuainya mematuhi keputusan itu tanpa perlu membawa usul sama.

    Semalam, Bernama melaporkan usul menamakan Ismail sebagai perdana menteri mendominasi sebahagian besar mesyuarat UMNO bahagian.

    Antara bahagian parti itu yang bersetuju mengusulkan penamaan Ismail adalah UMNO Machang di Kelantan; Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau di Johor. Hari ini, UMNO Tampin di Negeri Sembilan dan Padang Terap, Kedah juga mengambil ketetapan sama.

    Persidangan Bahagian UMNO bermula kelmarin hingga hari ini melibatkan 191 bahagian.