Tag: Calon DAP Jerai

  • Calon DAP di Jerai: Bangkitkan isu Amanah kuda tunggangan, barua DAP

    Calon DAP di Jerai: Bangkitkan isu Amanah kuda tunggangan, barua DAP

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPIMPINAN Parti Amanah Negara (Amanah) Pusat didakwa tidak pernah sama sekali bertanyakan pandangan daripada kepimpinan Amanah Kedah mahu pun Jerai mengenai keputusan untuk memberikan kerusi Parlimen itu kepada DAP bagi ditukarkan dengan Parlimen Alor Gajah di Melaka yang akan ditandingi Amanah.

    Bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, tindakan meletakkan calon DAP di Jerai tidak sepatutnya dilakukan ketika 75 peratus pengundi Melayu di Kedah, masih lagi mempunyai persepsi dan sentimen tidak boleh menerima DAP.

    Menurutnya, tindakan itu bakal memberikan kesan kepada prestasi Amanah dengan parti itu juga sebelum ini sentiasa dituduh sebagai kuda tunggangan dan barua DAP.

    “Bukan kita tak suka DAP tetapi persepsi pengundi terhadap mereka masih ada. Langkah ini bukan saja akan menjejaskan sokongan rakyat di Jerai malah turut memberi kesan kepada kawasan Parlimen ditandingi Amanah yang lain seperti Sik, Pokok Sena dan Baling.

    “Malah isu sama juga akan dimainkan di negeri-negeri lain. Apabila kita beri kerusi Jerai kepada DAP, seolah-olah kita beri bola tanggung kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka akan menyatakan bahawa Amanah dan PH tidak dapat menjaga kepentingan Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Jerai di Kedah, hari ini.

    Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad bersama beberapa Ketua Bahagian Amanah di Kedah.  

    Dalam Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah malam tadi, Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff diumumkan sebagai individu mewakili PH di Jerai, yang merupakan kerusi majoriti Melayu.

    Tindakan itu tidak disenangi sebahagian pimpinan Amanah Kedah diketuai Phahrolrazi menyebabkannya dipecat daripada parti berkuat kuasa hari ini.

    Tambahnya, isu tersebut amat sensitif kepada pengundi di Kedah namun PH masih berpeluang untuk membuat perubahan dengan memastikan kerusi tersebut dikembalikan kepada Amanah sebelum penamaan calon pada 5 November depan.

    “Jika DAP terus bertanding di sini, maka kami tak dapat memberi kerjasama kepada DAP kerana semua pihak tak merestui mereka bertanding di sini. Malah kami membuat keputusan untuk terlibat dalam proses PRU kali ini,” katanya.

    Menceritakan dari awal mengenai situasi yang berlaku, Phahrolrazi berkata, isu itu mula timbul sejak awal Oktober apabila pihaknya mendapat maklumat mengenai pertukaran kerusi itu.

    “Sebaik mengetahuinya, kami mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Amanah Kedah dan mengambil ketetapan untuk menolak kerusi Parlimen Jerai daripada diberikan kepada DAP. Kami menyatakan dengan tegas akan menarik diri daripada proses PRU-15 jika cadangan itu diteruskan.

    “Keputusan yang agak keras itu kami buat supaya kepimpinan menimbangkan kembali keputusan tersebut. Namun kepimpinan tetap mahu memberikan kerusi itu kepada DAP walaupun kita telah buat mesyuarat beberapa kali, hinggalah kami keluarkan surat tak akan menjalankan apa-apa kegiatan PRU melibatkan parti.  

    “Semalam pun kami tak hadir dalam mesyuarat sebelum mengumumkan calon. Tindakan itu adalah untuk memberi tekanan kepada pimpinan parti namun mereka masih teruskan untuk memberi kerusi tersebut kepada DAP,” katanya.

    Ditanya mengenai ketiadaan kebanyakan pimpinan jawatankuasa negeri bersamanya dalam sidang akhbar tersebut, Phahrolrazi berkata, perkara itu adalah sesuatu yang lumrah dalam politik dan beliau sudah biasa melaluinya.

    “Apabila kami buat mesyuarat menolak keputusan menyerahkan kerusi Jerai kepada DAP, semua setuju 100 peratus. Saya pun dah nyatakan bahawa kereta api kalau nak masuk gaung, yang masuknya kepala dulu manakala gerabak masih lagi di atas.

    “Tetapi dalam politik ini tak semua berani mengambil risiko. Saya sudah melalui perkara ini berkali-kali tetapi hari ini, saya masih ada Ketua Pemuda negeri dan kira-kira tujuh adaripada 15 pimpinan bahagian. Jadi kalau sudah hampir 50 peratus pimpinan kawasan bersama saya, maka kita boleh fahamlah maknanya,” katanya.

    Ditanya mengenai tindakan parti memecatnya berkuat kuasa serta-merta, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dan Ketua Pembangkang Kedah memaklumkan, tindakan tersebut agak menghairankan kerana tindakan dilakukannya itu bukan bertujuan melemahkan PH sebaliknya bagi memastikan PH memiliki peluang lebih cerah di Jerai serta Kedah secara keseluruhan.

    “Saya tidak sedih dengan keputusan parti tersebut kerana sebelum ini pun saya pernah ‘ditendang’ daripada kerajaan dan Pas. Tetapi sebagai antara pengasas parti, saya memiliki satu jumlah yang besar bersama saya ketika bersama Amanah.

    “Mungkin kita boleh sifatkan sebagai kabilah dengan mereka ini bukan saja berada di Kedah malah di Kelantan, Perak dan Selangor. Mereka yang bersama saya dalam Pasma dulu, kini masih wujud dan apabila Amanah pecat saya, maknanya mereka memandang rendah saya.

    “Jangan pandang rendah kerana saya bukan berseorangan dan mungkin Amanah di Kedah akan jadi lebih kecil. Ketika ini banyak sokongan diterima dari seluruh Malaysia malah ada parti lain sudah menghubungi untuk menawarkan tempat tetapi saya tak fikir tentang semua itu lagi,” katanya.

  • Tentangan terhadap calon DAP di Jerai isu dalaman Amanah

    Tentangan terhadap calon DAP di Jerai isu dalaman Amanah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TENTANGAN sebahagian pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah terhadap pencalonan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff di Parlimen Jerai, dianggap DAP sebagai isu dalaman Amanah.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau merasakan sebarang isu tidak sepatutnya timbul kerana rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi melalui Majlis Presiden PH.

    Malah katanya, beliau langsung tidak menyedari adanya boikot oleh pihak tertentu dalam Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di Laguna Merbok, Sungai Petani, malam tadi.

    “Saya tak sedar ada apa-apa boikot malam tadi kerana saya difahamkan majlis itu berjalan lancar.

    “Mungkin ada pandangan dalaman dan sebagainya. Itu bagi saya adalah isu dalaman Amanah dan saya tak mahu masuk campur. Bagi saya tak ada soal boikot dan semua berjalan lancar kerana yang paling penting, kita bergerak atas satu pasukan iaitu pasukan PH,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Operasi Pilihan Raya PH Jerai di Pekan Guar Chempedak di sini, hari ini.

    Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli mengeluarkan kenyataan mengenai pemecatan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkuat-kuasa serta-merta.

    Pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu yang juga Ketua Pembangkang Kedah dipercayai dilakukan parti ekoran tindakannya membantah pencalonan ADUN DAP di Jerai yang sebelum ini dikatakan sepatutnya ditandingi Amanah.

    Mengulas lanjut Anthony berkata, keputusan untuk meletakkan calon DAP di Jerai dibuat melalui rundingan dengan kepimpinan tertinggi Amanah setelah DAP bersetuju menyerahkan Parlimen Alor Gajah di Melaka kepada parti sekutunya itu.

    “Dan kami pula menerima kerusi Parlimen Jerai sebagai satu keputusan mengikut semangat rundingan dijalankan itu,” katanya.