Tag: Calon BN

  • Tak adil BN beri laluan untuk PH di Padang Serai – Sivaraj

    Tak adil BN beri laluan untuk PH di Padang Serai – Sivaraj

    Oleh BADLISHAH MAT

    CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj menyifatkan ‘permintaan’ Pakatan Harapan (PH) agar beliau memberi laluan kepada mereka sebagai tidak adil.

    Malah, Sivaraj pula yang meminta Dr. Mohamad Sofee Razak memberi laluan kepadanya kerana calon PH itu didakwa hanya baru ‘tiba’ di Padang Serai beberapa hari lalu.

    Selain itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu berkata, beliau sudah bekerja keras di Padang Serai sejak kira-kira tiga tahun lalu.

    “Beliau baru tiba sehari sebelum penamaan calon. Jadi, tidak adil untuk meminta saya memberi laluan kepadanya hanya kerana BN memberi laluan kepada calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

    “Itu bukan masalah saya kerana senario di sini berbeza. Saya telah berkhidmat untuk rakyat dan orang di sini mengenali saya secara peribadi kerana nama saya.

    “Mohamad Sofee sepatutnya beri laluan kepada saya, tidak adil meminta saya memberi laluan, ia tidak logik. Saya tidak akan sekali-kali bersetuju dengan itu,” katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di Kampung Padang di Padang Serai, Kulim hari ini.

    Kelmarin Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PH Kedah meminta pucuk pimpinan kedua-dua PH dan BN mencapai kata sepakat untuk berkompromi dengan memberi laluan kepadanya untuk menentang Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, kemenangan kerusi Parlimen Padang Serai mahu dijadikan sebagai hadiah kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M. Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai hari pengundian.

    Selain Sivaraj dan Sofee, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara PN (Datuk Azman Nasrudin) Pejuang (Hamzah Abd. Rahman), Warisan (Mohd. Bakri Hashim) dan seorang calon bebas (Sreanandha Rao).

  • Khairuddin tidak tersenarai calon BN Kuala Nerus

    Khairuddin tidak tersenarai calon BN Kuala Nerus

    BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Nerus.

    Hanya dua nama yang disenaraikan oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Nerus iaitu Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dr Apli Yusoff dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

    Jurucakap UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata, sebagai ahli baharu UMNO, sudah tentunya tidak adil jika Mohd Khairuddin dicalonkan mewakili BN untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

    Katanya, jika Mohd Khairuddin tersenarai sebagai calon, jentera pilihan raya parti akan menjalankan tugas dalam keadaan malap untuk berkempen.

    “Kita di peringkat bahagian menyerahkan keputusan mengenai calon mewakili BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Top-5.

    “Setakat ini hanya Apli yang juga Ketua UMNO bahagian dan Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tersenarai sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus,” katanya.

    Pada pertandingan tiga penjuru PRU-14, Mohd Khairuddin yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi dengan majoriti 8,447 undi selepas memperolehi undi 37,975 menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperolehi 29,527 undi dan calon PKR, Abdullah Muhamad yang hanya memperolehi 4,604 undi.

    Mengulas desas desus Mohd Khairuddin tersenarai sebagai calon BN, jurucakap itu mengakui pembabitan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus dalam beberapa program dianjurkan UMNO dan menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dianjurkan UMNO menjadi punca namanya dikaitkan.

    Katanya, Mohd Khairuddin hanya bertanggungjawab membantu BN memenangi kerusi termasuk diundang sebagai penceramah.

    “Mohd Khairuddin turut diundang membantu kempen di Parlimen Jerai, Kedah bersama Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,” katanya.

    Jurucakap itu menambah, Mohd Khairuddin juga turut diundang untuk menyampaikan ceramah bagi membantu calon BN di beberapa negeri.

    “Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu bersetuju untuk ke setiap pelusuk tanah air membantu calon BN,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Bukan calon pilihan, cawangan UMNO Jempol pula tunjuk protes

    Bukan calon pilihan, cawangan UMNO Jempol pula tunjuk protes

    LAGI protes mengenai calon Barisan Nasional (BN) bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kali ini, persiapan BN Parlimen Jempol menerima tamparan hebat apabila 13 bilik gerakan di 13 UMNO cawangan di kawasan Parlimen berkenaan dilaporkan ditutup.

    Memetik laporan Berita Harian, tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan rasa tidak puas terhadap calon kerusi Parlimen Jempol yang dikatakan bukan orang pilihan.

    13 bilik gerakan UMNO cawangan terbabit yang dikatakan ditutup ialah Batu Kikir Timir, Kampung Gajah Mati, Kampung Kuala Kepis, Batu Kikir Pekan, Taman Melor, Rompin, Serting Hilir, Palong 13, Serting Hilir 7, Taman Seri Serting, Taman Seri Rompin, Serting Hilir 1 dan Palong 10.

    Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang juga penyandang kerusi berkenaan dikatakan tidak dicalonkan.

    Sebaliknya, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, dikatakan diletakkan sebagai calon kerusi terbabit.

    Ini berdasarkan senarai nama calon yang ‘bocor’, melalui laman sosial sejak semalam, menunjukkan Mohd Salim digugurkan sebagai calon Parlimen Jempol.

    Situasi itu dikatakan mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan penyokong terhadap kepemimpinan tertinggi parti.

    Sementara itu, Shamsulkahar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kedudukan dirinya sebagai calon Parlimen Jempol.

    “Tunggu sehingga pengumuman oleh pucuk pimpinan parti,” katanya.

    Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) sudah menamakan calon bagi kerusi berkenaan dengan meletakkan Ketua Wanita AMANAH Negeri Sembilan, Norwani Ahmat.

    Pada PRU14, Mohd Salim menang dengan majoriti 1,631 undi.

  • ‘Kami tak mengundi, jika penyandang Parlimen Maran tidak dipilih’ – Tok Batin

    ‘Kami tak mengundi, jika penyandang Parlimen Maran tidak dipilih’ – Tok Batin

    BEBERAPA jam sebelum calon Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sudah ada suara daripada masyarakat Orang Asli di Parlimen Maran yang mahukan penyandangnya, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib kekal menjadi calon.

    Menurut Tok Batin Jantan Bujing, 60, adalah menjadi kegelisahan masyarakat itu sekiranya calon luar diberi laluan untuk bertanding di kawasan itu.

    “Kalau Datuk Seri (Ismail Mutalib) tidak dicalonkan di kawasan Parlimen Maran, masyarakat Orang Asli tidak akan keluar mengundi.

    “Sebab kita tak nampak pemimpin yang akan dicalonkan (ada) kepimpinan kemasyarakatan, yang ada kepentingan diri sendiri tapi bukan masyarakat Orang Asli yang kini hidup terhimpit dan tidak mendatangkan ceria.

    “Kalau di bawah Datuk Seri kita ada harapan yang tinggi lah,” katanya lapor Astro AWANI.

    Jelasnya, penduduk di Kampung Orang Asli Batu 55 dianggarkan seramai 700 orang manakala pemilih yang layak mengundi PRU-15 kali ini sekitar 400 orang.

    Sejak semalam, spekulasi mengenai calon-calon Parlimen BN terus hangat diperkatakan ramai pihak.

    Sebelum ini antara nama yang disebut-sebut akan digugurkan adalah Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Pada PRU-14, Ismail memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 3,763 undi mengatasi pencabarnya daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Dalam PRU kali ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon Ahmad Shuhor Awang (Amanah) untuk kerusi P.086 Maran, manakala Perikatan Nasional (PN) dijangka turut mengumumkan calonnya malam ini.