Tag: Cagaran Simpanan KWSP

  • Cagaran wang KWSP untuk pinjaman bank tak bercanggah Akta KWSP – PM

    Cagaran wang KWSP untuk pinjaman bank tak bercanggah Akta KWSP – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan  membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman bank dengan cagaran wang caruman mereka tidak bercanggah dengan Seskyen 51, Akta KWSP.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah merujuk kepada pihak KWSP dan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan perkara itu.

    Menurutnya kepentingan peminjam juga dipelihara melalui kaedah berkenaan apabila dividen masih diteruskan KWSP walaupun diberikan cagaran.

    “Umpamanya RM50,000 sebagai pinjaman, tetapi dividen itu akan diberikan sepenuh ikut kumpulan asal. Jadi tidak dipotong (dividen),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai adakah kaedah cagaran itu melanggar Akta KWSP, dan sama ada Perdana Menteri mendapatkan nasihat Peguam Negara mengenai hal berkenaan.

    Anwar menjelaskan risiko KWSP juga sangat minima berikutan pulangan cagaran dalam beberapa tahun dapat diperolehi meskipun jika terdapat jumlah kecil pencarum yang gagal membayar pinjaman.

    Mengulas lanjut, beliau berkata KWSP meminta pencarum menggunakan kaedah pinjaman Islam untuk membuat pinjaman bank, namun tidak menghalang jika pencarum Islam atau bukan Islam terutamanya ingin membuat pinjaman mengikut kadar konvensional.

    “Saya ingin menyatakan kita mengenakan kadar instrumen kewangan Islam, jadi dengan kos perkhidmatan yang minima tetapi tidak mengukur dari segi faedah bank konvensional. KWSP memilih untuk meminta ahli-ahli menggunakan kaedah pinjaman Islam dengan kadar faedah yang paling mimina yang tentunya lebih rendah daripada kadar di pasaran,” katanya.

    Selain itu, Anwar berkata pencarum masih boleh memanfaatkan Akaun 2 KWSP bagi tujuan pendidikan, menunaikan haji dan perbelajaan hospital seperti diumumkan sebelum ini.

    Perdana Menteri meminta semua pihak supaya tidak beranggapan bahawa pengeluaran KWSP sebagai satu-satunya kaedah untuk meringankan beban rakyat kerana kerajaan juga mengambil langkah-langkah lain termasuk memberi bantuan secara berasingan antaranya kepada pekerja, pekebun, nelayan dan penjawat awam.

    “Ini KWSP, akad kita itu jelas, (ia) untuk hari tua. Sebab itu fatwa-fatwa yang jelas dalam hal ini umpamanya tidak dikenakan cukai, malah beberapa kemudahan tambahan diberikan hanya kepada pencarum,” katanya.

    Anwar berkata beliau bimbang masa depan pencarum akan lebih sukar jika simpanan mereka hanya tinggal RM4,000 atau RM10,000 sahaja pada masa akan datang.

    Beliau memaklumkan bilangan ahli KWSP berumur bawah 55 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 mencecah 6.7 juta dan majoriti adalah dalam kalangan Bumiputera dengan median RM4,937 simpanan.

    Menurutnya 20 negara yang memberikan kebenaran mengeluarkan wang tabung simpanan pada hari tua susulan pandemik COVID-19 juga telah menghentikan kelulusan pengeluaran berkenaan. – BERNAMA

  • Amy Search kritik cadangan wang KWSP jadi cagaran pinjaman bank

    Amy Search kritik cadangan wang KWSP jadi cagaran pinjaman bank

    Penyanyi rock legenda, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search, mengecam cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan pencarum menjadikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk pinjaman peribadi di bank.

    Tegas beliau, langkah itu hanya akan menguntungkan institusi kewangan itu memungut faedah.

    “Pinjam bank mesti ada interest (faedah), sebab mana ada bank bagi pinjam tiada interest sebab duit bank duit orang ramai (pendeposit).

    “Lagi satu kalau tak bayar interest bertambah. Akhirnya interest pinjaman campur dengan interest lewat bayar akan jadi berganda-ganda.

    “Jadi untung besar bank,” katanya dalam ruang komen berkaitan video di Facebook yang membincangkan mengenai cadangan tersebut, lapor MalaysiaNow.

    Amy memberi amaran sebarang kegagalan untuk menjelaskan pinjaman bank akan menyebabkan simpanan KWSP seseorang dirampas.

    “Bank peduli apa? Sebab semua termaktub dalam perjanjian yang dah ditandatangani. Berhati-hatilah sahabat semua, jangan sampai duit KWSP habis disebabkan interest.

    “Jadi pinjam duit bank dan cagarkan KWSP bukan satu jalan yang bijak,” tambahnya.

    Anwar dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

  • Cagaran simpanan KWSP: Bukan selesaikan masalah, hanya bebankan hidup rakyat

    Cagaran simpanan KWSP: Bukan selesaikan masalah, hanya bebankan hidup rakyat

    CADANGAN agar simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan sebagai cagaran untuk pinjaman bank disifatkan tidak menyelesaikan masalah dihadapi pencarum.

    Sebaliknya kata Penganalisis Sosio Ekonomi dan Politik di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa, langkah itu hanya membebankan hidup rakyat dalam jangka masa panjang.

    Menurut beliau, buat masa sekarang, sebahagian besar pencarum KWSP di negara ini sangat memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kepelbagaian hidup.

    Katanya, majoriti para pencarum masih keliru dengan kaedah yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia pada masa ini.

    “Faktor kekeliruan dan kebimbangan para pencarum ini mungkin berkisarkan kepada apakah syarat-syarat yang akan ditetapkan kelak oleh pihak institusi kewangan?

    “Kedua, berapakah pula caj yang disyaratkan setiap pinjaman yang hendak dilakukan dan setakat mana pula jumlah simpanan KWSP yang perlu dicagarkan?

    “Seterusnya, berapa lama tempoh pinjaman pembayaran semula akan dikenakan. Akhir sekali, adakah memerlukan penjamin di atas cagaran yang hendak dilaksanakan kelak?” jelasnya kepada HarakahDaily.

    Perdana Menteri dalam sesi penggulungan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu mencadangkan agar pencarum mencagarkan wang caruman KWSP masing-masing kepada bank untuk membuat pinjaman.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

    Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Ahmad Fauzi berkata, beliau percaya pencarum KWSP sangat mengalu-alukan langkah kerajaan pada masa ini untuk mencari apa sahaja formula terbaik untuk membantu rakyat yang terdesak akibat pelbagai faktor seperti pembiayaan hutang rumah, ansuran bulanan kereta, pinjaman peribadi, sewaan niaga dan pejabat serta mengimbangi pusingan modal perkhidmatan dan perniagaan masing-masing.

    “Dalam hal ini, sepatutnya pihak KWSP terlebih dahulu melancarkan satu bancian awal bagi mendapatkan maklum balas pencarum dan keperluan bagi menampung desakan kewangan yang dilihat boleh membantu pencarum secara tuntas,” katanya.

    Ahmad Fauzi sehubungan itu berharap kerajaan dapat menekankan kaedah yang boleh memberi manfaat besar kepada para pencarum dengan memohon institusi kewangan menawarkan syarat-syarat yang tidak membebankan pencarum.

    Menurut beliau lagi, KWSP sepatutnya tidak membebankan lagi pencarum yang sedia dibebani masalah kewangan ketika ini.

    “Ini kerana pencarum yang memohon membuat permohonan pengeluaran simpanan KWSP adalah daripada simpanan wang mereka sendiri dan sudah tentu mereka menyedari ia adalah simpanan mereka pada hari tua nanti,” katanya

    Sementara itu, Ahmad Fauzi percaya selain cadangan Perdana Menteri yang mahukan pencarum mencagarkan KWSP kepada institusi kewangan sebagai pilihan memerlukan kewangan itu, maka pihak kerajaan juga perlu melihat semula kepada kumpulan bersasar.

    “Jika dilihat, masih ramai pencarum yang mempunyai simpanan lebih RM200,000 yang dikirakan tiada masalah atau menjejaskan simpanan hari tua mereka andainya institusi KWSP membenarkan mereka membuat pengeluaran sebanyak RM10,000.

    “Kerajaan boleh terus melihat akan perkara itu dan perlu mempelbagaikan kaedah yang memberi pencarum pilihan bagi membuat pengeluaran KWSP masing-masing,” katanya.