Tag: cadang

  • [VIDEO] Muhyiddin cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri

    [VIDEO] Muhyiddin cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri

    MAJLIS pemulihan di peringkat negeri dan daerah dicadangkan untuk diwujudkan bagi memudahkan segala bentuk usaha pemulihan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan majlis yang sama di peringkat negeri membolehkan usaha pemulihan dapat diterima di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan pantas.

    “Penubuhan Majlis Pemulihan Negeri mungkin dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri. Di bawahnya adalah jawatankuasa tindakan daerah yang sedia ada.

    “Boleh kita bagi peranan lebih untuk melihat aspek pemulihan. Ini akan membantu kita mengetahui lebih dekat dan terperinci apa sebenarnya yang ada di bawah.

    “Yang kita ambil di peringkat nasional ini bawa kesan sampai ke bawah dalam jangka masa yang tidak terlalu lama,” katanya lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan meninjau kehidupan pendudukan sekitar Pagoh hari ini.

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menghulurkan bantuan bakul makanan selain keperluan asas bagi penduduk yang menghadapi penyakit kronik selain meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga di Pasar Tani Pagoh Jaya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MPN, Isnin ini.

    Kata beliau, hasil perbincangan itu akan dikemukakan dalam Kabinet untuk persetujuan Perdana Menteri.

    Sekiranya dipersetujui, beliau berkata, pimpinan majlis berkenaan akan membantuk jawatankuasa tindakan di peringkat bawahan agar kesan pemulihan dapat dirasai rakyat bawahan.

    Jelas beliau, pihaknya amat menyedari bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat.

    Justeru tegasnya, peranan pemimpin akar umbi amat penting untuk digerakkan dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat.

  • SOP:Polis tak teragak-agak cadang tutup pusat rekreasi

    SOP:Polis tak teragak-agak cadang tutup pusat rekreasi

    POLIS tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.

    Memetik Berita Harian, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, ketika ini pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.

    “Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

    “Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.

    “Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya hari ini.

    Semalam, media melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

    Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.

    Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan.

    Ditanya tindakan kompaun kepada pengunjung, Mastor berkata, ia pilihan terakhir jika mereka menghiraukan nasihat polis supaya mematuhi SOP.

    “Kita mengambil pendekatan berhemah dahulu dengan memberi nasihat.

    “Kalau mereka masih berdegil, pilihan terakhir ialah dengan memberi kompaun,” katanya.