Tag: buruh

  • Ugut bunuh dan cederakan ibu, buruh kontrak dipenjara 8 bulan

    Ugut bunuh dan cederakan ibu, buruh kontrak dipenjara 8 bulan

    AKIBAT membuat ugutan bunuh menggunakan sebilah gunting dan mencederakan ibu kandung, seorang buruh kontrak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

    Majistret S. Punitha menjatuhkan hukuman itu terhadap V. Kumaran, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada Isnin lepas.

    Bagi pertuduhan pertama, Kumaran didakwa dengan sengaja melakukan ugutan jenayah secara lisan terhadap ibu kandungnya V. Yallama, 73, dengan mengacukan gunting ke leher dengan niat hendak mendatangkan rasa cemas.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor di sini pada kira-kira pukul 4 petang, 27 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan kecederaan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh hukuman yang ditetapkan di bawah Seksyen 323.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Siti Hajar Hamzah, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.- BERNAMA

  • Buruh didakwa tikam hingga mati lelaki di restoran makanan segera

    Buruh didakwa tikam hingga mati lelaki di restoran makanan segera

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Rantau Panjang, Kelantan pada 2017.

    Tertuduh, Saw Kim San, 37 yang juga seorang buruh bagaimanapun hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

    Memetik laporan Astro AWANI, mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan bunuh sehingga menyebabkan kematian Lee Boon Guan, 39.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang sekitar jam 5.58 petang pada 17 Ogos 2017.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, Pasir Mas.

    Mangsa dikatakan sedang menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan sebelum didatangi suspek yang terus menikam mangsa.

    Mangsa yang cedera akibat tikaman di belakang dan dada meninggal dunia di lokasi kejadian.

    tuduhan bunuh, Rantau Panjang, restoran makanan segera, Seksyen 302 Kanun Keseksaan,

  • Buruh dituduh lakukan amang fizikal terhadap budak perempuan 10 tahun

    Buruh dituduh lakukan amang fizikal terhadap budak perempuan 10 tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, dua minggu lalu.

    Individu berkenaan yang berusia 56 tahun dan mempunyai lima anak, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan
    dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Mukim Guar Kepayang di Pendang kira-kira pukul 8.40 malam, 10 Disember lalu.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual memegang dada kanak-kanak tersebut yang difahamkan memiliki hubungan persaudaraan dengannya.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan disebat.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Syaliati Mohd. Sobri manakala tertuduh tidak diwakili
    peguam.

    Mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari depan.

  • Amang seksual kanak-kanak, buruh dipenjara 6 tahun, 2 sebatan

    Amang seksual kanak-kanak, buruh dipenjara 6 tahun, 2 sebatan

    SEORANG buruh dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada Sabtu lepas.

    Hakim Norita Mohd Ardani menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang lelaki berusia 38 tahun dan memerintahkannya menjalani hukuman tersebut bermula hari ini, selain pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman penjara.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Chulek, Kampar, pada pukul 9 malam, 25 Dis lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun dan maksimum tiga tahun.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran supaya tertuduh yang mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa tidak mengulangi kesalahan sama dan juga kepada orang ramai.

    Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung bapanya yang sakit.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa ibu kanak-kanak itu berada di hadapan sebuah rumah, anaknya datang kepadanya sambil menangis dan memberitahu tertuduh mengajaknya ke bahagian belakang rumah itu, lalu menceritakan insiden tersebut.

    Ibu kanak-kanak itu terus membuat laporan polis dan tertuduh kemudian ditangkap pada 12.45 pagi, 26 Dis lepas. – BERNAMA