Tag: buru

  • Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    Polis buru 2 tahanan lari ketika dalam perjalanan ke penjara

    DUA tahanan warga Indonesia yang melarikan diri ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang, hari ini sedang giat diburu polis.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow , tahanan itu dikenali sebagai Riki Rinaldi, 40 dan Samirudin, 36.

    Kedua-dua tahanan itu katanya membuka gari berantai dan pintu belakang van sebelum lari ke dalam kebun kelapa sawit terbiar Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang berhampiran jambatan kereta api.

    “Suspek bersama dua lagi tahanan warga Indonesia sebelum itu, dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi pada pukuljam 8 pagi, bagi pertuduhan tidak mempunyai pas dan dokumen yang sah masuk ke negara ini.

    “Kesemua tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan ke Penjara Ledang, dua tertuduh telah membuka gari dan pintu belakang van sebelum melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Beng Yeow, tiga anggota Maritim telah ditugaskan membawa kesemua tertuduh ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan pada jam 11.20 pagi.

    “Operasi memburu suspek sedang giat dilakukan dengan bantuan unit pengesan anjing K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    “Selain itu, Op Tutup turut dijalankan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi bilik gerakan di talian 07-6637222,” katanya.

  • Polis buru pemandu MPV lawan arus elak ditahan

    Polis buru pemandu MPV lawan arus elak ditahan

    POLIS sedang memburu seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didapati memandu secara melawan arus dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis, semalam.

    Video kejadian itu yang tular berlaku di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan yang merakamkan kenderaan berkenaan memandu melawan arus sejauh dua kilometer kira-kira pukul 6.30 petang.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis bertindak mengekori kenderaan suspek hingga ke Jalan Tali Air 6 sebelum secara tiba-tiba suspek memandu melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan terus memasuki Jalan Haji Miskan.

    Ujarnya, pemandu MPV itu dipercayai melompat keluar dari kenderaannya sekali gus menyebabkan MPV berkenaan terbabas ke parit di sebelah kiri jalan.

    “Pemandu MPV itu berjaya melarikan diri, namun seorang lelaki di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.

    “Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu MPV terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Chee Khoon berkata, pemeriksaan polis ke atas penumpang berusia 27 tahun itu kemudian menemukan sebanyak 19 peket dadah disyaki jenis syabu seberat 15.5 gram bernilai RM450 di dalam beg sandangnya.

    Ujarnya, suspek yang cedera ringan pada kaki kiri itu didapati mempunyai rekod lampau dadah.

    “Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.Suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

    Tular rakaman video berdurasi 1 minit 2 saat dalam media sosial yang menunjukkan sebuah MPV dipandu secara lawan arus sambil dikejar polis.

    Video itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengecam tindakan pemandu MPV terbabit kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.

  • Penemuan mayat di Pasir Puteh: Polis tahan empat lelaki, buru seorang lagi

    Penemuan mayat di Pasir Puteh: Polis tahan empat lelaki, buru seorang lagi

    POLIS menahan empat individu dan sedang memburu seorang lagi bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang lelaki di halaman sebuah rumah di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh pada 1 Ogos lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dalam kenyataan hari ini memaklumkan lelaki yang diburu bernama Tuan Mohd Ridzwan Tuan Mohamad, 32, atau lebih dikenali sebagai Iwe Telosan.

    Beliau berkata keempat-empat lelaki berusia lingkungan 34 hingga 44 tahun ditahan berhampiran Pasir Puteh antara 4 hingga 10 Ogos lepas dan mereka mengaku berada di lokasi kejadian bersama dengan individu yang sedang diburu.

    “Kempat-empat suspek berkenaan ditahan reman sehingga 17 Ogos ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

    Shafien juga berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala disebabkan hentakan dan kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- BERNAMA