Tag: Bursa Malaysia

  • Pelabur asing teruskan penjualan saham di Bursa Malaysia

    Pelabur asing teruskan penjualan saham di Bursa Malaysia

    PELABUR asing terus menjadi penjual bersih pada minggu lalu, menandakan aliran keluar dana asing bersih minggu ketiga berturut-turut daripada Bursa Malaysia, mengeluarkan RM562.61 juta berbanding RM186.2 juta aliran keluar bersih pada minggu sebelumnya.

    Menurut MIDF Research (MIDF), sebahagian besar daripada aliran keluar bersih asing dilihat pada Rabu, Khamis dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM193.63 juta, RM123.36 juta dan RM218.03 juta.

    “Warga asing turut mencatatkan jualan bersih RM17.40 juta pada Isnin dan RM10.19 juta pada Selasa,” katanya dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini.

    MIDF turut mendedahkan bahawa sehingga kini, dana antarabangsa menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 38 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM7.36 bilion.

    Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 29 daripada 38 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM9.56 bilion, bagaimanapun, institusi tempatan mencatatkan belian bersih RM351.23 juta minggu lalu.

    “Mereka mencatatkan jualan bersih RM52.15 juta pada Isnin sebelum menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu itu. Kebanyakan daripada belian bersih dilihat pada Rabu dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM172.03 juta dan RM147.94 juta.

    “Mereka turut mencatatkan belian bersih RM5.35 juta pada Selasa dan RM78.06 juta pada Khamis,” katanya.

    Peruncit tempatan mengekalkan pendirian belian bersih mereka pada minggu lalu sebanyak RM211.38 juta dan menjadi pembeli bersih pada setiap hari, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu masuk pada Isnin sebanyak RM69.55 juta dan Jumaat sebanyak RM70.09 juta.

    “Mereka turut mencatatkan belian bersih RM4.84 juta pada Selasa, RM21.60 juta pada Rabu dan RM45.30 juta pada Khamis,” menurut MIDF.

    Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 23 daripada 38 minggu pada 2022 serta peruncit dan institusi telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM2.19 bilion setakat ini pada tahun ini.

    Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata nilai dagangan harian secara menyeluruh, diterajui oleh peruncit sebanyak 15.66 peratus, pelabur asing (15.20 peratus) dan institusi tempatan (8.00 peratus).-BERNAMA

  • CEKD catat premium 12 sen di awal dagangan

    CEKD catat premium 12 sen di awal dagangan

    CEKD Bhd., mencatat premium 12 sen di awal dagangannya di Papan ACE Bursa Malaysia hari ini.

    CEKD Bhd adalah penyedia rumusan acuan pemotong serta pengilang acuan pemotong dan pedagang barangan pengguna berkaitan, alat-alat dan aksesori.

    Saham CEKD dibuka pada 60 sen, iaitu premium 12 sen atau 25 peratus lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 48 sen, dengan jumlah dagangan sulung sebanyak 6,286,100 saham.

    Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif CEKD Berhad, Datuk Zulkifli Adnan berkata, pihaknya cukup gembira dengan prestasi hari pertama penyenaraian syarikat ini di Papan ACE dan berbesar hati dengan penerimaan para pelabur terhadap IPO CEKD.

    “Syarikat ini adalah peneraju dalam penyediaan rumusan bagi acuan pemotong di Malaysia, dan kami percaya IPO ini akan memberi kumpulan ini lebih keterampilan dan membantu perluasan perniagaan kami.

    “Ia akan membantu kami bukan sahaja mengekalkan pelanggan di Malaysia tetapi juga membantu meneroka pasaran lain di Asia Tenggara dan Asia Barat,’’ katanya.

    Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai satu-satunya pakar acuan pemotong di Asia Tenggara yang diperakui oleh Bobst Mex SA, peneraju global dalam pembekalan mesin dan perkhidmatan kepada industri pembungkusan dari Switzerland, pihaknya merancang pasca-penyenaraian untuk meluaskan operasi dan perkhidmatan pembuatan di pasaran sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan CEKD di Asia Tenggara dan Asia Barat.

    “Kami percaya bahawa terdapat banyak peluang yang kami boleh terokai di pasaran-pasaran ini berikutan pertumbuhan dalam industri E&E, plastik dan pembungkusan, automotif dan juga tekstil serta kulit.’’ tambahnya.

    Antara produk CEKD ketika ini dihantar ke pasaran di Australia, Vietnam, Thailand, Filipina dan Asia Barat, Malaysia merupakan 85 peratus perolehan keseluruhan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021.

    Pelanggan-pelanggan CEKD ketika ini kebanyakannya dari industri percetakan dan pembungkusan, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

    Susulan dari penyenaraian hari ini, M&A Securities Holdings Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin tunggal dan agen penempatan bagi proses IPO syarikat.

  • Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Bursa Malaysia dibuka tinggi

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    BURSA Malaysia meneruskan kenaikan pada Isnin diniagakan tinggi pada sesi awal hari ini.

    Kenaikan itu didorong belian yang berterusan di kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan yang terpilih serta perkhidmatan kewangan dalam persekitaran prospek berhati-hati dalam pasaran serantau.

    Pada pukul 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.04 mata kepada 1,503.77 daripada 1,496.73 semasa ditutup pada Isnin.

    Indeks dibuka tinggi 2.70 mata kepada 1,499.43.

    Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 291 berbanding 201, manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,400 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

    Jumlah dagangan sebanyak 435.36 juta unit bernilai RM211.78 juta.

    Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata indeks utama dijangka terus diniagakan tidak banyak berubah dengan paras halangan pada 1,500-1,520 dan paras sokongan pada 1,450-1,480.

    “Pelabur dijangka terus optimis terhadap sektor yang mencatatkan pemulihan seperti saham pengguna dan bahan binaan berikutan kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat yang menjadi tumpuan.

    “Selain itu, sektor teknologi masih mendapat perhatian dengan jangkaan positif untuk musim pelaporan pendapatan pada Ogos,” katanya.

    Bagaimanapun, katanya walaupun terdapat trend meningkat di Wall Street, Covid-19 dan perkembangan politik semasa di Malaysia dijangka terus mendorong minat belian di bursa tempatan.